Monday, September 22, 2014

Tahniah Kepada Menteri Besar Selangor Yang Baru



Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Mohamad Azmin Ali atas pelantikan beliau selaku menteri besar Selangor yang baru. Bagi saya, beliau bertuah kerana telah mendapat perkenan daripada sultan Selangor untuk menduduki kerusi menteri besar. Lebih jauh lagi, beliau merupakan tokoh yang telah mendapat kepercayaan, perkenan dan restu daripada sultan dan seluruh rakyat Selangor untuk mengakhiri kemelut jawatan menteri besar yang sudah berpanjangan sejak beberapa ketika. Semua pihak sama ada dalam dan luar Selangor sememangnya mengharapkan kemelut yang berlaku akan dapat diakhiri secepat mungkin bagi membolehkan usaha membangunkan negeri dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan lagi.



Pada masa yang sama, kita juga tidak lupa untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah bersedia untuk melepaskan jawatan menteri besar yang telah disandangnya selama 6 tahun setengah secara aman dan terhormat. Sesungguhnya jasa beliau khususnya dalam aspek pembangunan negeri pasti akan diingat buat selama-lamanya. Walaupun beliau bukan seorang ahli politik yang berjiwa politik, kemampuan beliau untuk terus membangunkan Selangor khususnya dari aspek ekonomi akan dikenang oleh rakyat Selangor sendiri.

Di samping itu, saya juga tidak lupa mengucapkan syabas kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan presiden PKR kerana menurut laporan berita telah menarik diri daripada terus dicalonkan untuk menduduki kerusi menteri besar Selangor. Penarikan diri seumpama ini amat penting kerana ia sekaligus akan menenangkan tekanan daripada dalam PKR itu sendiri untuk beliau terus merebut jawatan berkenaan. Penarikan diri ini juga penting kerana sekaligus ia akan menafikan apa jua spekulasi mengenai dirinya serta mengenai perpecahan yang mungkin dikatakan boleh terjadi dalam PKR dan PR khususnya di Selangor.

Dengan rasminya pelantikan Azmin Ali selaku menteri besar yang baru esok, amat besarlah harapan seluruh rakyat Selangor agar ia benar-benar akan mengakhiri kemelut politik sia-sia yang telah berlangsung berbulan-bulan lamanya. Kini masanya sudah tiba bagi semua pihak, khasnya orang-orang politik di Selangor untuk menumpukan sepenuh perhatian untuk berkhidmat kepada rakyat Selangor.

Perkenaan sultan Selangor ke atas Azmin Ali, kesediaan semua pihak untuk menerima dengan hati terbuka terhadap calon yang diperkenankan oleh sultan Selangor selaku menteri besar yang baru serta iltizam semua pihak untuk mengakhiri kemelut yang sedang berlaku telah mengelakkan pilihanraya peringkat negeri berlaku di Selangor. Jika pilihanraya berkenaan tidak dapat dielakkan, ia boleh memungkinkan riwayat dan hayat PR di Selangor tamat dengan lebih cepat lagi.

Jika tidak keterlaluan, ingin saya nyatakan iaitu masa yang telah dibazirkan sewaktu berlakunya kemelut jawatan menteri besar Selangor harus diqadha semula khususnya oleh orang-orang politik yang terlibat. Barulah hutang kepada rakyat benar-benar dapat ditebus. Ingat, masa itu lebih berharga daripada emas.

Seluruh rakyat Selangor juga amat berharap detik pelantikan menteri besar yang baru ini akan tak ubah bagai biduk lalu kiambang bertaut. Ketiga-tiga parti politik yang bergabung atas nama Pakatan Rakyat akan benar-benar merealisasikan hasrat mereka iaitu berpakat demi untuk rakyat. Besarlah harapan juga supaya selepas ini tiada mana-mana pihak atau individu yang akan cuba meneruskan kemelut lama atau membuka kemelut yang baru pula. Semua pihak juga disarakan agar menghentikan segala ulasan dan komentar yang boleh menimbulkan rasa kurang senang pihak lain terutamanya yang boleh menggugat perpaduan yang kadangkala berada di tahap rapuh.

Selain itu, Pakatan Rakyat khususnya di Selangor juga diharap tidak mengulangi kesilapan yang telah berlaku yang telah memanjangkan dan merumitkan kemelut yang sedia ada. Langkah Kajang yang sumbang itu jangan diulangi lagi. Semua keputusan yang melibatkan kepimpinan negeri harus dibuat secara bermuafakat tanpa mengenepikan satu pihak pun. Orang-orang politik juga harus tahu membezakan antara kepentingan peribadi, kepentingan parti dan juga kepentingan negeri. Dengan memahami ketiga-tiganya secara mendalam, maka sudah pastilah sesuatu perancangan dan tindakan itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, tepat dan betul.

Sesungguhnya kemelut menteri besar yang berlaku di Selangor telah mempamirkan dengan lebih jelas lagi kuasa budi bicara seseorang raja. Oleh kerana orang-orang politik gagal belajar daripada apa yang pernah berlaku di Terengganu dan Perlis 6 tahun lalu, kini mereka mendapat pelajaran yang hampir serupa lagi dan kali ini di Selangor pula.


No comments: