Friday, September 19, 2014

Fitnah Dan Cerca



Firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: “....dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh ....” (Albaqarah, ayat 191).

Secara umumnua fitnah adalah berita atau perkhabaran yang tiada unsur kebenaran padanya. Sepertimana yang termaktub dalam petikan ayat Alquran di atas, angkara dan kesan daripada perbuatan fitnah-memfitnah lebih buruk daripada perbuatan membunuh. Gara-gara fitnah-memfitnah, ia boleh menghancurkan bukan sahaja sebuah keluarga atau masyarakat, bahkan kesan buruknya berupaya menghancurkan sebuah negara dan juga memusnahkan sebuah tamadun. Demikianlah besarnya implikasi perbuatan fitnah.

Hari ini, perkara yang paling malang sekali dalam gerakan Islam ialah bilamana berlakunya gejala fitnah-memfitnah. Elemen yang amat buruk ini begitu berleluasa sekali khususnya dalam kalangan sesetengah pendokong gerakan tersebut. Berdasarkan sejarah, mana-mana negeri atau jemaah yang sedang dilanda gejala sedemikian, akan memperoleh dua kesan, sama ada gerakan jemaah yang berkenaan akan hancur dalam masa terdekat, ataupun jika mereka bersabar dan sentiasa istikamah dengan Allah maka jemaah berkenaan akan beroleh kejayaan dalam menempuh cabaran sedemikian.

Dalam sejarah Islam, antara penyebab berlakunya pembunuhan ke atas Khalifah Uthman bin Affan ialah bilamana berlaku fitnah pada zaman beliau hingga tidak terbendung lagi. Fitnah yang disebarkan telah melenyapkan semangat ukhwah islamiyah yang telah dipupuk kukuh oleh Rasulullah sebelumnya. Implikasi daripada fitnah tersebut ialah bibit-bibit perpecahan dalam kalangan umat Islam mula tersemai. Ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mempergunakan situasi fitmah tersebut untuk mengukuhkan kekuasaan politik mereka. Manakala pihak lain yang cuba mengembalikan saat keemasan Islam yang pernah dinikmati sebelumnya nampaknya kurang berjaya. Semuanya ini adalah kerana kuatnya kesan fitnah-memfitnah.

Semasa daulah Umaiyah, cercaan terhadap Khalifah Ali bin Abi Talib telah berleluasa khususnya dalam khutbah Jumaat. Cercaan tersebut lebih bermotifkan politik. Ia bertujuan untuk memanjangkan hayat daulah Umaiyah dengan menyemai kebencian masyarakat ke atas Khalifah Ali dan keluarganya. Perlakuan tersebut telah bermula sejak zaman Khalifah Muawiyah bin Abi Sufian lagi. Walau bagaimanapun, perbuatan mencerca tersebut telah diakhiri oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz (khalifah kelapan) dan menggantikannya dengan bacaan ayat 90 dari surah An-Nahli.

Implikasi daripada cercaan tersebut ialah umat Islam sukar untuk bersatu. Kesan jangka panjangnya ialah berlaku pemberontakan daripada kalangan keturunan Abbas bin Abdul Muttalib yang akhirnya berjaya menggulingkan kerajaan Umaiyah. Kesan cercaan berkenaan tidak berlaku sekelip mata, tetapi ia telah membarah dalam senyap yang akhirnya telah meranapkan daulah Umaiyah yang hanya sempat berkuasa selama 91 tahun sahaja.

Gara-gara fitnah juga, nasib malang telah menimpa keluarga Barmaki semasa era kerajaan Bani Abbasiyah. Walhal keluarga berkenaan begitu besar jasanya terhadap kerajaan Abbasiyah. Kesetiaan dan sumbangan keluarga Barmaki terhadap keutuhan daulah Abbasiyah amat besar sekali. Akhirnya kerana fitnah keluarga berkenaan telah hancur dengan sekelip mata sahaja.

