Menurut satu sumber berita hari ini, tokoh yang akan dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baru akan diumumkan pada minggu hadapan. Menurut sumber berita itu lagi, istiadat mengangkat sumpah jawatan menteri besar akan berlangsung pada sekitar jam 10.00 pagi Selasa hadapan.
Ini bermakna, tokoh yang telah mendapat perkenan daripada istana Selangor untuk menjawat jawatan menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid kemungkinan besar telah pun dikenal pasti. Walau bagaimanapun, nama tokoh berkenaan belum lagi diumumkan. Oleh itu, kita pun tidak dapat mengetahui dengan pasti siapakah tokoh yang akan dilantik bagi menggantikan menteri besar yang ada sekarang. Sama ada tokoh berkenaan daripada PAS atau PKR, atau jantina tokoh berkenaan, masih belum ada kepastian lagi.
Adalah diharapkan semoga tokoh yang telah mendapat perkenan daripada sultan Selangor itu turut akan mendapat sokongan daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor. Sekiranya tokoh yang telah diperkenankan itu tidak juga beroleh sokongan majoriti daripada ADUN Selangor, tentulah ia akan menggawatkan lagi suasana politik di Selangor. Jika demikian situasinya, maka satu pilihanraya negeri sudah pasti tidak dapat dielakkan lagi.
Tokoh yang bakal mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Selangor juga mesti faham iaitu beliau adalah menteri besar kepada Selangor dan seluruh rakyatnya. Beliau bukan sekadar menteri besar untuk partinya sahaja. Justeru segala tindak-tanduknya akan memberi kesan kepada Selangor dan rakyat jelatanya. Berbeza dengan ADUN biasa yang bermasalah, hanya akan memberi kesan kepada dirinya dan juga kepada partinya sahaja.
Seperkara lagi, sekiranya tokoh yang telah mendapat perkenan bukan datangnya daripada keluarga Datuk Seri anwar Ibrahim, maka Datuk Seri Anwar dan keluarganya hendaklah menerimanya sebagai takdir dan harus redha dengan apa yang berlaku. Kalau selama ini Datuk Seri anwar dan seluruh keluarganya begitu tabah dan kuat kesabarannya dalam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran, maka pada hemat saya kegagalan menduduki kerusi menteri besar apalah sangat. Manusia boleh merancang tetapi Allah yang menentukan sama ada rancangan itu berjaya atau sebaliknya.
Oleh itu, besar sangat harapan rakyat Selangor agar kemelut politik yang ada tidak dipanjangkan lagi oleh mana-mana pihak sama ada dengan perbuatan, perkataan atau pun dengan tulisan. Akur sahajalah tokoh yang beroleh perkenan daripada sultan Selangor. Semua pihak harus memberi tumpuan untuk pembangunan Selangor selanjutnya. Sudah terlalu banyak masa dibazirkan dalam berkemelut.
No comments:
Post a Comment