Wednesday, September 4, 2013

johannians 1985 raya get-together 2013







Pada 1 September 2013 (Ahad) lalu, saya berkesempatan menghadiri perjumpaan bekas-bekas murid St. John’s Institution, KL untuk tahun 1985 dan 1986. Perjumpaan telah diadakan di Saloma Bistro And Theatre Restaurant, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Saya tiba di lokasi majlis agak lewat sedikit, iaitu sekitar jam 3.45 petang. Kelewatan ini disebabkan sebelumnya saya menghadiri majlis aidil fitri anjuran Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Negeri Sembilan yang telah diadakan di Seremban.


Setibanya saya sekeluarga di lokasi majlis, beberapa orang rakan terus memanggil nama saya dan kami terus bersalaman. Ada antara mereka yang sudah lama tidak bertemu. Antaranya Cavin dan Zaidi. Syarifuddin yang juga merupakan antara tonggak utama majlis ini turut mengalu-alukan kehadiran saya. Beliau juga yang telah menghubungi saya sehari sebelumnya dan meminta agar saya datang juga ke majlis ini.




Saya turut dimaklumkan, Cikgu rubiah juga turut sama hadir di majlis ini tetapi terpaksa pulang lebih awal. Maklumlah katanya ada 3 majlis yang perlu beliau hadir di sepanjang hari berkenaan. Nampaknya semakin di hujung perkhidmatan, semakin sibuk dibuatnya.


Memang benar kata orang, waktu yang paling indah dalam hidup kita ialah ketika di alam persekolahan dan juga di menara gading. Sewatu di sekolah menengah, saya bersekolah di St. John’s Institution, KL dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 6 atas. Pada masa yang sama , saya tinggal di asrama SMPK Setapak. Ini bermakna, dalam sehari saya akan bergaul dengan dua kelompok rakan. Ketika di sekolah, saya bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang berpenglihatan. Manakala ketika di asrama pula saya bergaul dengan rakan-rakan yang tidak berpenglihatan. Sesungguhnya pergaulan dengan dua kelompok rakan dalam satu masa mempunyai kelebihan yang sangat istimewa yang tidak tergambar oleh kata-kata.


Ketika di sekolah, saya akan belajar bersama-sama dengan rakan-rakan yang berpenglihatan dalam satu kelas. St. John’s Institution merupakan sebuah sekolah yang ternama di Kuala Lumpur. Murid-muridnya pula terdiri daripada pelbagai latar belakang. Sewaktu saya bersekolah iaitu di sekitar dekad 80-an, beberapa orang anak menteri ketika itu turut bersekolah di sekolah yang sama. Manakala saya pula hanyalah seorang murid yang cacat penglihatannya, berasal dari kampung dan anak orang tidak berada pula. Namun demikian, oleh kerana hubungan yang akrab antara saya dengan rakan-rakan berpenglihatan yang lain, perbezaan yang ada tidak menjadi penghalang bagi hubungan yang lebih intim antara saya dan mereka.


Sewaktu belajar, rakan-rakan saya yang berpenglihatan kebiasaannya amat mudah untuk menghulurkan pertolongan terutamanya selaku pembaca sukarela. Maklumlah bahan-bahan bacaan tambahan bukannya sudah tersedia dalam bentuk Braille. Untuk itu, rakan-rakan yang berpenglihatan inilah yang akan membacakan bahan-bahan tersebut untuk saya salin pula ke dalam tulisan Braille. Selain itu, bila guru menulis di papan hitam rakan yang duduk di sebelah yang akan membacakan apa yang ditulis oleh guru tersebut kepada saya.


Saya masih ingat ketika di tingkatan tiga, kelas kami telah buat bising. Ini menyebabkan seorang guru disiplin datang ke kelas kami. Guru tersebut bukan sahaja memarahi kami, tetapi telah mengarahkan semua murid dalam kelas berkenaan supaya keluar dan berdiri di luar kelas. Walaupun saya tidak terlibat dengan kebisingan tersebut, guru berkenaan turut mengarahkan saya supaya turut berdiri di luar kelas. Pada ketika itu saya beranggapan guru berkenaan zalim kerana telah menghukum saya yang tidak terlibat dengan kebisingan tersebut. Pada hari ini, saya memuji tindakan guru berkenaan kerana tidak membezakan antara si celik dengan si buta. Sesungguhnya pada hari ini “pengalaman manis” sedemikian amat jarang dilalui oleh murid seperti saya walaupun di sekolah tempat saya bertugas sekarang.


Antara rakan paling rapat dengan saya ketika itu ialah anak kepada salah seorang pengarah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Hubungan kami berdua memang sangat baik. Saya sering ke rumahnya di Changkat Tunku terutamanya pada hujung minggu atau semasa cuti panjang. Kini bapanya sudah bergelar Datuk Seri. Manakala anaknya pula (rakan baik saya) sudah pun kembali ke rahmatullah sekitar 12 tahun lalu akibat kemalangan jalanraya.


Bagi saya, pengalaman ketika belajar di St. John’s Institution KL banyak membentuk persepsi dan membina world view saya. Ada ketikanya, hampir setahun saya harus pergi dan balik dari sekolah dengan menaiki kenderaan awam. Sesat barat sudah menjadi lumrah. Kena marah dengan pemandu bas pun sudah jadi asam garam. Terlanggar dan terjatuh bukan lagi sesuatu yang asing. Orang beri wang semasa saya pergi dan balik dari sekolah juga sudah agak biasa. Mungkin kerana saya jarang tidak siapkan kerja sekolah, maka itulah juga saya jarang kena marah atas sebab-sebab berkenaan.


Kini saya dan rakan-rakan yang seusia semakin hampir ke umur separuh abad. Masing-masing dengan kerjaya masing-masing. Ada yang menjadi personaliti terkenal. Ada yang menjadi ahli perniagaan berjaya. Ada yang sudah menjadi pemberita dan wartawan ternama. Ada yang sudah menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam dan korporat. Ada juga yang sudah dianugerahi dengan gelaran datuk. Biar apa jua bidang yang sedang mereka ceburi, yang mengharukan saya ialah mereka masih tetap ingat kepada saya.


Sebenarnya rakan-rakan saya bekas-bekas murid SJI 1985 kerap juga membuat perjumpaan, tetapi saya agak jarang menyertai mereka kerana kesuntukan masa. Maka itulah juga, pertemuan pada 1 September lalu merupakan sesuatu yang amat berharga untuk saya.


Kepada Syarifuddin yang telah menelefon saya dan mengundang saya, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Kepada rakan-rakan yang lain, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Kalau tidak kerana kesudian serta keikhlasan kalian membantu dan menolong saya ketika kita sama-sama di bangku sekolah dahulu, tidak mungkin saya dapat menggapai cita-cita menjadi seorang pendidik hari ini. Akhirul kalam, saya juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tidak terkira kepada semua guru yang pernah mendidik saya khususnya semasa saya belajar di St. John’s Institution KL.


Sebagai santapan mata, di sini saya kongsikan beberapa foto yang sempat diambil sewaktu pertemuan tersebut.


















No comments: