Semalam (13 Julai), Ramalik Syah iaitu salah seorang rakan telah datang ke pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Kedatangan biasa saja. Namun begitu beliau telah berkongsi cerita yang mungkin agak mendukacitakan khususnya untuk diri dan keluarganya.
Antara punca mata pencarian utama beliau selama ini ialah membuat bakul rotan. Beliau memang berkeupayaan untuk membuat berbagai jenis bakul. Buatannya pula berkualiti dan memuaskan hati pelanggan.
Apa yang menjadi kerunsingan beliau kini ialah bekalan rotan yang merupakan bahan utama untuk membuat bakul semakin sukar untuk diperolehi. Katanya, selama ini pun harga rotan memang sudah semakin mahal. Kata Ramalik lagi, kilang di mana beliau memperolehi bekalan rotan sebelum ini yang terletak di Puchong juga bakal ditutup. Bekalan rotan yang ada di kilang tersebut hanya sekadar untuk menghabiskan stok sahaja.
Menurut Ramalik lagi, bermula Ramadhan ini, hampir pasti beliau akan kehilangan punca utama mata pencariannya. Bila saya tanya mengenai rancangan selanjutnya, beliau sendiri belum boleh memberikan kepastian. Apa yang mendukacitakan ialah ia berlaku tatkala umat Islam akan menyambut Ramadhan dan juga tidak lama lagi akan menyambut hari raya aidil fitri. Beliau mempunyai seorang isteri dan 6 orang anak. Anaknya yang sulung baru sahaja mendaftar untuk mengikuti kursus di sebuah institusi kemahiran di Melaka. Manakala anak-anaknya yang lain pula masih di bangku sekolah lagi. Kata Ramalik lagi, masalah yang sama iaitu kekurangan bekalan rotan juga turut dihadapi oleh sebuah pusat latihan di Pahang yang masih menganjurkan kursus untuk membuat bakul rotan kepada pelatih cacat penglihatan.
Gara-gara kekurangan bekalan rotan juga, salah seorang rakan saya yang selama ini turut mengusahakan bakul rotan di rumahnya di Pahang, mula bertukar profesion. Beliau kini mula menjadi seorang juruurut pula. Bila saya tanya sebab-musababnya, kata rakan berkenaan, selain kesukaran untuk mendapatkan bekalan rotan, persaingan sengit dengan bakul yang diperbuat daripada bahan lain juga turut memberi kesan. Bakul rotan lebih mahal harganya jika dibandingkan dengan bakul buatan bahan lain. Ini kerana harga rotan mentah yang merupakan bahan utamanya sudah sememangnya mahal.
Pada masa lalu, aktiviti membuat bakul rotan memang sinonim dengan golongan cacat penglihatan. Bahkan di peringkat sekolah rendah khususnya di SKPK Princess Elizabeth, Johor Baru, membuat bakul rotan merupakan salah satu kemahiran yang diajar kepada murid-muridnya. Saya sendiri pernah diajar kemahiran berkenaan.
Manakala Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) merupakan antara organisasi yang pernah menjadi pembekal bakul rotan yang terkenal terutamanya di sekitar lembah kelang. Antara pembuat bakul rotan yang pernah bertugas di MAB termasuklah Ramli, Yusuf, Ashari Abdullah (Allahuyarham) dan lain-lain lagi.
Di samping itu, ada juga pembuat bakul rotan yang mengusahakannya di rumah. Antara mereka termasuklah Samani Taib (kini usianya mungkin hampir 80 tahun) dan juga Ramalik Syah. Pihak MAB pula akan mengambil bakul-bakul yang telah mereka usahakan di ruah masing-masing untuk dipasarkan.
Itu cerita lama. Kini ia semakin suram dan malap. Apabila perusahaan membuat bakul rotan kian sukar, ini bermakna satu lagi pintu rezeki untuk golongan cacat penglihatan bakal tertutup.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
1 comment:
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Takziah ... Apapun, saya secara peribadi mendoakan Saudara Ramalek dan keluarga perbanyakkan bersabar atas musibah ini dan mohonlah kepada-Nya untuk memperoleh ganti sumber rezeki yang lebih baik lagi halal, tentunya.
Justeru, pada permasalahan sebegini, semua pihak, khasnya pihak berkuasa pusat, wilayah, hatta ke akar umbi, juga tidak terkecuali, sekalia banyak NGO, terutamanya yang "senior", perlu merangka agenda jangka pendek dan panjang dalam membela nasib ahli dan rakan. Contohnya, dengan izin, PERTIS sebagai NGO berteraskan Islam; di samping penganjuran aktiviti-aktiviti yang lebih kepada bersifat "menerima" sahaja bersama agensi bertauliah seperti kelas-kelas pengajian dan ceramah, rasanya, elok juga dianjurkan aktiviti-aktiviti berbentuk "sumbangan daripada ahli dan rakan" seperti penyampaian ceramah motivasi, pengendalian solat berjemaah, dan lain-lain, yang turut melibatkan agensi-agensi itu. Kiranya perlu, bolehlah juga menyertakan sekali media kewartawanan sebagai penyampai maklumat. Semoga setelah ini, pelbagai faedah bersama akan dinikmati semua yang antaranya:
1. Menyedarkan masyarakat khasnya saudara-saudara Muslim kita akan kelebihan di sebalik kekurangan kita, sekaligus menangkis fahaman sempit mereka terhadap kita;
2. Semoga setelah itu juga, nasib OKU lain juga beroleh perhatian sewajarnya, sekaligus kita insha Allah turut beroleh ganjaran-Nya lantaran sedikit kebaikan yang kita sumbangkan, dan
3. Membuka pintu kepada pencarian rezeki yang lebih luas, halal lagi baik.
Rasanya, sekadar nilah yang mampu saya fikirkan daripada kisah ini, dan saya percaya, saudara serta kepimpinan tentu lebih arif terhadap aspek perencanaan aktiviti dan kebajikan kami semua. Kepada NGO lain, kalian usahakanlah selaras dengan objektif penubuhan badan kalan itu, dan cadangan saya sebentar tadi hanyalah sebagai satu contoh. Akhir kata, ayuh, bangkitlah kita daripada lena nan panjang, khasnya kepada kalian yang berkemampuan, agar segala nikmat dan kurnia-Nya tak sia-sia pada perhitungan di mahkamah-Nya nan adil nanti. Yang baik itu daripada Allah, manakala yang kurang itu sudah tentu daripada diri saya yang masih perlu mengaji dan memperbaiki.
Salam Ramadhan Al-Mubarak kepada saudara sekalian, dan terima kasih.
Post a Comment