Sunday, February 19, 2017

Menziarahi Beseri




Petang tadi, saya sekeluarga berkesempatan menziarahi Saudara Beseri di rumahnya. Sewaktu ziarah kami, hanya Beseri dan isterinya sahaja yang ada di rumah. Anak tunggal mereka ada urusan di masjid berdekatan.

Sekitar 15 minit saya di rumahnya. Beseri hanya terbaring sahaja. Beliau sudah tidak mampu untuk bangun lagi. Keadaannya memang sangat lemah dan uzur. Semuanya akan diuruskan oleh anaknya. Beseri masih mengenali saya. Bila saya memanggilnya, beliau menjawab dengan menyebut nama saya. Beliau tidak banyak bercakap. Bahkan di sepanjang saya berada di rumahnya, beliau hanya tidur.

Kata Kak Jamilah, isterinya, Beseri sudah tidak boleh didialisis lagi. Pada Khamis lepas, Beseri sudah pun dibawa pulang ke rumahnya. Sebenarnya pada 13 Februari (Isnin) yang lalu, Beseri sendiri ada menelefon saya. Dengan suara yang terketar-ketar dan kedengaran hiba, beliau turut memberitahu saya bahawa dia sudah tidak boleh didialisis lagi. Beseri turut mohon maaf jika ada sebarang salahnya pada saya, saya juga begitu padanya. Kak Jamilah juga turut memberitahu saya, beberapa rakan sudah pun datang ke rumah untuk menziarahi Beseri.

Sebagai rakan dan kawan yang mengenali Beseri, apatah lagi yang pernah tidur baring bersamanya sama ada di sekolah rendah mahupun semasa di sekolah menengah, marilah kita sama-sama terus memberi apa jua bentuk sokongan kepada Beseri dan keluarganya. Hidup dan mati adalah urusan Allah. Selagi nyawanya masih di badan, tentulah Beseri amat memerlukan sokongan untuknya terus hidup terutama daripada kita selaku rakan-rakan senasibnya.

Semoga Allah sentiasa merahmati Beseri dan keluarganya. Mudah-mudahan keluarganya akan sentiasa tabah menghadapi ujian berat yang sedang dilalui.


No comments: