Sunday, November 29, 2009

Cikgu Salmah Binti Osman

Dalam tulisan saya mengenai Cikgu Sulaiman bin Shafie, seorang pengunjung blog ini ada mencadangkan agar saya turut menulis kisah mengenai Cikgu (Ustazah) Salmah binti Osman. Saya kira cadangan pengunjung berkenaan sangat baik. Maka saya pun menimpan cadangan tersebut kejap-kejap dan berazam akan memaparkan tulisan mengenai Cikgu Salmah bila tiba masa yang sesuai. Lagipun, untuk memastikan tulisan tersebut berfakta dan bermakna, saya perlu berjumpa dengan Cikgu Salmah sendiri.



Akhirnya kesempatan yang saya tunggu-tunggu itu tiba juga. Pada 22 November lalu, saya telah ke Johor Bahru untuk satu mesyuarat bersama-sama pasukan penyelidik dari UTM. Pada masa yang terluang, saya telah menziarahi Cikgu Salmah di rumahnya di Larkin. Cikgu Salmah telah menyambut kedatangan saya serta keluarga dengan begitu mesra sekali.



Sudah menjadi kebiasaan bagi kami yang menuntut di Sekolah Princess Elizabeth (PES) ketika itu untuk memanggil semua guru dengan panggilan “cikgu” walaupun guru tersebut merupakan seorang ustaz atau ustazah. Begitulah juga dengan Cikgu Salmah. Beliau merupakan seorang ustazah yang berkhidmat di bawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia. Kami sangat mesra dengan memanggil beliau sebagai “Cikgu Salmah” sahaja.

Sedari awal lagi, Cikgu Salmah tidak pernah mengikuti sebarang latihan, kursus, apatah lagi memiliki sebarang sijil, diploma atau ijazah dalam apa yang diistilahkan sebagai pendidikan khas. Sekolah Princess Elizabeth pula merupakan sekolah kedua atau ketiga tempat beliau mengajar. Pada awal dekad 70-an, apabila beliau ditempatkan sahaja di Sekolah Princess Elizabeth, Cikgu Salmah terus berazam untuk belajar sistem tulisan Braille, terutamanya sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille. Pada mulanya, beliau merasakan memang agak sukar untuk belajar semuanya itu. Namun demikian, demi rasa tanggungjawab khasnya kepada murid-muridnya yang cacat penglihatan, beliau bertekad untuk memahirkan dirinya dengan tulisan Braille walau dengan apa cara sekalipun.

Petempatan Cikgu Salmah di Sekolah Princess Elizabeth adalah kerana pada ketika itu sekolah tersebut sangat memerlukan seorang guru dalam bidang pendidikan Islam. Sayugia diingat iaitu Cikgu Sulaiman yang sedia berkhidmat di sekolah tersebut bukanlah di bawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebaliknya Cikgu Sulaiman adalah di bawah Jabatan Agama Islam Johor. Antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Agama islam Johor mempunyai kurikulum serta sukatan pelajaran masing-masing. Justeru, Cikgu Sulaiman mengajar di sebelah petang (dan lebih dikenali sebagai sekolah agama atau sekolah petang). Manakala Cikgu Salmah pula mengajar di sebelah pagi dan tertakluk kepada dasar, kurikulum serta sukatan pelajaran sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal sebegini memang biasa di Johor hinggalah ke hari ini.



Pada ketika itu, Cikgu Ismail bin Abdullah (Allahyarham) merupakan antara guru cacat penglihatan yang berkhidmat di Sekolah Princess Elizabeth. Kata Cikgu Salmah, beliau banyak belajar Braille daripada Cikgu Ismail. Selain itu, kata Cikgu Salmah lagi, pada peringkat awalnya beliau juga tidak segan dan malu untuk belajar sistem tulisan Braille dengan murid-muridnya sendiri. Akhirnya berkat usaha yang tidak mengenal jemu dan malu, Cikgu Salmah telah berjaya menguasai sistem tulisan Braille dengan baik terutamanya tulisan Jawi dan Alquran Braille. Sebab itu, ketika saya mula menjejakkan kaki sebagai murid di Sekolah Princess Elizabeth pada pertengahan dekad 70-an lalu, Cikgu Salmah memang sudah mahir dengan sistem tulisan Braille.

Dengan kemahiran tulisan Braille yang dimiliki, Cikgu Salmah bukan sahaja dapat memanfaatkannya untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, bahkan ia telah dimanfaatkan lebih jauh dari itu. Setakat yang saya maklum, tatkala menyediakan bahan-bahan untuk pengajaran dan pembelajaran, menyemak kerja murid, apatah lagi dalam menyediakan soalan peperiksaan atau menyemak skrip jawapan murid, Cikgu Salmah amat jarang sekali menggunakan khidmat murid untuk sama ada membraillekan bahan atau membacakan jawapan kepadanya. Semuanya beliau lakukan sendiri. Hanya pada ketika-ketika tertentu, Cikgu Salmah akan meminta pertolongan muridnya, itupun sekadar untuk memastikan kesahihan tulisan Braille muridnya. Demikianlah tingginya kemahiran dan besarnya iltizam yang ada kepada guru-guru dalam pendidikan khas ketika itu.

Saya masih ingat lagi, sekitar tahun 1978, Cikgu Salmah telah memulakan program solat secara berjemaah bagi setiap waktu solat kepada semua murid PES. Sebelumnya, solat secara berjemaah hanya dilaksanakan ketika waktu zohor dan asar, serta pada waktu maghrib dan isya pada hari Jumaat, iaitu ketika Cikgu Sulaiman ada di sekolah. Pada waktu-waktu lain, murid-murid PES akan solat secara sendiri-sendiri. Untuk memastikan murid-muridnya solat berjemaah sebagaimana yang beliau rancangkan, Cikgu Salmah telah melantik dalam kalangan murid-murid sendiri mereka yang layak untuk menjadi imam dan bilal. Di bahu mereka inilah diamanahkan tanggungjawab untuk melaksanakan solat secara berjemaah terutama sekali pada ketika guru-guru agama seperti Cikgu Sulaiman dan beliau tiada di sekolah.

Alhamdulillah, dengan pelaksanaan program yang telah Cikgu Salmah rancangkan, maka solat secara berjemaah telah dilaksanakan pada setiap waktu tanpa mengira sama ada hari cuti atau hari persekolahan, tanpa mengira sama ada guru-guru agama ada di sekolah atau sebaliknya. Saya dimaklumkan, solat secara berjemaah dalam kalangan murid-murid PES terus dilaksanakan sehingalah ke hari ini. Demikianlah besarnya kesan daripada tarbiah yang telah dimulakan oleh Cikgu Salmah.

Selain itu, Cikgu Salmah juga telah mengajar murid-muridnya supaya membaca wirid dan doa setiap kali selepas solat. Wirid pendek akan dibaca selepas solat zohor, asar dan isyak. Manakala bacaan wirid yang lebih panjang akan dibaca setiap kali selepas solat maghrib dan subuh. Sekali lagi, para imam yang telah dilantik dalam kalangan murid akan diamanahkan untuk melaksanakan program bacaan wirid berkenaan.

Untuk mengimarahkan lagi surau sekolah, Cikgu Salmah telah memulakan program bacaan surah yasin dan tahlil pada setiap hari Khamis malam Jumaat, iaitu selepas solat maghrib. Sebenarnya program bacaan surah Yasin dan tahlil telah pun dilaksanakan oleh Cikgu Sulaiman pada setiap hari Jumaat malam Sabtu selepas solat maghrib. Program tersebut dibimbing sendiri oleh Cikgu Sulaiman. Walau bagaimanapun, keistimewaan program di bawah kendalian Cikgu Salmah ialah ia dikendalikan sendiri oleh murid-murid yang difikirkan layak. Ini bermakna, murid sendiri yang menjadi imam dan mengetuai bacaan surah Yasin dan tahlil hingga selesai dengan solat isyak. Boleh dikatakan, dalam setiap program berkenaan, Cikgu Salmah akan turut hadir dan akan bersolat sekali dengan murid-muridnya. Mana-mana yang patut ditegur, akan beliau tegur supaya ibadat akan lebih sempurna.

Untuk memeriahkan lagi aktiviti bacaan surah Yasin dan tahlil pada hari Khamis malam Jumaat tersebut, Kami semua akan dijamu dengan air sirap dan kuih iaitu setelah selesai solat isyak. Setahu saya, jamuan seperti itu telah berterusan pada setiap hari Khamis malam Jumaat sehinggalah Cikgu Salmah bertukar ke sekolah lain. Kemudiannya baru saya tahu iaitu wang perbelanjaan untuk jamuan tersebut bukannya wang sekolah, tetapi wang tersebut adalah dari wang saku Cikgu Salmah sendiri. Namun begitu, Cikgu Salmah tidak pernah menceritakan semuanya itu kepada kami semua. Demikianlah ikhlasnya guru-guru pendidikan khas ketika itu. Sesungguhnya keikhlasan yang disembunyikan seperti itu amat memberi kesan yang besar kepada diri saya.

Selain itu juga, Cikgu Salmah turut menggalakkan murid-muridnya supaya menghafal surah Yasin, bacaan tahlil serta doanya sekali. Saya masih ingat lagi, oleh kerana galakan tersebut, maka ada di antara kami yang berlumba-lumba untuk menghafal surah Yasin, wirid, bacaan tahlil serta doanya, di samping doa-doa lain. Kesannya, pada ketika itu, ramai juga di antara murid-muridnya yang menghafal sekurang-kurangnya surah Yasin dan juga bacaan tahlil.

Untuk mengalakkan murid-muridnya berpuasa pada bulan Ramadhan, Cikgu Salmah akan memberi hadiah berupa wang tunai kepada mana-mana muridnya yang berjaya berpuasa sebulan penuh. Oleh kerana hendakkan wang hadiah tersebut, ada antara muridnya yang akan terus berpuasa kalau sekadar demam sikit. Akhirnya baru saya tahu, wang hadiah yang beliau berikan itu juga merupakan dari wang sakunya sendiri.

Untuk memastikan supaya semua program yang telah diatur berjalan lancar di samping murid-muridnya mendapat tarbiah yang benar-benar sempurna dan berkesan, maka Cikgu Salmah telah mengambil inisiatif dengan membraillekan sendiri kitab wirid, surah Yasin dan tahlil. Setelah siap dibraillekan, beliau sendiri telah mencetaknya dengan menggunakan mesin cetak yang dikenali thermoform dan diberikannya kepada setiap murid seorang sebuah. Saya masih ingat lagi, antara yang terkandung dalam kitab tersebut termasuklah wirid selepas solat, 5 doa yang masyhur yang diamalkan selepas solat, surah Yasin, tahlil serta doanya, doa solat sunat hajat serta beberapa doa kecil yang lain.

Di samping itu, Cikgu Salmah turut menyalin ke dalam Braille kitab Berzanji. Seingat saya, Beliau telah menyalin kitab tersebut lengkap hingga rawi 19 serta dengan selawatnya sekali. Kesemuanya itu beliau lakukan secara individu. Hanya bila perlu, beliau akan meminta pertolongan terutamanya daripada Cikgu Ismail untuk menyemaknya.

Bagi saya, Cikgu Salmah tidak mungkin mampu melakukan semua itu jika beliau tidak mahir dengan sistem tulisan Braille, terutamanya tulisan Jawi dan Alquran Braille. Dengan adanya kitab-kitab yang telah disalin ke dalam bentuk Braille oleh Cikgu Salmah, maka murid-muridnya berupaya untuk lebih akrab dengan segala bacaan dan zikir yang perlu, tidak hanya semata-mata menerusi keupayaan menghafal, tetapi semuanya itu mampu diteroka melalui kemampuan mereka membaca sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille. Demi untuk murid-muridnya, Cikgu Salmah sanggup mengorbankan masanya. Setahu saya, kesemuanya itu beliau lakukan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran dan juga di luar waktu persekolahan.

Seorang rakan ada memberitahu saya, antara sebab beliau tertarik dengan agama Islam ialah cara Cikgu Salmah melaksanakan pengajarannya ketika di dalam kelas. Cikgu Salmah hanya memperkatakan mengenai kebaikan Islam. Katanya lagi, Cikgu Salmah juga tidak pernah membezakan antara murid Islam dan juga bukan islam ketika melayan semua muridnya. Cara sedemikian, kata rakan saya itu, mempunyai kesan jangka panjangnya yang tersendiri. Kata rakan saya itu lagi, itulah antara punca beliau tertarik dengan agama Islam dan hari ini beliau merupakan penganut Islam.

Selain itu, Cikgu Salmah mempunyai sifat keibuan yang tiada tolok bandingnya. Maklumlah kami semua tinggal di asrama dan berjauhan daripada ibu bapa sendiri. Seorang rakan pernah bercerita kepada saya, sewaktu beliau menghadapi masalah pada matanya, Cikgu Salmah telah memanggil rakan saya itu, dibawanya ke tempat yang sesuai dan Cikgu Salmah sendiri telah memerah susunya untuk dititikkan pada mata rakan saya itu. Bagi saya, berkesan atau tidak itu cerita lain. Yang pentingnya Cikgu Salmah telah melaksanakan tanggungjawabnya melebihi daripada seorang guru.

Ada ketikanya, Cikgu Salmah juga akan membawa mana-mana muridnya yang sesuai untuk membeli-belah di Bandar Johor Baru. Sebenarnya tujuannya bukanlah untuk membeli-belah sangat, tapi ia lebih kepada untuk mendedahkan kepada murid-muridnya suasana ketika membeli-belah.

Bila saya bertanya, pernahkah beliau mendapat apa-apa anugerah sepanjang beliau mengajar murid-murid cacat penglihatan, Cikgu Salmah diam. Setelah saya ulangi pertanyaan tersebut untuk kali kedua, Cikgu Salmah pun menjawab yang antara lain katanya, saya mendidik awak semua bukan untuk mendapatkan apa-apa anugerah. Saya ikhlas bila mengajar awak semua. Bila awak semua sudah menjadi manusia yang berguna, itu sudah cukup bagi saya. Lagipun, anugerah yang paling abadi ialah anugerah daripada Allah. Demikian jawab Cikgu Salmah. Terharu saya mendengar jawapan daripada beliau. Berdasarkan kepada apa yang Cikgu Salmah telah sumbangkan, maka tidak salah rasanya jika beliau juga patut dipertimbangkan untuk menerima apa jua bentuk anugerah. Namun begitu, saya penuh yakin, keikhlasan telah mengatasi segala-galanya. Justeru, saya dapat merasakan tidak terlintas dalam hati Cikgu Salmah untuk memikirkan mengenai anugerah lantaran jasanya kepada golongan cacat penglihatan.

Cikgu Salmah turut memberitahu saya, pada hari ini, Sekolah Princess Elizabeth merupakan sekolah yang paling beliau ingati dan murid-murid cacat penglihatan merupakan murid-murid yang paling beliau sayangi. Kenangan tatkala di Sekolah Princess Elizabeth bersama-sama dengan murid-murid yang cacat penglihatan sentiasa subur, segar dan mekar dalam lipatan memori beliau.



Sempena dengan kunjungan saya ke rumahnya, saya turut menyampaikan sebuah cendera mata kecil lagi tidak sepertinya kepada Cikgu Salmah. Cendera mata tersebut berupa tulisan surah Alfatihah yang ditulis dalam tulisan biasa dan juga dalam bentuk tulisan Alquran Braille. Ia sebagai tanda bahawa illmu yang beliau curahkan selama ini sangat bermanfaat kepada anak-anak muridnya. Saya turut memberitahu beliau, tulisan pada cendera mata tersebut saya hasilkan sendiri dengan menggunakan perisian komputer. Sebaik sahaja Cikgu Salmah menerima dan melihat cendera mata tersebut, beliau terus menangis. Saya tidak pasti mengapa beliau menangis. Mungkin beliau bersyukur kerana ilmu yang beliau curahkan selama ini telah dapat dimanfatkan oleh murid-muridnya. Mungkin juga kerana beliau teringat kisah silam tatkala mengajar di Sekolah Princess Elizabeth. Hanya Allah jua yang tahu apa sebenar sebabnya.





Sesungguhnya apa yang saya paparkan ini hanya merupakan setitis daripada selautan jasa yang telah Cikgu Salmah curahkan kepada golongan cacat penglihatan, walaupun beliau berkhidmat Cuma sekitar 11 tahun di Sekolah Princess Elizabeth. Orang seperti beliaulah yang sering membuatkan dunia kami celik walaupun tanpa penglihatan. Tiada apa yang dapat kami balaskan untuk beliau, melainkan doa setiap ketika semoga Allah sentiasa merahmati, memberkati dan memelihara Cikgu Salmah serta keluarga dan keturunannya.

Salam dari Kuantan.

1 comment:

Al-Kandance said...

salam,
saya bermiat mahu berjumpa dengan cikgu salmah untuk bertanyakan berkenaan tulisan braille... boleh x saya dapatkan alamat cikgu salmah atau no. telipon,...harapn sgt2.