Saturday, September 16, 2017

Genap Setahun Ustaz Harun Din Menghadap Ilahi




Pada 16 September 2016, kita digemparkan dengan berita kembalinya ke rahmatullah Datuk Dr. Harun Din. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Amerika Syarikat. Allahyarham kemudiannya telah dikebumikan di Amerika Syarikat bumi di mana beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya.

Ustaz Harun Din merupakan antara ulamak dan ilmuwan Islam tersohor di tanah air. Bahkan Allahyarham juga turut dikenali dengan meluas di peringkat antarabangsa. Ia sekaligus membuktikan keilmuwan Allahyarham khususnya dalam bidang keagamaan amat dihormati dan disegani.

Sebelum Allahyarham menyerlahkan pendirian politiknya, beliau sering muncul di kaca TV dalam pelbagai topik dan isu keagamaan. Saya masih ingat lagi, pada dekad 90-an lalu, sewaktu muncul objek di langit, beliau antara tokoh yang telah mengutarakan pandangannya mengenai hal tersebut di kaca TV. Selain itu, beliau juga pernah mengulas isu kehilangan ayat-ayat Alquran tertentu daripada naskah tertentu.

Ustaz Harun Din juga amat terkenal dalam bidang perubatan Islam. Saya masih ingat, ada ahli politik tertentu ketika itu yang memperlekehkan pengetahuan dan kemahiran Allahyarham dalam bidang perubatan Islam. Maklumlah ada orang tertentu yang hanya melihat ilmu perubatan dari sudut saintifik semata-mata memang sukar untuk menerima hakikat bahawa penyakit juga boleh sembuh dengan keberkatan ayat-ayat Alquran dan doa menerusi hadith-hadith Nabi.

Namun demikian, dalam bidang politik Allahyarham kurang berjaya. Beliau beberapa kali tewas dalam pilihanraya, antaranya beliau pernah tewas di DUN Tambun Tulang dan juga di parlimen Arau.

Biar apa pun pendirian politiknya, keilmuwan Allahyarham Ustaz Harun Din tetap dihormati oleh pelbagai pihak. Justeru, perginya Allahyarham menghadap Ilahi setahun yang lalu sebenarnya telah meninggalkan suatu kekosongan khususnya dalam bidang keagamaan. Pemergian beliau tak ubah umpama yang patah tak akan tumbuh, yang hilang tak berganti lagi. Semoga Allahyarham sentiasa diampuni Allah dan dihimpunkan beserta dengan para solihin.

Alfatihah ....


No comments: