Pada ketika ini, banjir besar sedang melanda negara. Negeri-negeri pantai timur semenanjung Malaysia antara yang paling teruk dilanda banjir besar kali ini. Adalah dianggarkan ketika ini hampir 60 ribu orang mangsa banjir sedang berada di pusat-pusat pemindahan banjir.
Kalau tengok komen di media sosial, macam-macam komen yang diutarakan tentang banjir yang melanda. Ada komen bodoh dan juga komen separa matang. Komen bodoh dan separa matang sedemikian hanya mengganggu emosi terutama mangsa banjir itu sendiri. Dalam konteks mencari kebaikan, ia langsung tidak bermanfaat. Daripada melontar komen bodoh, lebih baiklah cari jalan bagaimana untuk membantu mangsa-mangsa banjir berkenaan. Selagi tak kena pada diri kita, kita tidak faham penderitaan orang lain.
Adalah amat dangkal sekali bilamana fenomena banjir yang sedang melanda dikaitkan dengan politik. Air bah datang tanpa mengira sama ada sesebuah negeri itu berwarna hijau ataupun biru. Walaupun Kelantan merupakan negeri paling teruk dilanda banjir kali ini, tetapi Pahang dan Terengganu juga tidak terlepas daripada musibah berkenaan. Situasi di kedua-dua negeri berkenaan juga tidak jauh sangat bezanya daripada apa yang sedang berlaku di Kelantan. Takkanlah sudah ditimpa musibah teruk sebegini pun masih hendak berpolitik lagi!
Justeru, bantulah mangsa-mangsa banjir seikhlasnya. Kebajikan para mangsa banjir perlu diutamakan. Ketepikan apa jua perbezaan yang wujud selama ini. Satukan niat, bulatkan tekad, mudah-mudahan kerja-kerja bantuan tidak tersekat.
Memang benar, apa yang sedang berlaku bolehlah ditafsirkan sebagai peringatan daripada Allah. Kita juga jangan lupa bahawa musibah yang berlaku juga adakalanya hasil daripada tangan manusia sendiri. Moleknya eloklah kita sama-sama jadikan peristiwa banjir ini sebagai teladan dan sempadan. Ada perkara yang perlu kita teladani dan ada perkara yang harus kita sama-sama sempadani.
Kepada mangsa-mangsa banjir pula, ikuti dan patuhi setiap arahan daripada pihak yang berkuasa. Bila disuruh berpindah, segeralah berpindah. Keselamatan nyawa diri dan ahli keluarga jadikan keutamaan. Sesungguhnya hilang nyawa dengan hilang harta jauh beza implikasinya.
Dalam konteks OKU pula, pada masa inilah badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan seharusnya merangka langkah dan strategi bagi membantu rakan-rakan senasib terutama mereka yang ditimpa musibah berkenaan. Jangan tunggu banjir sudah surut baru hendak adakan mesyuarat dan baru hendak mula buat itu dan ini. Sepatutnya bila surut sahaja, laksanakan terus apa yang telah dirancang supaya para mangsa banjir berkenaan dapat dibantu secepat yang boleh.
Marilah kita sama-sama berdoa ke hadhrat Allah semoga musibah yang sedang melanda akan segera pulih seperti sedia kala.
No comments:
Post a Comment