Pada 31 Ogos (Sabtu), saya sekeluarga telah menghadiri majlis perkahwinan anak Kak Ani (Pn. Noraini Syarif). Kak Ani pernah bertugas di SMPK Setapak pada dekad 70-an hingga ke dekad 90-an. Beliau kemudiannya telah berpindah dan bertugas di Jabatan Pendidikan Khas (JPK), Kementerian Pendidikan Malaysia. Maka itulah, bila beliau mengadakan majlis perkahwinan anaknya, saya serta beberapa orang bekas murid/penghuni asrama SMPK Setapak turut diundang sama.
(Kak Ani tuan rumah)
Sewaktu saya tiba di lokasi majlis di Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Taman Keramat, majlis hampir di penghujung.Namun demikian, tetamu masih ada dan makanan juga masih berbaki untuk kami nikmati.Kebetulan pula, hujan lebat turun. Ini sekaligus membataskan pergerakan kami dan juga para tetamu lain yang masih ada.
Tatkala saya sedang menjamu selera, tiba-tiba isteri saya memberitahu dia ternampak seseorang yang sememangnya kami kenali dan juga kenal akan kami. Sewaktu bertemu pandang, wanita berkenaan memberitahu memang dia masih ingat tetapi terlupa nama (nama isteri saya). Kemudian isteri saya memberitahu wanita tersebut, “Nanti bila jumpa suami saya, tentu lebih ingat lagi”.
Setelah beberapa ketika, wanita tersebut dan suaminya datang dan duduk semeja dengan kami.Mungkin setelah melihat saya, baru dia betul-betul ingat kepada kami. Wanita tersebut bukan sekadar ingat begitu sahaja, bahkan nama saya juga turut beliau ingati semula.
(Mad Shah Satray)
Inilah dia Pn. Norlela Othman.Suaminya pula ialah En.Mad Shah Satray.Mad Shah Satray ialah orang yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 7 tahun dan 3 bulan, iaitu bermula tahun 2002 hingga tahun 2009.Ini merupakan pertama kali saya bertemu dengan Mad Shah Satray.Manakala Pn. Norlaila pula telah pun saya kenali sejak 6 atau 7 tahun yang lalu.Beliau juga pernah mengunjungi rumah saya.
Pn. Norlaila juga aktif dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).Sebelum ini saya sekadar mendengar kisah penahanan suaminya sahaja. Dalam peertemuan yang saya rasakan amat singkat ini, saya berpeluang mendengar sendiri daripada Mad Shah mengenai penahanan beliau secara ringkas. Kesempatan yang begitu singkat ini juga turut saya gunakan untuk mendengar sendiri kisah kehidupan beliau ketika dalam tahanan.Sesungguhnya pengalaman berharga Mad Shah mula menjadi pengetahuan berguna saya pula. Mungkin latar belakang pendidikan saya ialah sejarah, maka saya sememangnya gemar mendengar kisah-kisah pengalaman orang lain. Mudah-mudahan ia akan jadi pengetahuan saya pula sebagai iktibar yang amat berharga.
Setelah hujan agak reda, kami mula beransur untuk beredar.Dalam hati, saya menyimpan tekad untuk bertemu lagi dengan Mad Shah untuk mendengar lebih lanjut mengenai kisah kehidupannya sebagai tahanan ISA.
Kepada Kak Ani, selamat menerima menantu. Mudah-mudahan kekal hingga ke syurga, insha-Allah.Terima kasih juga saya ucapkan kepada Kak Ani kerana masih mengingati saya walaupun kini kami jarang bertemu dan berhubung.
No comments:
Post a Comment