Pada Sabtu (29 Julai), saya dan isteri berkesempatan untuk menghadiri majlis tahlil di rumah salah seorang rakan baik dan rakan lama saya, Saudara Amat Onggak di Putrajaya. Pada pemerhatian saya, majlis tahlil ini diadakan secara kecilan sahaja. Maka itulah tidak ramai rakan beliau yang telah diundang ke majlis berkenaan. Selain daripada rakan-rakan terdekat, majlis tahlil ini juga turut dihadiri 2 orang adik Saudara Amat serta ahli keluarga masing-masing yang sedang bertugas di semenanjung.
(Saudara Amat Onggak)
Antara rakan-rakan yang turut sama hadir termasuklah Muhammad Mohd Ali dan keluarga, Ahmad Qushairi, Muhammad Jusoh, Othman Deraman serta Mohd Rosmadi dan keluarga.
Secara peribadi, saya dan Saudara Amat telah mengenali antara satu sama lain sejak 42 tahun yang lalu, iaitu sewaktu kami sama-sama bersekolah di Princess Elizabeth School (PES) di Johor Baru. Beliau yang berasal dari Sabah, sememangnya sudah lama menetap di semenanjung, iaitu bermula di zaman sekolah rendah, disambung pula semasa di sekolah menengah dan diteruskan pula bilamana beliau bekerja pula di salah sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur yang kemudiannya berpindah di Putrajaya. Selanjutnya beliau telah bertemu jodoh pula dengan Siti Haida, orang Muar, maka semakin kukuhlah tautannya dengan semenanjung.
Saudara Amat memaklumkan antara tujuan majlis tahlil dan doa selamat berkenaan adalah kerana salah seorang adiknya baru sahaja kembali ke rahmatullah Sabtu lepas di kampung mereka di Kudat, Sabah. Katanya lagi, adik perempuannya meninggal dunia akibat lemas. Selain itu, ia juga untuk 2 orang lagi adiknya yang telah pun meninggal dunia beberapa tahun sebelum ini.
Majlis tahlil ini juga diadakan bagi memohon agar isteri Amat, Siti Haida, akan selamat bersalin cahayamata pertama mereka yang dijangka pada hujung bulan Ogos depan.
Semua yang hadir sama-sama mendoakan semoga segala doa, hajat dan harapan tuan rumah akan dimakbulkan Ilahi hendaknya, insha-Allah.
Di akhir majlis, kami yang hadir telah dijamu dengan nasi berlauk daging masuk samur, iaitu masakan orang Bajau. Sungguh menyelerakan!
Sekitar jam 1035 malam, saya dan isteri serta Ahmad Qushairi pun meminta izin untuk kembali semula ke KL.
No comments:
Post a Comment