Petang tadi, satu sidang media telah diadakan di ibu pejabat UMNO. Kalau ditinjau media sebelumnya, seolah-olahnya ada perkara besar dan mustahak yang bakal diumumkan oleh presiden UMNO. Maka meriahlah sesi andai-mengandai dalam media sosial.
Klik di sini untuk menonton sebab kemasukan semula Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam UMNO
Akhirnya teka-teki terjawab juga apabila pengumuman penting yang dimaksudkan ialah mengumumkan kemasukan semula Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam UMNO. Bagi saya, kemasukan semula Tan Sri Muhammad ke dalam UMNO tak ubah bagai sirih pulang ke ganggang. Sudah tentulah kemasukan Tan Sri Muhammad mendapat ulasan yang begitu positif daripada para pemimpin UMNO. Pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh Tan Sri Muhammad selama sekitar 5 tahun sewaktu dalam tempoh “cuti belajar” bersama pembangkang amat berguna dan sangat diperlukan oleh UMNO/BN ke arah memantapkan parti berkenaan dalam meredah gelombang dan cabaran dalam PRU ke-14 nanti.
Sewaktu mula-mula menyertai pembangkang dahulu, Tan Sri Muhammad telah menjadi ahli PAS. Walau bagaimanapun, pada tahun 2015 beliau telah meninggalkan PAS lantaran tersisihnya golongan profesional dalam parti berkenaan. Seterusnya Tan Sri Muhammad telah menyertai PKR pula. Adalah diharapkan pengalaman yang ada pada beliau dapat mengukuhkan lagi PKR pada masa akan datang.
Namun demikian, panas yang diharapkan hingga ke petang, tiba-tiba awan mendung dan hujan pula di tengah hari. PKR bukan sahaja gagal memanfaatkan apa yang ada pada Tan Sri Muhammad, kini beliau bukan sahaja keluar daripada PKR bahkan sudah kembali semula ke pangkuan parti lamanya. Jika Tan Sri Muhammad keluar PKR dan masuk BERSATU, ia mungkin tidak memberi kesan kepada gabungan Pakatan Harapan.
Kini setelah kembali semula ke pangkuan UMNO, Tan Sri Muhammad bolehlah berkawan semula dengan PAS. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi semasa “cuti belajar” tempoh hari, Tan Sri Muhammad mungkin berupaya untuk melunakkan para pemimpin spiritual PAS untuk terus menerima golongan profesional dalam UMNO pula.
Kemasukan semula Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam UMNO sedikit sebanyak bakal memberi kesan kepada gabungan pembangkang dalam menghadapi pilihanraya umum (PRU) yang akan datang. Sedikit sebanyak strategi lawan sudah ada dalam poket beliau. Dalam keadaan sekarang, kemasukan semula Tan Sri Muhammad ke dalam UMNO merupakan aset yang cukup penting khasnya dalam usaha menawan semula Selangor daripada pembangkang.
Namun demikian, sekiranya gagal ditangani dari awal, kemasukan semula Tan Sri Muhammad ke pangkuan UMNO boleh menjadi musibah besar pula. Ada kemungkinan wujud persaingan antara Tan Sri Muhammad dengan Tan Sri Noh Omar khususnya di Selangor. Sekiranya hal sebegini terjadi, sudah tentulah kemasukan semula beliau ke dalam UMNO sekadar membawa malang.
Namun demikian, saya percaya perkara sebegini sudah pun difikirkan dengan masak oleh ahli bijak pandai politik dalam UMNO. Para ahli politik yang bijak pandai dan pemimpin tertinggi dalam UMNO sudah tentunya ingin memastikan supaya panas yang sedang terik ini akan berterusan hingga ke petang, kalau boleh biar sampai maghrib dan melewati waktu isya.
Dalam politik, puji dan caci adalah perkara biasa. Dengan erti kata lain, kalau tak sanggup kena maki dan caci tak payahlah terjun dalam kubang politik. Jadi, pujian dan cacian yang sedang diterima serentak oleh Tan Sri Muhammad Mohd Taib pada waktu ini mungkin sudah merupakan asam garam yang tak ubah bagai alah bisa tegal biasa bagi beliau.
Sesungguhnya dalam politik tiada musuh yang abadi dan tiada kawan yang sejati.
No comments:
Post a Comment