Berdasarkan berita lewat petang tadi, harga minyak petrol untuk esok, 27 Julai hingga 2 Ogos 2017 akan naik. Harga yang sedia ada hamya mampu bertahan sekitar dua minggu sahaja. Memandangkan harganya yang akan naik mulai esok, maka tatkala menjelang waktu maghrib, saya bersama isteri telah bergegas ke salah sebuah stesen minyak yang tidak jauh dari rumah kami. Tujuan kami tentulah untuk mengisi minyak kenderaan sebelum harganya naik mulai tengah malam nanti.
(Pemandangan di stesen minyak sebelum harganya naik tengah malam ini)
Setibanya kami di stesen minyak berkenaan, kenderaan sudah banyak dan mulai beratur panjang. Semuanya dengan satu tujuan iaitu untuk memenuhkan tangki minyak kenderaan masing-masing sebelum tengah malam ini. Fenomena inilah yang sering terjadi jika pengumuman harga minyak memaklumkan kenaikan harga bahan api berkenaan untuk minggu berikutnya.
Walau bagaimanapun, ada kemungkinan juga kenderaan yang banyak dan beratur panjang sebegini boleh diubah tafsir, iaitu orang Malaysia ada banyak wang, sebab itu mereka tetap berpusu-pusu di tempat membeli-belah dan melimpah-ruah hingga di stesen minyak!
No comments:
Post a Comment