Dalam sehari dua ini, heboh di media sosial khabar angin kononnya beberapa orang menteri akan meletakkan jawatan masing-masing gara-gara tidak lagi sehaluan dengan pucuk pimpinan utama negara. Khabar angin ini mula dicanang oleh salah seorang menteri besar. Hakikatnya, hal seumpama ini bukanlah pertama kali berlaku. Ia sudah berlaku beberapa kali. Hanya masa, punca cerita dan jalan ceritanya yang ada sedikit perbezaan.
Apabila timbul cerita sebegini, ia mempunyai dua kemungkinan sahaja. Kemungkinan yang pertama ialah cerita berkenaan mungkin benar. Kemungkinan yang kedua pula ialah cerita berkenaan mungkin juga tidak benar.
Kalau kita masih ingat, pada tahun 2008 lalu, heboh cerita kononnya sekitar 30 ahli parlimen terutamanya dari Sabah dan Sarawak akan melompat parti dan menyeberang menyokong Pakatan Rakyat. Berita berkenaan mungkin ada kebenarannya. Lagipun tokoh yang mula-mula membuat dakwaan tersebut bukan calang orang. Namun demikian, oleh kerana ia telah digembar-gemburkan sebelum peristiwa tersebut benar-benar berlaku, maka besar kemungkinan pihak yang satu lagi telah dengan pantas mengatur strategi balas yang akhirnya menyaksikan peristiwa lompat parti seperti yang didakwa sebelumnya benar-benar tidak berlaku. Sekiranya dakwaan berkenaan ada kebenarannya, ada kemungkinan ia boleh berlaku jika ia tidak digembar-gemburkan secara terburu-buru. Sepatutnya pihak yang mula-mula membuat dakwaan harus bersabar dan tunggu sehingga ia benar-benar berlaku, baru buat tindakan selanjutnya.
Beberapa tahun lalu, heboh juga di media sosial kononnya yang dipertua Dewan Rakyat akan meletakkan jawatan ekoran tidak berpuas hati terhadap perkara tertentu. Sekali lagi hal yang serupa telah berlaku. Cerita berkenaan telah digembar-gemburkan sebelum peristiwa berkenaan mungkin akan berlaku. Akhirnya cerita perletakan jawatan tersebut tidak berlaku sepertimana yang digembar-gemburkan sebelumnya. Ada kemungkinan hal perletakan jawatan berkenaan boleh berlaku jika ia tidak digembar-gemburkan sebelum ianya mungkin akan berlaku.
Hari ini, hal yang serupa juga berlaku lagi. Ada kemungkinan ia adalah cerita benar. Namun demikian, seperti juga sebelumnya, oleh kerana ia telah deigembar-gemburkan sebelum ianya berlaku, maka ada kemungkinan besar peristiwa perletakan jawatan para menteri berkenaan tidak akan berlaku. Sejarah lama akan berulang semula kerana mereka yang terlibat tidak pernah belajar daripada sejarah.
Kita harus faham, bukan kita seorang sahaja yang ada strategi. Orang lain pun ada strategi juga. Sejarah lampau sudah memberitahu kita iaitu ada tiga perkara yang boleh membuatkan seseorang itu membuat pusingan U daripada pendirian asal mereka, iaitu harta, kuasa dan wanita. Kebiasaannya ada dua kaedah yang akan digunakan untuk memastikan seseorang itu akan membuat pusingan U daripada pendirian asal mereka, iaitu dengan cara pujukan atau cara ugutan.
Dengan itu, berdasarkan fakta dan peristiwa yang hampir serupa yang pernah terjadi, mungkin ada benarnya sebilangan menteri akan meletakkan jawatan atas sebab tertentu, tetapi ia tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat kerana hal sedemikian telah digembar-gemburkan sebelum ia benar-benar berlaku.
Dalam peristiwa di atas, ada sesuatu yang harus dijadikan teladan dan sempadan.
No comments:
Post a Comment