Thursday, September 14, 2017

Pn. Halimah Yaacob Presiden Wanita Pertama Singapura




13 September 2017 merupakan detik yang cukup bersejarah bagi seluruh rakyat Singapura. Pada tarikh berkenaan, Pn. Halimah Yaacob telah diisytiharkan sebagai bakal presiden selanjutnya bagi republik berkenaan.

Klik di sini untuk pengisytiharan Pn Halimah Yaacob sebagai presiden

Pn. Halimah Yaacob merupakan presiden Melayu kedua di Singapura selepas Yusuf Ishak (1965-1971). Walau bagaimanapun, Pn. Halimah Merupakan presiden wanita pertama di Singapura. Ia merupakan satu pencapaian yang cemerlang bagi seorang wanita di republik tersebut.

Klik di sini untuk latar belakang ringkas Pn. Halimah Yaacob

Seperkara yang harus kita ingat ialah, berdasarkan latar belakang beliau, Pn. Halimah telah berjaya mencapai pada kedudukan beliau sekarang melalui dasar meritokrasi yang selama ini dipraktikkan oleh republik Singapura. Pada hemat saya, gaya dan cara beliau mungkin berbeza daripada orang Melayu di luar negaranya. Sudah tentulah Pn. Halimah mempunyai sifat dan sikap yang kental, berdaya saing, berminda terbuka serta berwawasan jauh, maka itulah beliau berjaya mencapai ke tahapnya sekarang di tengah-tengah sistem meritokrasi negaranya.

Walaupun Pn. Halimah Yaacob adalah seorang Melayu, tetapi beliau adalah Melayu Singapura masa kini yang tentunya sudah jauh bezanya dengan Melayu bukan Singapura dalam pelbagai aspek.


Monday, September 11, 2017

Merafak Ucapan Takziah




Dengan kehendak Allah jua, maka pada hari ini (Isnin), 11 September 2017 bersamaan 20 Zulhijjah 1438, maka telah mangkat Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibn Almarhum Sultan Badli Shah di Istana Anak Bukit pada jam 2.30 petang.

Klik di sini untuk pengumuman rasmi tentang kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah

Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah merupakan antara raja Melayu yang lama bertakhta iaitu sekitar 59 tahun lamanya. Baginda juga turut melakar sejarah bilamana berpeluang untuk menjawat jawatan Yang Di-Pertuan Agong sebanyak dua kali. Kali pertama baginda menjadi Yang Di-Pertuan Agong ialah dari tahun 1970 – 1975 dan dari tahun 2011 – 2016 untuk kali keduanya.

Klik di sini untuk membaca biodata ringkas Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah

Dengan ini, dengan penuh rasa dukacita yang amat sangat, saya merafakkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh kerabat diraja Kedah serta kepada seluruh rakyat Kedah Darul-Aman di atas kemangkatan dan kembalinya ke rahmatullah Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibn Almarhum Sultan BadliShah.



Sesungguhnya kemangkatan baginda merupakan satu kehilangan bukan sahaja kepada negeri Kedah, bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga roh almarhum akan sentiasa dicucuri rahmat setiap ketika, akan beroleh keampunan serta dihimpunkan bersama-sama para solihin.

Alfatihah ....






Alex Lee Guan Hock Meninggal Dunia (Catatan Lewat)




Salah seorang rakan senasib, Saudara Alex Lee Guan Hock telah meninggal dunia malam tadi sekitar jam 8.30 malam. Namun demikian, hanya pagi tadi saya baru mendapat khabar berkenaan melalui Tn. Hj. Muhammad Lee, salah seorang adik mendiang. Seorang lagi adik Alex ialah Saudara Muhammad Adam Lee.

Alex merupakan seorang kawan yang baik. Saya telah mengenali beliau sejak tahun 1982 lagi. Sewaktu beliau bertugas di SBM HQ, saya sering juga minta bantuan beliau terutama yang berkaitan dengan urusan audio. Beliau juga merupakan antara penggerak penting dalam pelaksanaan rakaman dan pengedaran bahan-bahan audio SBM yang telah memberi manfaat kepada ramai ahli. Bermula dari era pita kaset hinggalah ke pengedaran bahan audia berbentuk CD, Alex adalah penggerak utama yang sukar dicari ganti. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan pengedaran pelbagai bahan berita menerusi e-mail hari ini telah bermula dengan program penyediaan bahan audio pita kaset. Penggerak utamanya sudah tentulah Alex dan juga Saudara Azmi Anuar.

Bagi saya, kepakaran pengendalian perkakasan audio yang ada pada beliau sukar untuk ditandingi oleh orang lain. Setakat yang saya tahu, Alex tidak pernah mendapat latihan dalam bidang yang berkaitan di mana-mana institusi. Namun dengan dorongan minat yang mendalam, beliau sentiasa komited dalam melaksanakan tugasnya.

Kepada seluruh ahli keluarga mendiang Alex, saya ucapkan takziahyang sedalam-dalamnya. Hari ini, kita semua kehilangan seorang lagi rakan yang baik hati, ringan tulang dan ikhlas dalam persahabatan.


Sunday, September 10, 2017

Majlis Perkahwinan Rifaat Dan Norlina








Pada 9 September (Sabtu), saya sekeluarga berpeluang menghadiri majlis perkahwinan Mohd Rifaat Hussin dengan pasangannya Norlina Mohamad. Majlis telah berlangsung di Jalan Tunku Kursiah, Seremban, Negeri Sembilan. Sekitar sebulan lalu, Rifaat sendiri telah datang ke sekolah untuk mengedarkan kad jemputan majlis perkahwinannya.

(Saya bersama pasangan mempelai)


Saya dan keluarga tiba di lokasi majlis sekitar jam 2.00 petang. Waktu itu hujan gerimis. Kedua-dua ibu bapa Rifaat telah menyambut kehadiran kami dengan cukup mesra. Saya turut menyampaikan hadiah perkahwinan sumbangan bekas beberapa orang guru Rifaat yang tidak dapat hadir.

(Saya menyampaikan hadiah daripada bekas beberapa orang guru Rifaat yang tidak dapat hadir)


Mohd Rifaat merupakan bekas murid SMPK Setapak. Beliau kemudiannya telah berjaya melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya (UM).

(Menteri Besar NS juga turut hadir)


Antara tetamu kenamaan yang turut hadir dalam majlis ini ialah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Haji Muhammad Haji Hassan.

Pada pendengaran saya, majlis perkahwinan tetap meriah walaupun disirami hujan tengah hari. Ia diserikan lagi bilamana beberapa orang rakan Rifaat yang lain turut sama hadir bagi memeriah dan mendoakan segala yang baik untuk Rifaat dan pasangannya.



Kepada Rifaat, selamat pengantin baru diucapkan. Doa saya semoga kekal bahagia hingga ke Jannah.


Thursday, September 7, 2017

Aktiviti Lawatan Ke Muzium Diraja Kuala Lumpur





Pada 7 September 2017 (Khamis), seramai 36 murid tingkatan 5 dan 4 sekolah tempat saya bertugas telah mengadakan aktiviti lawatan ke Muzium Diraja, Kuala Lumpur. Aktiviti lawatan ini dirancang bersempena dengan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah yang masih berlangsung. Saya sendiri telah bertindak selaku penyelaras untuk aktiviti lawatan kali ini. Saya turut disertai oleh Cikgu Liana, Cikgu Jorianna Tan dan Pn. Azlina selaku guru pengiring.


(Saya bersama murid-murid di hadapan Muzium Diraja)


Saya pernah mengunjungi Muzium Diraja ini pada 7 Mei yang lalu. Berdasarkan kunjungan itulah saya berpendapat ia boleh memberi manfaat kepada murid-murid saya menerusi aktiviti lawatan. Walaupun tidak banyak bahan/barang pamiran yang boleh disentuh, tetapi melalui pelbagai catatan yang ada , ia masih boleh memberi maklumat kepada murid-murid saya. Guru-guru pengiring akan membacakan kepada murid-murid saya setiap catatan yang ada. Selain itu, guru-guru pengiring juga sedaya upaya telah memberi penerangan tentang setiap gambar yang dipamirkan.


(ada pengunjung lain yang ingin bergambar dengan kami)


Di samping itu, murid-murid saya juga dapat merasai suasana sebuah istana. Melalui pergerakan dalam muzium berkenaan, mereka juga dapat merasai keluasan sebuah istana kediaman raja. Di samping itu, melalui sentuhan pada pintu, dinding, tangga serta langsir yang terdapat dalam muzium berkenaan, murid-murid saya juga dapat merasai betapa berkualiti dan mahalnya bahan dan barangan yang terdapat dalam sebuah istana. Demikianlah.

Klik di sini untuk maklumat ringkas mengenai Muzium Diraja

Walau bagaimanapun, saya sedikit terkilan kerana lawatan kami kali ini tidak dapat memasuki balai pamiran (dahulunya balairong seri). Saya dimaklumkan oleh seorang kakitangan yang bertugas, balai berkenaan baru sahaja ditutup kepada pengunjung pada 4 September yang lalu. Semasa lawatan saya pada Mei lalu, saya memang berkesempatan memasuki balai berkenaan dan dapat merperoleh banyak info menerusi barang dan pelbagai catatan yang terdapat dalam balai berkenaan. Apa yang saya kesalkan ialah sewaktu saya berhubung dengan pihak Muzium Diraja (menerusi telefon) beberapa kali sebelum ini, mereka sedikit pun tidak memaklumkan kepada saya tentang penutupan balai pamiran selepas 4 September.


(Waktu untuk pulang)


Adalah tidak benar sama sekali bila ada pihak yang berpendapat mereka yang cacat penglihatan tidak sesuai untuk dibawa melawat ke tempat-tempat seperti ini. Kami ada pelbagai cara tersendiri untuk beroleh manfaat di mana sahaja kami lawati. Walaupun kami tidak akan dapat semua perkara, tetapi kami juga tidak akan tercicir semua perkara.


Wednesday, September 6, 2017

Harga Petrol Terus Naik





Sekitar jam 7.00 petang tadi, saya telah melewati sebuah stesen minyak dan mendapati banyak kenderaan mula beratur untuk membeli minyak kenderaan masing-masing. Keadaan ini membolehkan saya meneka dengan tepat iaitu harga petrol bermula esok (7 September) pastinya terus naik. Jangkaan saya memang tidak meleset bilamana info yang saya perolehi menerusi internet mengesahkan apa yang telah diduga

Klik di sini untuk melihat secara terperinci harga mingguan petrol

Mulai esok, harga Ron97 akan naik 4 sen seliter daripada RM2.44 kepada RM2.48 seliter. Manakala minyak Ron95 pula akan naik 4 sen selitar juga iaitu daripada RM2.16 kepada RM2.20 seliter.

(Pemandangan di salah sebuah stesen minyak di ibu kota)


Nampaknya dua bulan terakhir ini harga petrol dan diesel secara umumnya menunjukkan trend penaikan. Ini juga mungkin petanda bahawa pilihanraya umum tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Antara tanda penting pilihanraya umum semakin hampir ialah apabila harga minyak menunjukkan trend penurunan.

Kenderaan saya juga turut sama beratur untuk mengisi minyak kemudiannya.


Monday, September 4, 2017

Mengunjungi Yusiran





Pada 3 September (Ahad), saya dan isteri berkesempatan mengunjungi Saudara Yusiran Ahmad di kediamannya yang terletak sekitar 3 km sahaja dari bandar Jasin. Seperti kunjungan sebelum ini, Yusiran seperti biasa sahaja. Beliau tetap merindui kehidupannya masa lalu. Kl tetap tidak luput dari ingatannya.

(Yusiran)


Sebagaimana biasa juga, beliau tetap menanti kehadiran rakan dan teman-teman lamanya. Setiap kali saya datang, Yusiran tentu suka dan gembira. Sesiapa yang pernah mengunjungi Yusiran sebelum ini tentu lebih memahami apa yang saya katakan.

(Saya dan Yusiran)


Yusiran juga ada memberitahu saya, beberapa minggu lalu ada beberapa rakan yang mengunjunginya. Yusiran juga ada beritahu, ada juga rakan yang merancang untuk mengunjunginya tetapi terpaksa membatalkannya di saat akhir atas sebab tertentu. Itu bukanlah salah sesiapa. Lain kali bila ada kesempatan, kita ziarahi Yusiran lagi. Demikianlah.

Untuk pengetahuan bersama, setiap minggu Yusiran akan ke hospital Jasin sebanyak 3 kali untuk rawatan dialesis iaitu pada hari selasa, khamis dan sabtu. Maklumat ini agak penting terutama bagi sesiapa yang merancang untuk menziarahi beliau.

(Waktu berpisah)


Setelah sekitar setengah jam, saya dan isteri meminta diri. Maklumlah cuaca pun kurang baik. Jika tiada aral, kami akan bertemu lagi 3 minggu yang akan datang, insha-Allah.