Saturday, September 14, 2013

Altasneem Dam Pen Pembaca Alquran Untuk Golongan Cacat Penglihatan




Saya pernah menulis menerusi blog ini mengenai usaha oleh sebuah syarikat, iaitu Altasneem Malaysia Sdn Bhd untuk menghasilkan pen pembaca Alquran untuk pengguna yang cacat penglihatan. Selama ini pun mereka sememangnya benar-benar serius untuk merealisasikan hasrat tersebut. Untuk itu, syarikat berkenaan turut membeli seunit embosser Braille (alat pencetak untuk tulisan Braille) dengan harga sekitar RM 10 ribu. Selain itu, salah seorang kakitangannya turut diberikan latihan asas mengenai penggunaan Duxbury (perisian komputer yang berkaitan dengan tulisan Braille). Di samping itu, syarikat berkenaan juga sentiasa berhubung dengan saya dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) bagi memperoleh pandangan dan pendapat mengenai usaha berkenaan dari masa ke masa. Demikianlah seriusnya mereka ke arah mencapai hasrat untuk menghasilkan pen pembaca Alquran untuk golongan yang cacat penglihatan.



Kini setelah berusaha sejak bebberapa tahun, hasrat mereka sudah tercapai. Altasneem sudah berjaya menghasilkan pen pembaca Alquran untuk golongan yang cacat penglihatan. Maknanya, pengguna yang cacat penglihatan boleh mengendalikan sendiri pen pembaca berkenaan tanpa perlu bergantung lagi kepada mereka yang berpenglihatan. Secara ringkasnya, pengguna akan dibekalkan dengan pen pembaca dan senaskah nota yang mengandungi butiran maklumat dalam tulisan Braille yang boleh digunakan untuk mengendalikan pen pembaca berkenaan.

Antara kegunaan dan kelebihan penggunaan pen pembaca ini termasuklah:

  1. Boleh memilih qari yang digemari.
  2. Boleh memilih surah yang dikehendaki.
  3. Boleh memilih bacaan qari yang disertakan dengan terjemahan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
  4. Boleh memilih untuk mendengar bacaan keseluruhan surah.
  5. Boleh memilih untuk mendengar ayat-ayat tertentu sahaja dalam surah yang dikehendaki.
  6. Boleh mengulangi mendengar bacaan mana-mana ayat dengan mudah.
  7. Boleh mendengar bacaan ayat sesudah atau sebelum daripada ayat yang sedang didengar dengan mudah dan cepat.
  8. Pengguna juga boleh pause bacaan yang sedang didengar dan boleh menyambung mendengar semula bacaan berkenaan.
  9. Boleh mengawal sistem bunyi dengan mudah

Pen pembaca Alquran ini turut dibekalkan bersama beg yang menarik. Ia ringan, kecil dan mudah untuk dibawa ke mana-mana. Saiz buku nota Braille yang disediakan juga lebih kecil daripada saiz buku Braille yang biasa kita temui. Jika kita ingin mendengarnya sendiri tanpa mengganggu orang lain yang ada di sekitar kita, kita boleh menggunakan earphone yang turut dibekalkan bersama. Pen pembacanya pula menggunakan batri 3A. Bagi memastikan pengguna sasarnya berpuas hati, pihak syarikat juga berlapang dada untuk mendengar apa jua pandangan, ulasan atau cadangan dan jika perlu akan melakukan penambahbaikan dari masa ke masa.


Kini pen pembaca tersebut sedia untuk ditempah oleh sesiapa sahaja terutamanya oleh mereka yang cacat penglihatan. Ia terbahagi kepada dua pakej harga. Perbezaan utama di antara kedua-dua pakej harga tersebut ialah kepada beg yang dibekalkan. Pakej pertama berharga RM 150.00. Manakala pakej harga kedua pula ialah RM 250.00. Mereka yang berminat boleh menempahnya melalui ibu pejabat Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Pihak Altasneem dan PERTIS merancang untuk mengadakan sesi demonstrasi dan promosi penggunaan pen pembaca berkenaan dalam masa terdekat.

Sesungguhnya inovasi berkenaan telah membuka satu lagi jalan khususnya untuk mereka yang cacat penglihatan untuk akrab dengan kitabullah (Alquran). Sesungguhnya juga, inovasi ini turut menambah koleksi inovasi untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan di negara kita.


1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Allahu Akbar! Subhanallah! Alhamdulillah! Nah, bukankah ini sesuatu yang membanggakan? Lantas, tiadalah lagi alas an mana-mana antara kita untuk menjauhkan diri daripada kalamullah ini, kan? Ya, sudah pasti, dalam apa keadaan pun, pembacaan secara ber"talaqqi" dengan para pengajar Al-Quran serta dengan imam-imam yang fasih, suatu kemestian, ditambah sokongan daripada teknologi sedemikian, yang mana, jika kedua-duanya mampu digunakan seoptima mungkin, insha Allah, usaha pengajaran dan pembelajaran Al-Quran bagi OKU penglihatan akan menjadi lebih mudah dan lancar. Justeru, kini, tepuk dada, tanyalah iman ... Sekalung tahniah kepada PERTIS di atas jalinan kerjasama secanggih ini, dan bersamalah kita doakan agar syarikat tersebut akan beroleh keberkatan bersama keuntunganberganda. Semoga langkah sedemikian akan diikuti syarikat-syarikat teknologi maklumat lain dalam menghasilkan produk "accessibility" sebegini untuk kita semua. Akhirnya, jangan lupa, ya, untuk menyertakan dalam slot pengumuman telemaklumat akan lokasi dan waktu demonstrasi tersebut akan diadakan, dan seboleh-bolehnya, biarlah dilangsungkan di Brickfields untuk memudahkan seramai mungkin rakan kita menyaksikannya. Mana tahu, kedapatan yang teringin untuk membelinya terus ...

Terima kasih.