Thursday, September 7, 2017

Aktiviti Lawatan Ke Muzium Diraja Kuala Lumpur





Pada 7 September 2017 (Khamis), seramai 36 murid tingkatan 5 dan 4 sekolah tempat saya bertugas telah mengadakan aktiviti lawatan ke Muzium Diraja, Kuala Lumpur. Aktiviti lawatan ini dirancang bersempena dengan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah yang masih berlangsung. Saya sendiri telah bertindak selaku penyelaras untuk aktiviti lawatan kali ini. Saya turut disertai oleh Cikgu Liana, Cikgu Jorianna Tan dan Pn. Azlina selaku guru pengiring.


(Saya bersama murid-murid di hadapan Muzium Diraja)


Saya pernah mengunjungi Muzium Diraja ini pada 7 Mei yang lalu. Berdasarkan kunjungan itulah saya berpendapat ia boleh memberi manfaat kepada murid-murid saya menerusi aktiviti lawatan. Walaupun tidak banyak bahan/barang pamiran yang boleh disentuh, tetapi melalui pelbagai catatan yang ada , ia masih boleh memberi maklumat kepada murid-murid saya. Guru-guru pengiring akan membacakan kepada murid-murid saya setiap catatan yang ada. Selain itu, guru-guru pengiring juga sedaya upaya telah memberi penerangan tentang setiap gambar yang dipamirkan.


(ada pengunjung lain yang ingin bergambar dengan kami)


Di samping itu, murid-murid saya juga dapat merasai suasana sebuah istana. Melalui pergerakan dalam muzium berkenaan, mereka juga dapat merasai keluasan sebuah istana kediaman raja. Di samping itu, melalui sentuhan pada pintu, dinding, tangga serta langsir yang terdapat dalam muzium berkenaan, murid-murid saya juga dapat merasai betapa berkualiti dan mahalnya bahan dan barangan yang terdapat dalam sebuah istana. Demikianlah.

Klik di sini untuk maklumat ringkas mengenai Muzium Diraja

Walau bagaimanapun, saya sedikit terkilan kerana lawatan kami kali ini tidak dapat memasuki balai pamiran (dahulunya balairong seri). Saya dimaklumkan oleh seorang kakitangan yang bertugas, balai berkenaan baru sahaja ditutup kepada pengunjung pada 4 September yang lalu. Semasa lawatan saya pada Mei lalu, saya memang berkesempatan memasuki balai berkenaan dan dapat merperoleh banyak info menerusi barang dan pelbagai catatan yang terdapat dalam balai berkenaan. Apa yang saya kesalkan ialah sewaktu saya berhubung dengan pihak Muzium Diraja (menerusi telefon) beberapa kali sebelum ini, mereka sedikit pun tidak memaklumkan kepada saya tentang penutupan balai pamiran selepas 4 September.


(Waktu untuk pulang)


Adalah tidak benar sama sekali bila ada pihak yang berpendapat mereka yang cacat penglihatan tidak sesuai untuk dibawa melawat ke tempat-tempat seperti ini. Kami ada pelbagai cara tersendiri untuk beroleh manfaat di mana sahaja kami lawati. Walaupun kami tidak akan dapat semua perkara, tetapi kami juga tidak akan tercicir semua perkara.


No comments: