Saturday, September 20, 2014

Jangan Panjangkan Lagi Kemelut Jawatan Menteri Besar Selangor



Dalam muktamar PAS ke-60 yang berlangsung di Johor, ada antara perwakilan yang mencadangkan agar PAS menolak dengan cara hormat jika jawatan menteri besar Selangor diberikan kepada ADUN dari parti berkenaan. Cadangan seperti ini bukan sahaja datang daripada wakil Dewan Pemuda PAS, bahkan ia turut kedengaran dicadangkan sama oleh beberapa individu lain.

Isu jawatan menteri besar di Selangor sudah berlangsung sejak beberapa lama. Beberapa langkah sudah pun diambil khususnya oleh PKR untuk menyelesaikan isu ini. Ia termasuklah menerusi strategi pilihanraya kecil Kajang. Namun demikian, isu ini masih gagal diselesaikan dengan sempurna hingga kini.

Seorang calon yang pernah diikemukakan oleh PKR untuk menggantikan menteri besar yang ada sekarang juga tidak mendapat perkenan daripada sultan Selangor. Selain itu, sultan Selangor juga dikhabarkan murka bilamana PKR dan DAP hanya menghantar satu nama calon sahaja untuk mengisi jawatan tersebut. Walhal surat dari istana meminta setiap parti politik menghantar lebih dari dua nama. Dalam hal ini, PAS telah bertindak bijak selangkah bilamana telah mengemukakan sejumlah nama calon sebagaimana yang telah dititahkan sebelumnya.

Natijah daripada apa yang telah berlaku ialah semua pihak harus akur dengan titah dari istana. Realitinya, parti-parti politik yang membentuk Pakatan Rakyat khususnya di Selangor mempunyai jumlah ADUN yang meletakkan setiap parti pada kedudukan yang tidak kuat. Tiada satu parti pun yang boleh berdiri dengan sendiri untuk membentuk kerajaan. Setiap parti harus bergantung antara satu dengan lain untuk meneruskan tampuk kekuasaan. Apatah lagi bilamana gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat itu sendiri hanyalah merupakan pakatan yang tidak formal dan sangat longgar dan koalisi yang belum didaftarkan lagi. Justeru, dalam situasi sebegini, ia telah memungkinkan kuasa budi bicara seseorang raja itu lebih berkesan dan sangat diperlukan.

Apa yang pernah berlaku di Terengganu dan PERLIS selepas pilihanraya umum tahun 2008 harus benar-benar dijadikan iktibar. Bijaknya UMNO dan BN ketika itu ialah mereka tidak terlalu membesar-besarkan atau memanjangkan isu penolakan calon menteri besar oleh raja di kedua-dua negeri berkenaan. Kalau ada pun bantahan, ia dapat dikawal dengan baik. Akhirnya UMNO dan BN akur dengan calon lain yang telah diperkenankan oleh raja-raja di kedua-dua negeri tersebut. Walhal ketika itu UMNO dan BN mempunyai jumlah kerusi yang lebih daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan. Mereka tidak perlukan gabungan dengan parti-parti politik yang lain. Kesediaan UMNO dan BN untuk akur dengan titah sultan dengan menyetujui sahaja calon menteri besar yang telah diperkenankan merupakan tindakan bijak yang perlu dijadikan teladan.

Dalam kedua-dua peristiwa di kedua-dua negeri berkenaan, ia telah menyerlahkan lagi apa yang disebut sebagai kuasa budi bicara raja-raja. Walaupun kita berada di zaman moden dan era ICT yang serba canggih, tetapi institusi raja-raja masih lagi relevan dan dalam sesetengah isu institusi berkenaan masih berupaya untuk berperanan sebagaimana sepatutnya. Justeru, raja payung negara masih relevan dalam zaman sekarang.

Dalam keadaan yang ada di Selangor sekarang, menolak calon yang telah diperkenankan oleh sultan hanya akan memanjangkan lagi kemelut yang sudah sedia panjang kisahnya. Walaupun penolakan tersebut akan dibuat dengan cara terhormat, ia tetap akan mempunyai implikasi yang tidak baik. Ia juga turut memungkinkan kemurkaan sultan buat kali kedua dan kali ini akan jatuh kepada PAS pula jika saranan sesetengah perwakilan sebagaimana yang tersebut itu dilakukan. Oleh itu PAS seharusnya bertindak lebih bijak. Murka raja daripada zuriat Opu Daeng Calak ini jangan sengaja diundang. Kalau tidak ada beban jangan batu pula yang hendak digalas.

Buat masa ini, orang ramai masih tidak mengetahui tokoh mana yang telah diperkenankan oleh sultan Selangor untuk menduduki kerusi menteri besar. Tokoh berkenaan mungkin juga dari PAS dan mungkin juga dari PKR. Kalau calon berkenaan daripada PAS, maka PKR dan DAP hendaklah menerimanya tanpa sebarang alasan lagi. Begitulah sebaliknya, jika calon berkenaan dari PKR, maka PAS dan DAP juga hendaklah akur tanpa sebarang alasan lagi. Yang pastinya calon berkenaan bukannya daripada DAP. Apa yang kita sama-sama ketahui ialah upacara angkat sumpah akan berlangsung pada Selasa hadapan.

Oleh itu, demi kelangsungan kestabilan politik Selangor, semua pihak, terutamanya PAS, PKR dan DAP hendaklah akur sepenuhnya tanpa menimbulkan sebarang karenah lagi terhadap sesiapa sahaja calon yang telah diperkenankan oleh sultan Selangor untuk menduduki kerusi menteri besar. Sekiranya ada mana-mana pihak yang masih menolak calon yang telah diperkenankan oleh sultan Selangor walau dengan apa cara dan alasan sekali pun, maka tidak syak lagi ia pasti akan memanjangkan lagi kemelut yang ada.

Demi mengakhiri kemelut yang sudah berpanjangan, titah sultan hendaklah diutamakan. Ketepikan sahaja semua yang lain. Demi mengakhiri isu ini, rasanya persoalan tahaluf siyasi, atau lain-lain persetujuan politik dalam kalangan parti-parti yang terlibat sudah tidak relevan lagi. Semua pihak harus punya satu kata sepakat iaitu untuk memastikan kemelut yang ada diakhiri dengan segera dan dengan cara yang baik. Pada masa inilah orang politik harus membuktikan bahawa mereka mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri dan bukannya kepentingan peribadi, keluarga atau kepentingan satu-satu kumpulan siasah semata-mata. Orang politik juga harus membuktikan bahawa mereka benar-benar menjunjung tinggi institusi raja. Mereka jangan lagi berdolak-dalik bagi mencari alasan untuk tidak akur dengan titah sultan.

Orang politik mesti benar-benar faham, rakyat Selangor sudah jemu dan jelak dengan kemelut yang sedang terjadi. Sudah-sudahlah tu!


No comments: