Tuesday, September 30, 2014

PERTIS Harus Terus Ke Hadapan



Pada ketika ini, di negara kita, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan untuk golongan yang cacat penglihatan yang berorientasikan Islam. Walau bagaimanapun, “hak eksklusif” ini bukannya selama-lamanya boleh dikekalkan seperti yang ada sekarang. Ini adalah kerana PERTIS hanyalah sebuah persatuan yang terbakluk di bawah pemantauan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS). Manakala ROS pula adalah jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk melulus atau membatalkan mana-mana badan bukan kerajaan yang ditubuhkan di bawah peraturan-peraturan tertentu. Dengan erti kata lain, sekiranya ada sejumlah orang yang berhasrat untuk menubuhkan satu lagi badan bukan kerajaan yang seumpama PERTIS tetapi dengan objektif dan nama yang mungkin sedikit berbeza dan sekiranya ia diluluskan oleh ROS, maka PERTIS tiada kuasa dan hak untuk menghalangnya. Pada ketika itu, “hak eksklusif” sebagaimana yang ada sekarang akan terhapus dengan sendirinya.

Justeru, saf kepimpinan PERTIS yang ada sekarang harus benar-benar peka dengan apa yang sedang berlaku sama ada di luar PERTIS mahupun di dalam lingkungan persatuan itu sendiri. Seluruh saf kepimpinan harus bersatu dan berpadu antara satu sama lain kerana bersatu teguh dan bercerai roboh. Seluruh saf juga hendaklah sentiasa sepakat dan sekata dalam memutus dan melaksanakan sebarang tindakan atas nama persatuan. Ingatlah bulat air kerana pembentungnya dan bulat manusia kerana muafakat.

Semasa saya masih sebagai YDP, saya sering mengingatkan kepada diri sendiri dan juga kepada saf kepimpinan yang ada ketika itu iaitu selaku orang yang diamanahkan untuk memimpin, kita harus sama-sama melaksanakan tiga perkara asas jika ingin melihat PERTIS lebih cemerlang dan gemilang pada masa hadapan. Sesungguhnya kecemerlangan dan kegemilangan itu bukan milik PERTIS, sebaliknya ia adalah kurniaan Allah jua. Oleh itu, jika PERTIS dikurniakan dengan kecemerlangan dan kegemilangan, biarlah ianya kecemerlangan dan kegemilangan yang dilingkungi dengan keberkatan. Apabila PERTIS dilimpahi dengan sesuatu kejayaan, maka sambutlah ia dengan kesyukuran dan bukan dengan kebanggaan. Sesungguhnya kesyukuran itu akan menambah lagi nikmat Allah kepada kita (sebahagian daripada mafhum ayat 7 surah Ibrahim).

Bagi saya, sebelum kita mencemerlangkan organisasi yang dipimpin, saf kepimpinannya hendaklah terlebih dahulu cemerlang dan berwawasan. Saf kepimpinannya juga harus kental dan tabah dalam mengharungi pelbagai cabaran. Maklumlah, walaupun PERTIS sebuah persatuan yang kecil jika hendak dibandingkan dengan beberapa organisasi lain, tetapi ia masih tidak sunyi daripada pelbagai cabaran sama ada dari luar mahupun dari dalam. Para pemimpin PERTIS juga harus berupaya untuk berfikir dan bertindak bagi jangka masa bertahun-tahun ke hadapan. Barulah PERTIS berupaya untuk sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

Dalam konteks ini, mana-mana pemimpin yang lebih senior hendaklah memberi tunjuk ajar kepada yang lebih junior. Manakala yang junior pula hendaklah sentiasa berlapang dada untuk belajar daripada yang lebih lama berkecimpung dalam persatuan. Tegur-menegur dan saling nasihat-menasihati demi mencari yang terbaik hendaklah sentiasa dipraktikkan ketika berpersatuan. Sesungguhnya ingat-mengingati amat besar manfaatnya kepada mereka yang beriman (sebahagian daripada mafhum ayat 55, surah Az-Zariat).

Pemimpin yang lebih senior jangan bersikap lepas tangan dan membiarkan mereka yang baru terkapai-kapai membuat kerja persatuan. Pengalaman lama hendaklah digunakan untuk memantapkan organisasi. Kesilapan lama jangan diulang kerana jika ia berlaku juga, maka amat malanglah organisasi yang dipimpin. Sesungguhnya tidak cukup makanan dalam majlis yang dianggap berskala besar dengan jemputan kepada sesiapa sahaja merupakan satu kesilapan yang sukar untuk difahami.

Bagi saya, adalah kurang tepat jika ada dalam kalangan pemimpin yang ada cuba membandingkan antara ikan bilis dengan ikan jerung. Bilis tetap bilis juga, tidak akan sama dan tidak sepadan dengan sijerung. Walau bagaimanapun, jika ada dalam kalangan pemimpin PERTIS yang ada hari ini berjaya menjadikan ikan bilis kepada ikan jerung (asal jangan makan orang sudahlah), maka ia merupakan suatu kejayaan yang besar dan cukup manis sekali.

Seperkara lagi, seluruh saf pimpinan PERTIS harus sentiasa ingat iaitu kewujudan PERTIS bukannya untuk memberi saingan atau tandingan yang tidak sihat kepada mana-mana pihak. Sebaliknya kewujudan PERTIS adalah sebagai landasan misi dakwah kepada umat manusia. PERTIS harus berupaya untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi ia tidak bercanggah dengan syariat dan perlembagaan persatuan. Justeru, kewujudan PERTIS seharusnya berperanan untuk saling melengkapi antara satu organisasi dengan yang lain. Dengan erti kata lain, PERTIS tidak sepatutnya terikut-ikut dengan rentak tari sumbang mana-mana pihak.

Dari aspek sumber kewangan pula, terus-terang saya katakan jumlah wang dan aset yang dimiliki oleh PERTIS tidaklah sebanyak mana jika hendak dibandingkan dengan beberapa organisasi lain. Namun demikian, seperkara yang harus kita sama-sama syukuri ialah, punca rezeki untuk PERTIS setakat ini tidak pernah putus. Ada sahaja sumber rezeki yang mengalir ke tabung PERTIS walaupun ia tidak sebanyak mana. PERTIS tidak pernah putus punca untuk melunaskan kos operasinya.

Kita sama-sama harus beringat, rezeki datangnya daripada Allah. Dalam Alquran sendiri, terdapat beberapa ayat yang menjelaskan bahawa Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki. Sebagai contoh, ayat 11 dari surah Aljumu’ah. Oleh itu, para pemimpin PERTIS tidak seharusnya khuatir PERTIS akan kehilangan punca rezeki asalkan seluruh saf kepimpinannya sentiasa bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah. Dengan mengamalkan kedua-dua sifat ini, insha-Allah PERTIS akan beroleh rezeki dari punca yang di luar jangkaan dan luar sangkaan mereka. Kedua-dua sifat ini jika diamalkan secara berterusan, PERTIS juga akan berupaya untuk menyelesaikan apa jua masalah, cabaran dan dugaan yang melanda. Demikianlah janji Allah sebagaimana mafhum sebahagian daripada ayat 2 dan 3 surah At-talaq.

Justeru, para pemimpin PERTIS hendaklah menjauhi segala sifat yang keji seperti caci maki, dengki, khianat sesama sendiri, hanya mementingkan biro sendiri, membelakangkan pemimpin yang lebih atas, dan sebagainya. Selain itu, para pemimpin PERTIS juga jangan sekali-kali mengambil wang persatuan secara yang tidak sah walau satu sen pun. Biarlah kita memberi walaupun sedikit ikut kemampuan masing-masing. Sesungguhnya tidak akan kaya sesiapa yang mengambil wang milik organisasi seperti PERTIS, dan tidak akan jatuh fakir bagi sesiapa yang tidak mengambil wang organisasi kerana takut kepada Allah.

Kepaada kakitangan PERTIS pula, anda hendaklah bertugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Jalankan tugas semata-mata kerana Allah. Kerja juga adalah ibadah. Adalah amat malang sekali jika anda menjalankan tugas kerana takut kepada mana-mana AJK. Jika ada kakitangan yang demikian sifatnya, mereka akan nampak rajin bila ada AJK yang ditakuti sahaja. Bila AJK sedemikian tidak ada di pejabat, mulalah kakitangan yang berkenaan curi tulang, lebih berborak daripada bekerja dan lebih banyak buang masa daripada memanfaatkan waktu.

Kakitangan juga tidak seharusnya menceritakan hal ehwal pejabat dan persatuan kepada orang luar, khususnya yang tidak ada kena-mengena dengan masyarakat kita. Adalah amat tidak beretika sama sekali jika ada dalam kakitangan yang menelefon sana sini dan cuba memburukkan pemimpin PERTIS yang lepas. Mana-mana kakitangan juga boleh dianggap tidak beretika bila secara terbuka mempertikaikan mana-mana keputusan oleh mana-mana mesyuarat besar PERTIS. Ia bertambah malang lagi jika kakitangan yang melakukannya merupakan orang yang baru setahun jagung kenal dengan PERTIS. Orang keliling pun masih tak kenal habis lagi.

Sebagai ahli biasa, marilah kita sama-sama memberi sokongan padu kepada PERTIS dan barisan pemimpinnya. Selagi mereka (pemimpin PERTIS) taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka kekallah taat setia kita kepada pemimpin yang sedemikian. Bila mereka lari daripada landasan syariat, maka barulah sokongan kita kepada mereka akan lari juga. Selaku ahli biasa persatuan, marilah kita memberikan pandangan yang bernas dan kritikan membina kepada mereka. Sesungguhnya mengulas, memberi pandangan dan mengkritik amat mudah untuk dilakukan, tetapi melaksanakan amanah dan tanggungjawab selaku pemimpin amat berat dan tidak semudah mengeluarkan kata-kata atau membuat coretan pena.

Saya juga amat insaf dan amat maklum, saya bukanlah pemimpin PERTIS yang cemerlang. Oleh itu, adalah menjadi amanah dan tanggungjawab barisan pemimpin yang ada sekarang untuk membuat apa-apa juga penambahbaikan daripada kelemahan yang telah saya tinggalkan. Saya juga amat sedar dan insaf, saya bukanlah pemimpin PERTIS yang terbaik. Oleh itu, bila saya tidak lagi mempertahankan kedudukan saya di PERTIS, mudah-mudahan PERTIS akan mendapat pemimpin yang lebih baik daripada saya.

Saya sama sekali tidak pernah meninggalkan jemaah (PERTIS), saya hanya tidak berada dalam saf kepimpinannya sahaja.


No comments: