Ruang siber adalah ruang tanpa batasan, tanpa had dan tanpa sempadan. Bagi saya, ada tiga aspek penting untuk membolehkan seseorang melungsuri ruang siber secara bebas, yakin dan jaya, iaitu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran. Dengan berbekalkan ketiga-tiga unsur ini, seseorang itu boleh melungsuri ruang siber mengikut perwatakan cipttaannya sendiri. Sebagai contoh, di luar ruang siber, dia mungkin seorang yang dianggap baik dan pendiam, tetapi apabila dia berjaya menembusi ruang siber, sikap dan perwatakannya berubah. Daripada seorang yang baik dan pendiam, dia berubah watak kepada seorang penggodam dan pelucah. Demikianlah hebatnya ruang siber.
Kepada mereka yang kini merupakan ahli kepada smpksetapak google groups, tentunya sudah maklum mengenai apa yang sudah terjadi. Dua orang murid yang berkebetulan sedang belajar di Sekolah Menengah Pdendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur dan mempunyai sedikit kemahiran ICT telah bertindak liar dengan mula menjadi penggodam. Mungkin ilmu godamnya masih belum khatam, maka tindakan godamnya telah dapat dikesan dengan cepat. Bak kata Cute, mereka pandai makan tapi tak pandai simpan!
Lebih malang lagi, godaman mereka bukan setakat merosakkan laman sesawang orang lain, bahkan ia turut disisipkan dengan perkataan-perkataan lucah. Kelak nanti orang lain akan berkata pula, mengapa muridnya kencing berlari, sebab gurunya kencing berdiri!
Apa yang menjadi perhatian saya ialah, hasil godaman mereka berdua, ia bukan sahaja telah membusukkan nama masing-masing, bahkan nama sekolah juga turut terkait dan terjejas. Bak kata orang tua-tua, kerana dua ekor kerbau yang membawa lumpur, habis semua terpalit. Agaknya, tak lama lagi, orang pun mula akan berkata, gurunya blogger, muridnya penggodam!
Sejak dari awal lagi, guru-guru di SMPK Setapak, khasnya pengetuanya sewaktu melancarkan Virtual SMPK Interactive (VSI) beberapa bulan lalu, telah mengingatkan semua murid, khasnya mereka yang terlibat dengan pengendalian VSI agar memanfaatkan ilmu serta ruang yang ada ke arah kebaikan serta untuk kemudahan pelajaran. Mereka juga turut diingatkan agar jangan sesekali menyalahgunakan ilmu dan kemudahan yang ada dengan berbuat perkara yang tidak baik dan tidak diingini. Namun hari ini, apa sudah jadi? Kerana dua titik nila, habis susu sekawah!
Bilamana anda berdua tidak berpenglihatan dan mahir pula dalam ICT, orang luar akan berkata: ”Isshh, tak sangka!” Bilamana anda berdua tidak berpenglihatan tetapi merupakan penggodam, orang luar juga akan berkata: ”Isshh, tak sangka!!!”
Saya sambut baik sikap berani salah seorang daripada mereka yang membuat pengakuan secara jujur dan terbuka. Saya sangat berharap semoga kedua-dua mereka tidak mengulangi lagi perbuatan yang tidak patut sebegitu. Anda berdua harus faham, bila anda berdua berbuat demikian, nama sekolah tempat anda berdua sedang belajar dan mungkin juga nama guru-guru yang sedang mengajar anda juga akan turut terkait sama, walaupun itu bukan kemahuan asal anda berdua. Ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Kepada anda berdua penggodam muda, gunakanlah ilmu serta pengalaman godam yang masih sedikit yang anda miliki itu untuk membanteras godaman orang lain pula.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
3 comments:
Assalamu'alaikum, saudara dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Maaf, dah lama tidak menghantar ulasan. Namun begitu, saya tetap mengikuti perkembangan dan artikel yang saudara sisipkan saban hari, dan ulasan saya mengenai artikel ini bukan bermaksud memihak atau membelakangi sesiapa; cuma, cukuplah kalau kita saling berkongsi pandangan, lebih-lebih lagi ke arah kebenaran.
Ya, terima kasih dan tahniah di atas pendedahan sebegini. Tajuknya pun mudah: "GODAM". Setelah membaca artikel ini, saya memang benar-benar bersetuju akan segala yang saudara nyatakan, lebih-lebih lagi, kita ini, kumpulan minoriti, sebagaimana yang pernah saudara sebutkan ketika membicarakan kes salah laku moral seorang daripada rakan senasib kita beberapa bulan lalu. Justeru, ingin sekali saya cadangkan agar pihak pentadbiran SMPK khasnya yang terlibat dalam pengajaran IT dan laman sesawag sekolah, juga Pengetua, senantiasa memantau aktiviti siber para pelajar kita ini agar tidak terlalu bebas bagaikan deruan ombak tsunami atau taufan yang memusnahkan apa sahaja yang dijumpai. Akhirnya, kepada adik-adik pelajar, kalian harus ingat, sesungguhnya segala yang ada di dunia ini, termasuk kemajuan IT, tidak bersalah; yang bersalah ialah kita, insan pengendalinya. Ibarat, memandu kenderaan biarlah patuhi hadlaju yang telah ditetapkan, di samping utamakan segala peraturan keselamatan. Walau apapun, masih belum terlewat bagi kalian yang telah terlanjur untuk kembali bertaubat nasuha dengan penuh keinsafan selagi nyawa dikandung badan, dan semoga kesilapan lalu jadi iktibar.
Terima kasih.
Salam sejahtera,
Saya adalah salah seorang ahli VSI. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada blogger yang berkenaan kerana sanggup meluangkan masa untuk menulis tentang fenomena ini. Sebagai seorang ahli VSI yang aktif, saya berasa amat malu dan tertekan dengan perangai rakan kami yang mungkin belum cukup matang walau-pun seorang yang terlibat sudah berumur. Dan, dengan tegasnya saya ingin mengeluarkan kenyataan bahawa tangan ahli VSI ini tidak akan Hanya memetik bunga sebagai respons kepada perkara ini. Saya akan berbincang dengan ketua dan pihak-pihak yang berkenaan dan diharap tindakkan tegas akan diambil ke atas mereka berdua, cadangan hukuman amat dialu-alukan! Akhir sekali, saya ingin meminta maaf kepada pihak sekolah , mewakili ahli VSI
terima kasih
terima kasih, satu peristiwa yang boleh diambil ibrahnya!
Post a Comment