Sunday, July 30, 2017

Rumah Tinggalan Demang Abdul Ghani Di Merlimau






Sudah beberapa tahun ketika saya sekeluarga melalui satu kawasan di Merlimau, kami akan bertemu denan sebuah rumah lama yang cukup menarik perhatian, demikian kata saksi mata. Berulang kali isteri dan anak kami memperkatakan tentang kecantikan dan keunikan rumah berkenaan. Ini telah menimbulkan rasa ingin tahu saya yang semakin mendalam tentang rumah berkenaan.


(Batu Catatan rumah Demang Abdul Ghani)


Baru-baru ini, saya dan keluarga berkesempatan untuk singgah di rumah berkenaan. Menurut catatan yang ada, rumah berkenaan sebenarnya milik kepada seorang ketua masyarakat yang sangat terkenal di sekitar Merlimau hampir 200 tahun lalu, iaitu Demang Abdul Ghani. Beliau berasal dari Sumatera yang kemudiannya telah berhijrah dan bermastautin di Merlimau.


(pemandangan di luar rumah Demang Abdul Ghani)


Rumah berkenaan kini berada dalam penjagaan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). Setiap pengunjung akan dikenakan sedikit bayaran untuk masuk ke dalam rumah berkenaan. Menurut kakitangan Perzim yang bertugas di rumah berkenaan, waris Demang Abdul Ghani masih ramai terutama di sekitar Merlimau. Menurut kakitangan berkenaan lagi, struktur asal rumah berkenaan tidak diubah sama sekali.

Saya sekeluarga telah meluangkan masa untuk masuk dan mengunjungi setiap inci dalam rumah berkenaan. Bagi saya, rumahnya cukup besar. Seni bina orang dahulu memang terserlah pada rumah ini. Menurut saksi mata, rumah tinggalan Demang Abdul Ghani memang sangat cantik dan unik. Ukirannya sahaja sudah memukau mata yang melihatnya. Berdasarkan kepada keadaan dan perhiasan yang saya temui dalam rumahnya, saya dapat merumuskan iaitu Demang Abdul Ghani merupakan seorang ketua dan tokoh masyarakat yang sangat berpengaruh, dihormati dan bukan calang-calang orang.

Apa yang pasti, kawasan persekitaran rumah ini cukup mendamaikan. Ia ditambah dengan suasana kampung yang aman dan tidak bising seperti di bandar. Memang sesuai untuk menenangkan fikiran.

Di bawah ini saya kongsikan sebilangan foto yang sesuai untuk tatapan bersama.




Memang sesuailah Melaka sebagai “negeri muzium”.


No comments: