Wednesday, September 19, 2012

Berita Petang

Cikgu Raja Azidin Kembali Ke Rahmatullah

Pagi tadi, saya menerima berita daripada Ustaz Zulkifli Mamat bahawa Cikgu Raja Azidin bin Raja Anor Syah telah kembali ke rahmatullah. Saya ucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham di atas pulangnya beliau.

Cikgu Raja Azidin merupakan seorang guru yang cukup dikenali khususnya dalam kalangan generasi lama golongan cacat penglihatan. Beliau telah pun terlibat selaku guru dalam bidang pendidikan khas untuk murid-murid cacat penglihatan sejak awal tahun 60-an lagi. Beliau pernah berkhidmat di SKPK Princess Elizabeth, Johor Baru sejak awal tahun 60-an hingga pertengahan tahun 70-an. Setelah itu, beliau telah berpindah dan pernah bertugas di SMPK Setapak, Kuala Lumpur. Beliau juga pernah bertugas selaku guru resos di SMK Tinggi Setapak sebelum kembali mengajar semula di SKPK Princess Elizabeth pada tahun 1981. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah sebagai guru besar SKPK Princess Elizabeth juga. Beliau telah bersara pada tahun 1992.

Walaupun saya sendiri tidak pernah berada di bawah didikan beliau secara langsung, hubungan saya dengan Allahyarham mula terjalin erat sewaktu saya sedang menyempurnakan latihan ilmiah di SKPK Princess Elizabeth sekitar 21 tahun lalu. Bahkan beliau telah memberikan kerjasama yang begitu erat kepada saya bagi memudahkan saya untuk mencari dan mengumpul bahan. Maka itulah juga, sehingga kini suara Allahyarham masih ada dalam simpanan saya.

Bagi saya, Allahyarham mempunyai tiga keistimewaan yang tersendiri. Beliau merupakan antara yang mahir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran untuk murid cacat penglihatan. Beliau juga amat aktif dalam bidang sukan dan merupakan antara jurulatih terbaik ketika itu dalam melatih murid-murid dalam bidang tersebut. Allahyarham juga merupakan seorang yang mempunyai kemahiran tinggi dalam membaiki mesin taip Braille, satu kemahiran yang tidak ramai memilikinya sehingga ke hari ini.

Kepada semua, khususnya bekas murid Allahyarham, marilah kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham sentiasa dalam peliharaan Allah hendaknya. Biar apa pun bentuk pengalaman yang pernah kita lalui bersama Allahyarham, beliau tetap guru dan kita tetap muridnya. Jika ada sebarang kesalahannya kepada kita, sebaiknya kita ampunkanlah. Mudah-mudahan kebaikan yang kita lakukan hari ini akan dibalas dengan kebaikan juga pada esok dan lusa. Kepada ahli keluarga Allahyarham, sekali lagi takziah saya ucapkan.

Alfatihah ....


1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Ya, takziah buat keluarga Allahyarham; bersabarlah di atas musibah ini, semoga beliau diampuni, dirahmati serta tergolong dalam kelompok insan-insan soleh.

Sebagai salah seorang anak didiknya secara langsung dan tidak langsung, sememangnya kesemua keistimewaan Allahyarham itu memang benar. Malah, beliau juga merupakan Penolong Kanan, sekaligus merangkap Guru Disiplin, serta guru yang menyelia pancaragam The Mini Braille Dots sejak 1983 yang kemudiannya mengundurkan diri daripada tugas tersebut pada tahun 1988. Ketika itu, pancaragam kami tersebut telah membuang perkataan "mini" itu kerana dianggotai oleh saya dan rakan-rakan yang belajar di Rancangan Percantuman Maktab Sultan Abu Bakar. Juga, jangan lupa, antara keistimewaannya yang lain ialah kepetahan dan kefasihan Bahasa Inggerisnya, satu keistimewaan yang dimiliki guru-guru seperti beliau di zaman silam. Justeru, elok juga kita menghayati lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee: "Di Mana Kan Kucari Ganti"; lagu yang sesuai sekali untuk insan seperti Allahyarham. Tentunya ini bukan bermakna kita menghadiahkan kepulangannya mengadap Penciptanya ini dengan hiburan; tetapi, sebagai iktibar kepada kita yang masih hidup ini agar sentiasa menghargai jasa dan sumbangan orang lain terhadap kita walau sekecil atom sekalipun. Ini kerana, kebiasaannya, kebanyakan manusia, khasnya yang dikurniai kelebihan dan jarang berasa susah, akan mudah lupa daratan dan terkadang kufur nikmat sehingga permasalahan remeh-temeh pun jadi isu besar. Oleh itu, saya secara peribadi turut ingin memohon ampun dan maaf kepada ahli keluarganya, andainya kedapatan salahdan silap saya kepadanya dan kalian sepanjang hidupnya, di samping akan berusaha untuk bertaubat kepada-Nya.

Terima kasih, teruskan berkarya, dan salam jihad.