Gejala fitnah juga turut berlaku di zaman kerajaan Turki Uthmaniyah. Umpamanya fitnah yang pernah berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Alqanuni (1520-1566) dan juga semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid iii (1876-1909). Wlaupun gejala fitnah ini tidak memusnahkan kerajaan Turki Uthmaniyah secara sekelip mata, tetapi tidak dapat dinafikan fitnah yang berleluasa merupakan antara faktor kejatuhan kekhalifahan Uthmaniyah pada tahun 1924.

Firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: “Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al- Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Yusuf, ayat 111).

Walaupun sejarah merupakan kisah benar yang sudah berlaku, tetapi untuk mengharungi masa depan yang lebih cemerlang, sejarah adalah panduan yang paling berkesan. Sejarah bukan sekadar tarikh dan waktu berlakunya sesuatu peristiwa. Bahkan yang lebih aula ialah iktibar yang boleh dijadikan teladan dan sempadan dalam setiap kisah sejarah. Jika kisah sejarah itu mengenai kejayaan atau keagungan sesebuah kerajaan, empayar atau tamadun, maka kita seharusnya meneladaninya supaya kegemilangan atau kejayaan yang serupa dapat kita kecapi. Sebaliknya jika kisah sejarah itu mengenai kehancuran, kekufuran atau kemusnahan sesuatu kaum, empayar atau tamadun, maka sama-samalah kita menyempadaninya agar perkara yang serupa tidak menimpa kita, bangsa kita dan negara kita. Demikianlah.

Maka itulah dalam kitab suci Alquran terdapat banyak ayat yang berunsur sejarah. Apakah tujuannya? Tentulah antaranya ialah agar manusia mengambil peringatan daripadanya. Menerusi kisah sejarah itu juga manusia diharap tidak akan mengulangi apa jua perbuatan yang dimurkai Allah. Tujuannya ialah supaya kita tidak ditimpa kemurkaan yang sama sebagaimana yang pernah menimpa umat dan kaum yang terdahulu.

Justeru membaca sejarah tidak sama dengan membaca cerita biasa. Kesahihan kisah sejarah sebagaimana yang terdapat dalam Alquran merupakan sesuatu yang tidak tersangkal lagi. Surah Hud umpamanya banyak mengisahkan kemusnahan ketamadunan manusia. Sebabnya ialah kerana mereka (manusia) sombong, angkuh dan derhaka kepada Allah serta melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah. Justeru, ada tamadun dahulu kala yang telah dihancurkan oleh Allah tanpa meninggalkan sebarang kesan. Bala dan kecelakaan yang telah ditimpakan Allah ke atas umat yang derhaka amat dahsyat dan tidak tergambar dengan bahasa dan imaginasi.

Bukankah fitnah-memfitnah itu termasuk antara perkara yang dilarang oleh Allah? Tidakkah dengan melakukan perbuatan fitnah, manusia sebenarnya mengundang kemurkaan Allah? Apakah kita sebenarnya sudah cukup kuat dan sudah cukup bersedia untuk menerima bala dan pembalasan ekoran perbuatan fitnah yang kita sendiri melakukannya sebagaimana yang pernah menimpa ke atas umat-umat yang terdahulu?

Dalam Alquran, Allah ada memberi peringatan kepada golongan yang beriman, antara lain firman Allah yang mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Alhujurat, ayat 6).

Bagi golongan yang mengaku beriman dengan Allah dan rasul-Nya, sudah tentulah mereka akan menjadikan ayat ini sebagai panduan yang amat berguna apabila mereka mendengar sebarang berita atau perkhabaran. Apatah lagi jika berita atau perkhabaran itu ada kaitan langsung dengan saudara-saudara yang seagama dengannya. Setiap berita yang sampai kepadanya akan ditapis dengan sehalusnya. Dengan berbuat demikian, maka pasti fitnah akan dapat dihindarkan.

Dalam menangani gejala fitnah ini, Allah sudah pun menunjukkan kepada kita kaedah yang paling berkesan untuk menghindarinya. Namun demikian, oleh kerana kegagalan kita dalam mengikuti tunjuk ajar kaedah yang telah diperintahkan dalam Alquran, maka itulah gejala fitnah-memfitnah ini semakin berleluasa tanpa mengira masa dan siapa lagi.

Bukankah dalam Islam, ada akhlak dan adabnya apabila kita hendak menyebarkan sesuatu perkhabaran atau berita? Jika berita itu baik dan menggembirakan, maka cepat-cepatlah sampaikan berita berkenaan. Jika perkhabaran atau berita itu buruk atau mendukacitakan, lewatkan penyampaian perkhabaran atau berita berkenaan. Selain itu, berita yang buruk itu hendaklah disampaikan dengan cara penuh berhemah bagi meminimumkan kesannya. Demikianlah indahnya agama kita.

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di mana sesuatu perkhabaran atau berita itu boleh tersebar dengan begitu pantas dan tanpa sempadan pula, sudah tentulah gejala fitnah-memfitnah lebih mudah berlaku dan penyebarannya pula amat pantas dan sangat meluas. Justeru, sudah pastilah ia menuntut semua pihak agar lebih berhati-hati, lebih teliti, lebih bertanggungjawab serta lebih bersabar tatkala menerima sebarang berita yang diragui akan kesahihannya atau terang dan nyata ada unsur fitnah. Penapisan dan siasatan yang rapi dan halus perlu dibuat terhadap apa jua berita dan perkhabaran yang sampai kepada kita sebelum kita pula menyebarkannya kepada pihak lain dengan apa kaedah jua pun. Sudahlah kita percaya dengan berita dan khabar yang berunsur fitnah, kemudian kita sebarkannya pula kepada pihak lain. Tidakkah cara sedemikian hanya akan memburukkan keadaan? Sedarkah kita perlakuan fitnah-memfitnah amat berpotensi mengundang murka Allah terhadap kita?

Firman Allah lagi dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Alhujurat, ayat 11).

Seperkara lagi, pada hari ini ada dalam kalangan kita dengan sewenang-wenangnya gemar melemparkan kalimah-kalimah yang tidak wajar dan tidak sesuai ke atas saudara-saudara yang seagama dengan kita. Sebagai contoh, adakalanya kita suka mengaitkan saudara-saudara yang seagama dengan kalimah munafik dengan sesuka hati sahaja. Walau apa pun tujuannya, perbuatan yang sedemikian sama sekali tidak boleh diterima. Ketahuilah kita semua, golongan munafikin merupakan antara golongan yang dimurkai Allah dan akan mendapat azab yang sangat pedih daripada Allah. Golongan tersebut juga tidak akan mencium bau syurga buat selama-lamanya. Adakah sama antara orang Islam dengan golongan munafikin? Jika kita tidak suka orang lain melabelkan kita dengan golongan tersebut, mengapa ada dalam kalangan kita yang begitu mudah melabelkan orang lain dengan gelaran sedemikian?

Selain itu, ada juga dalam kalangan kita yang gemar mengaitkan saudara-saudara yang seagama dengannya dengan individu-individu yang terang-terang dimurkai Allah. Dalam Alquran, terdapat 7 individu yang dimurkai Allah dengan namanya disebut secara spesifik. Mereka ialah:

1. Azar (bapa Nabi Allah Ibrahim).
2. Jalut.
3. Firaun.
4. Haman.
5. Qarun.
6. Samiri.
7. Abu Lahab (bapa saudara Nabi Muhammad).

Antara ciri-ciri individu yang dimurkai Allah sebagaimana namanya di atas ialah, mereka merupakan penentang tegar dakwah para nabi, mereka tidak akan mendapat keampunan daripada Allah, mereka akan kekal dalam neraka buat selama-lamanya. Sesungguhnya mana-mana individu yang namanya telah dicatat dengan catatan yang buruk dalam Alquran, pastilah terdiri daripada mereka yang jahat, keji dan zalim. Justeru, perlakuan menggelar atau melabel sesiapa pun dalam kalangan saudara seislam dengan nama individu yang secara jelas telah dimurkai Allah dan namanya sudah dicatat dengan catatan yang buruk dalam Alquran merupakan sesuatu yang sangat tidak wajar dan tidak boleh diterima sama sekali. Sesungguhnya tidak akan jatuh kualiti bahasa, perkataan atau tulisan seseorang tanpa menyertakan nama individu yang telah dimurkai Allah dengan melabelkannya kepada orang-orang yang seagama dengan kita. Sebaliknya bilamana nama-nama individu yang dimurkai Allah itu kita gunakan pula untuk melabel saudara-saudara yang seagama dengan kita, nescaya akan keji dan buruklah nama individu yang melakukannya di khalayak manusia, barang dijauhkan Allah kita daripadanya.

Firman Allah lagi dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".
(Taha, ayat 43-44).

Justeru, adalah disarankan agar kita menggunakan bahasa, perkataan dan tulisan yang lembut dan baik terutamanya dalam memberi teguran atau nasihat kepada orang lain. Sedang Nabi Allah Musa dan Nabi Allah Harun telah diperintahkan oleh Allah supaya bercakap dengan lembut kepada Firaun yang merupakan seorang manusia yang kasar, zalim dan derhaka kepada Allah. Sipalah kita jika hendak diumpamakan dengan kedua-dua nabi Allah di atas? Adakah orang yang kita kasari dengan tulisan atau perkataan itu lebih keras, lebih zalim atau lebih derhaka sifat dan perangainya daripada Firaun?

Sesungguhnya tidak akan rugi sama sekali bilamana kita berbahasa, bercakap atau menulis dengan kalimah dan bait-baik ayat yang sopan dan lembut terutamanya dalam memberi teguran atau nasihat kepada orang lain. Sebaliknya jika kita kasar, keras atau gemar melabel ketika memberi pandangan atau nasihat walaupun fakta dan isinya mungkin betul dan benar, pandangan atau teguran yang diketengahkan mungkin tidak didengar orang. Orang yang bersikap dan bersifat sedemikian akan dipandang dengan pandangan keji oleh sekalian manusia. Akhirnya hasrat dan misi untuk berdakwah tidak akan kesampaian.

Ketahuilah kita semua, bahawa agama (Islam) itu adalah nasihat. Oleh itu, sama-samalah kita memberi teguran dan pandangan dalam kalangan sesama kita dengan perkataan, tulisan dan bahasa yang baik persis sebagai nasihat. Dengan cara sedemikian, lambat-laun orang akan dengar dan pakai juga apa yang kita utarakan. Sekeras-keras kerak nasi, jika direndam dalam air akan lembut juga akhirnya. Sebaliknya, jika kita mengutarakan pandangan dengan cara mencerca, mencaci atau melabel yang tidak baik, dikhuatiri orang akan jauh dengan agama. Batu yang keras bila dilagakan antara kedua-duanya, ia mungkin akan pecah tetapi kerasnya tetap kekal.

Firman Allah lagi dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (An-Nisa’, ayat 59).

Petikan ayat Alquran di atas cukup jelas memberi panduan kepada kita bagaimana untuk menguruskan sesuatu krisis, konflik atau perselisihan dalam kalangan golongan yang mengaku beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Jika berlaku perselisihan atau krisis sesama kita, maka sepatutnya kita hendaklah merujuk kepada apa yang telah difirmankan Allah dalam Alquran atau apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah dalam hadith. Sejauh manakah kita telah menguruskan perselisihan atau krisis yang berlaku dengan menjadikan Alquran dan hadith sebagai rujukan dan panduan?

Marilah kita sama-sama beringat, Rasulullah telah meninggalkan kepada umat baginda dua perkara. Kita tidak akan sesat buat selama-lamanya jika berpegang teguh dengan kedua-dua perkara tersebut. Sebaliknya jika tidak berpegang teguh kepada kedua-duanya, kita akan sesat barat. Kedua-dua perkara tersebut ialah Alquran dan sunnah Rasulullah.

Saya bukannya alim dan pandai. Saya sekadar berkongsi secebis peringatan untuk diri sendiri dan juga untuk sesiapa yang gemar akan peringatan.


No comments: