Sebagaimana yang telah tersurat dalam ketentuan Ilahi, pada 3 Februari 2017 (6 Jamadil-Awwal 1438), ibu mertua yang amat saya kasihi yang amat mesra dengan panggilan umi telah kembali menghadap Penciptanya pada sekitar jam 12.55 tengah hari. Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan sendiri oleh kakak ipar saya menerusi panggilan telefon ketika saya dalam perjalanan ke masjid untuk solat Jumaat. Saya dan kami sekeluarga amat rasa dukacita dengan berita berkenaan, namun demikian sesiapa pun tidak boleh menolak ketentuan yang telah ditetapkan Allah untuk setiap maklukh-Nya.
Saya terus membuat keputusan iaitu segera kembali ke Kuantan sejurus selepas solat Jumaat. Ahli keluarga telah membuat keputusan iaitu umi akan dikebumikan petang ini juga. Saya amat bersetuju dengan keputusan berkenaan kerana ia juga selaras dengan tuntutan syarak. Pada masa yang sama, saya juga punya tugas mencabar iaitu untuk menenangkan isteri saya kerana beliau yang akan memandu di sepanjang perjalanan kami nanti. Saya amat sedar akan hal itu.
Diringkaskan kisah, akhirnya sekitar jam 5.45 petang, saya sekeluarga telah selamat sampai ke Kuantan. Kami terus ke Masjid Tuanku Afzan. Di sinilah jenazah umi dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Akhirnya sebelum azan maghrib, dalam keadaan hujan geremis, jenazah umi selamat dimasukkan ke lahad. Saya amat bersyukur kerana segala urusan berkaitan dengan pengkebumian jenazah umi telah berjalan dengan begitu lancar sekali. Sesungguhnya Allah telah mempermudahkan urusan ini. Alhamdulillah.
Selamat pergi umi buat selama-lamanya. Tinggallah umi di sini hingga ke hari kebangkitan nanti. Kami semua pasti akan menyusuli umi suatu hari nanti. Doa, ingatan serta kasih sayang daripada kami semua untuk umi akan sentiasa subur dan mekar sebagaimana subur dan mekarnya kasih sayang umi kepada kami semua semasa hayat umi.
Alfatihah ....
No comments:
Post a Comment