Friday, September 22, 2017

Salam Maal Hijrah 1439





Hari ini, kita telah pun memasuki ke tahun baru Hijrah 1439. Ini bermakna, usia kita telah meningkat setahun lagi. Kita semakin jauh meninggalkan usia remaja. Kita juga semakin jauh meninggalkan kenangan silam yang pelbagai. Serentak dengan itu juga, kita akan semakin hampir dengan usia tua dan juga kematian. Kedua-duanya sedang menanti kita tanpa kita mengharapkannya. Demikianlah.

Sama ada kita bersedia atau sebaliknya, usia tua dan juga kematian tetap akan mendatangi kita suatu ketika nanti. Usia tua dan saat ketibaan ajal merupakan dua perkara yang hampir semua orang ingin menjauhinya. Semakin kita ingin menjauhinya, ia semakin hampir dengan kita. Itulah hakikat dan realiti yang harus kita sama-sama hadapi sama ada kita suka atau pun sebaliknya.

Justeru, bersempena dengan ketibaan tahun baru Hijrah 1439 ini, saya ingin mengajak diri sendiri dan juga kita semua untuk mengubah persepsi dan sudut pandangan kita mengenai dua perkara tersebut, iaitu usia tua dan juga kematian. Jika sebelum ini kita seakan memusuhinya, enggan berbual tentangnya, sering berkeadaan tidak bersedia untuk menghadapinya, sering kali mencari jalan untuk mengelakkan diri daripadanya serta sering sensitif tak tentu hala bila dikaitkan dengan dua perkara tersebut, kita ubah kepada sentiasa membuat persediaan untuk menghadapinya, suka dan gembira bila ada pihak yang mengingatkan kita kepadanya, sering kali membuat penilaian kendiri mengenai tahap persediaan diri sendiri untuk menghadapi saat ketibaannya serta akan berdukacita jika tiada siapa pun yang sudi mengingatkan kita kepada kedua-dua perkara tersebut.

Jika kita berjaya mengubah cara berfikir mengenai dua perkara di atas, maka kita tidak perlu lagi mencari ubat untuk panjang umur. Kita juga tidak perlu lagi bersusah-payah mencari formula untuk sentiasa kelihatan muda remaja. Kalau dah tua tu, tua jugalah. Kadang kala kasihan juga saya kepada mereka yang tak pernah putus asa untuk mencari kaedah agar sentiasa nampak muda macam si manis 17. Mungkin (untuk jangka pendek) sebilangan orang seakan berjaya menampilkan wajah yang sentiasa muda remaja, dapat menghilangkan kedut seribu di kulit atau di pipi, tetapi mereka lupa bahawa suara mereka tetap bunyi tua dan ganyut juga. Dengan erti kata lain, golongan berkenaan lupa untuk turut sama memudaremajakan suara mereka. Hasilnya, walaupun orang kata wajah mereka tak dimakan usia, tapi bila dengar suara saja, macam nak terkeluar gegendang telinga dibuatnya!

Oleh itu, kita tidak perlu menghijrahkan jasad kita ke mana-mana lagi, cukuplah jika kita berjaya menghijrahkan sudut pandangan kita, persepsi serta cara berfikir kita tentang usia tua dan juga saat ketibaan ajal kita nanti. Pada hemat saya, jika kita benar-benar berjaya menghijrahkan tanggapan kita tentang dua perkara di atas kepada yang lebih positif, insha-Allah kitalah antara makhluk Tuhan yang paling berbahagia sekali dalam hidup ini.

Saya sekadar melontarkan pandangan sahaja.

Klik di sini untuk mendengar lagu Maal Hijrah

Selamat menyambut tahun Hijrah 1439.


No comments: