Monday, July 31, 2017

Politik Resis Hanya Membawa Kerugian




Saya agak terkejut bila menonton/mendengar sedutan ucapan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, salah seorang naib presiden UMNO yang sedang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden UMNO yang mengungkitkan keturunan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu majlis politik. Dalam hal ini, saya bersetuju dengan pandangan sebilangan individu bahawa puak, keturunan dan darah seseorang tidak sepatutnya dijadikan modal politik apatah lagi untuk tujuan menghina atau menjatuhkan maruah seseorang.

(Klik di sini untuk menonton sedutan ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi)

Soalnya, setakat yang dimaklumi, tiada satu syarat pun untuk menjadi ahli UMNO mesti berdarah Melayu tulen tanpa bercampur dengan darah asing walau setitik pun. Justeru, berdasarkan fakta sejarah, ahli biasa UMNO dan termasuklah para pemimpin tertingginya ramai yang berdarah bukan Melayu tulen. Dato’ Onn Jaafar sendiri selaku pengasas dan Yang Di-Pertua UMNO yang pertama mempunyai darah Turki dari sebelah ibunya. Almarhum Tunku Abdul Rahman pula mempunyai darah Myanmar kerana bondanya merupakan anak kepada seorang ketua kaum Shan. Dalam hal ini, apa bezanya dengan Tun Dr. Mahathir yang berketurunan Kutty (India)? Jika ketulenan melayu Tun Mahathir diungkit, maka hal yang serupa juga turut sama terpalit ke atas para pemimpin UMNO lain yang bukan berdarah Melayu tulen.

Sebenarnya orang Melayu di Malaysia ada keunikannya yang tersendiri. Mereka amat terbuka dalam menerima orang lain untuk menjadi Melayu. Sebagai contoh, jika seseorang lelaki bukan Melayu tetapi Islam berkahwin dengan seorang wanita Melayu maka anaknya boleh terus jadi Melayu dengan mudah. Hal inilah yang sering berlaku. Ini menunjukkan bahawa orang Melayu di Malaysia tidak resis, bersikap terbuka dan mudah untuk menerima bangsa lain sebagai Melayu.

Orang Melayu juga amat terbuka dan paling minima sikap resis mereka. Ini terbukti bilamana isu kewarganegaraan sewaktu negara di ambang kemerdekaan dapat diselesaikan dengan baik dan mudah. Ia tidak lain dan tidak bukan kerana orang Melayu tidak bersikap resis, beersedia untuk hidup bersama-sama dengan bangsa lain dan bersedia berkongsi tanah air mereka yang hanya satu-satunya ini dengan orang lain tanpa banyak bicara.

Di samping itu, bangsa Melayu di Malaysia juga tidak terikat dengan suku atau puak tertentu. Sama ada orang jawa, orang bugis, orang minang kabau, orang banjar atau orang acheh, semuanya mengaku Melayu dan bersatu padu di bawah nama Melayu. Adalah dikhuatiri ucapan Datuk Ahmad Zahid yang kurang berhemah itu akan mengakibatkan orang Melayu akan terpecah pula kepada kumpulan-kumpulan yang lebih kecil yang akhirnya akan merugikan orang Melayu sendiri.

Dalam Alquran, Allah ada berfirman yang antara lain mafhumnya: "Dan Kami (Allah) jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku supaya kamu saling kenal-mengenali antara kamu" (ayat 13, surah Alhujurat (49) juzuk ke 26).

Sebagai orang yang ada latar belakang pendidikan agama, sepatutnya Datuk Seri Ahmad Zahid lebih faham dan jelas mengenai hal yang beliau sendiri perkatakan.

Beginilah kalau berpolitik secara sempit dan kurang memikirkan kesan jangka panjang terutamanya ketika bercakap. Orang tua-tua kita ada mengingatkan, terlajak perahu boleh diundur, tapi terlajak kata buruk akibatnya.

Sebenarnya, dalam politik tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang abadi. Semuanya boleh berubah dengan sekelip mata.

Sama ada kita sedar atau tidak, orang Indon sudah dua tahun tersenyum lebar. Mereka tidak perlu menghantar sesiapa pun dalam kalangan mereka untuk menguasai tanah air kita kerana dua orang pemimpin utama tanah air kita sememangnya berasal daripada mereka.


Saya sekadar melontarkan pandangan sahaja.

No comments: