Saturday, July 15, 2017

Jangan Jadi Anak Derhaka: Sekadar Renungan




Menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa merupakan antara kesalahan besar di sisi Islam. Islam telah memberi garis panduan yang jelas bagaimana seseorang anak harus menghormati dan seterusnya berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Bahkan ada pendapat yang mengatakan jika kita tidak berdoa untuk kedua-dua ibu bapa kita dalam tempoh tertentu, kita telah membuka jalan untuk menderhakai kedua-duanya. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita semua daripada kesalahan yang besar ini.

(Klik di sini untuk menonton salah satu kisah benar tentang anak derhaka)

Balasan untuk anak yang menderhakai kedua-dua orang tuanya amat dahsyat. Balasannya pula diterima secara tunai di dunia lagi. Janganlah hanya kerana pangkat, jawatan, harta atau kerana isteri dan anak-pinak, kita sanggup membuang kedua-dua orang tua kita sendiri. Memang benarlah kata orang tua-tua dahulu, seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tahu lagi dapat menjaga seorang ibu.

Klik di sini untuk mendengar lagu anak derhaka oleh Datuk M. Daud Kilau).

Maka itulah juga, bila seseorang anak itu sudah kematian kedua-dua orang tuanya, terutama ibunya, sebenarnya dia sudah kehilangan seorang manusia yang amat barakah dan sangat mustajab doanya untuk kita. Oleh yang demikian, setiap kali kita bertemu dengan kedua-dua ibu bapa kita, terutamanya ibu kita, jangan segan silu untuk kita mohon doanya untuk kita.

(Klik di sini untuk mendengar lagu Anak Berbudi daripada El-Suraya).

Kepada sesiapa yang masih mempunyai kedua-dua ibu bapa, marilah sama-sama kita meningkatkan bakti dan hormat kita kepada kedua-duanya. Bagi mereka yang sudah kematian kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka, janganlah sesekali kita berhenti untuk berdoa untuk mereka.

Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara kita daripada menjadi anak yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapa kita.


No comments: