Alhamdulillah sebesar-besar syukur saya ke hadhrat Allah Yang Maha Kuasa kerana hasrat yang begitu lama saya pendam untuk menjejakkan kaki ke kawasan bersejarah di sekitar Kota Tinggi akhir dimakbulkan jua oleh-Nya. Pada 25 Disember lalu, kami sekeluarga telah ke daerah Kota Tinggi untuk menjejaki beberapa kawasan tinggalan sejarah. Bagi saya, daerah ini amat penting dan punya sigfinikan yang tersendiri kerana dari sinilah bermulanya sejarah raja-raja Melayu era moden hari ini.
Seingat saya, ini kali pertama saya sekeluarga menjejakkan kaki ke daerah bersejarah ini untuk tujuan menjejaki tinggalan sejarahnya. Kami ke sini hanya bertiga sahaja. Tiada orang keempat sebagai jurupandu. Bak kata orang muda sekarang, kami bertiga main redah sahaja. Apa yang menjadi panduan kepada saya ialah maklumat sejarah, peta yang kami perolehi dari hotel tempat kami menginap, aplikasi Waze, di samping rajin bertanya kepada orang setempat. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman yang baru dilalui, untuk menjejaki tempat-tempat bersejarah di daerah ini tidaklah susah sangat. Lagipun papan tanda yang ada cukup membantu pencarian kami.
Tempat yang mula-mula kami singgah setibanya kami ke daerah Kota Tinggi ialah sebuah kedai makan. Setelah bertanya kepada tuan kedai sambil makan tengah hari, rupa-rupanya makam Bendahara Tun Habab dan makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang letaknya amat berhampiran dengan kedai makan berkenaan. Setelah menyedari kami orang luar, tuan kedai begitu seronok memberi maklumat tentang lokasi kawasan bersejarah di sekitar daerah Kota Tinggi. Terima kasih daun keladi kami ucapkan kepada tuan kedai dua beranak.
Seusai makan tengah hari, kami pun terus bergerak ke kawasan permakaman Tun Habab. Letaknya memang tidak jauh daripada kedai makan tadi. Tun Habab (Tun Habib Abdul Majid) merupakan salah seorang daripada bendahara kerajaan Johor-Riau. Beliau juga dikenali sebagai Bendahara Padang Saujana. Beliau meninggal dunia pada tahun 1697. Tatkala itu kerajaan Johor-Riau diperintah oleh Sultan Mahmud II (Marhum Mangkat Dijulang).
Terdapat beberapa versi mengenai asal-usul keturunan bendahara Tun Habab ini. Ada yang mengaitkannya berasal daripada keturunan sayid kerana di Johor jika pangkal nama seseorang itu “habib” bermakna ia berketurunan sayid. Ada satu lagi bersi mengaitkan keturunan Tun Habib Abdul Majid ini daripada keturunan bendahara Tun Mutahir di Melaka. Wallahu a’lam.
Bagi saya, Tun Habab ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang cukup istimewa yang jarang ada pada hamba Allah yang lain terutama pada zamannya. Daripada sulbi beliau kemudiannya lahirnya tiga kesultanan Melayu moden hari ini. Kesultanan Melayu Johor, Pahang dan Terengganu yang ada pada hari ini adalah anak cucu beliau. Sepertimana yang saya katakan, Tun Habab bukan sembarangan orang. Mungkin ada amalan beliau, kebaikan beliau atau akhlak beliau yang sangat baik dan ikhlas sehingga Allah mengurniakan kepada beliau keturunan dan zuriat dalam kalangan mereka yang berstatus raja-raja di tiga buah negeri pada hari ini. Mungkin juga salah satu amalan harian Tun Habab yang dilakukannya secara istiqamah ialah mendoakan kebaikan dan kebesaran untuk anak cucunya. Demikianlah.
Setelah Tun Habab ini meninggal dunia, anak beliau Tun Abdul Jalil telah mewarisi jawatan bendahara daripada ayahandanya. Apabila Sultan Mahmud II mangkat pada tahun 1699 dan tanpa meninggalkan waris, maka Bendahara Tun Abdul Jalil telah menaiki takhta sebagai sultan. Secara adatnya tindakan Bendahara Tun Abdul Jalil ini tidaklah bersalahan dengan ada Melayu kerana jika seseorang raja itu mangkat tanpa waris, maka bendaharalah yang akan gantinya.
(Inilah makam Tun Habab)
Namun demikian, kehadiran Raja Kecil dari Siak yang mendakwa sebagai waris keturunan Marhum Mangkat Dijulang telah menimbulkan suasana konflik dalam kerajaan Melayu Johor-Riau ketika itu. Raja Kecil kemudiannya telah merampas kuasa dan meletakkan dirinya sebagai raja Johor-Riau dengan gelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah (1718-1722). Manakala Sultan Abdul Jalil telah diturunkan semula jawatannya selaku bendahara. Menurut Tuhfat An-Nafis, Bendahara Tun Abdul Jalil ini kemudiannya telah dititahkan oleh Raja Kecil supaya dibunuh ketika bendahara itu singgah di Kuala Pahang. Maka itulah makam Bendahara Abdul Jalil itu ada di Kampung Marhum, Pahang. Saya pernah menziarahi makamnya tetapi tidak mencatatkannya menerusi blog ini.
Salah seorang putera Bendahara Tun Abdul Jalil ini iaitu Raja Sulaiman kemudiannya telah ditabalkan sebagai sultan bagi kerajan Johor-Riau pada bulan Oktober 1722 iaitu dengan pertolongan 5 Bugis bersaudara. Maka bermulalah era Bugis dalam kerajaan Johor-Riau. Makam Sultan Sulaiman masih ada lagi di Kampung Melayu, pulau Bintan. Saya pernah mencatatkan secara ringkas mengenainya menerusi blog ini beberapa tahun yang lalu.
Apa yang pasti, pusat kerajaan Melayu dahulu tidak kekal pada satu-satu tempat. Maka itulah kita dapati makam para pemerintahnya juga berada di beberapa tempat yang berbeza. Jika makam Tun Habab berada di Kota Tinggi, maka Tun Abdul Jalil (salah seorang puteranya) berada di Kampung Marhum, Pahang. Manakala kebanyakan makam cucunda Tun Habab seperti Sultan Sulaiman dan Tengku Mandak pula berada di pulau Bintan, kepulauan Riau. Makam salah seorang cicit Bendahara Tun Abdul Jalil, iaitu Sultan Mahmud III pula berada di kepulauan Lingga. Manakala salah seorang piut Bendahara Tun Abdul Jalil iaitu Sultan Hussein pula berada di Masjid Tengkera, Melaka. Sedangkan makam Sultan Ali, putera Sultan Hussein pula berada di perkarangan Masjid Umbai, Melaka. Demikianlah.
Dari makam Tun Habab, saya sekeluarga bergerak pula ke kompleks permakaman Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Makamnya terletak berhampiran dengan Masjid Alhadi, Kampung Makam. Untuk sampai ke makamnya, kita harus mendaki sebanyak 15 anak tangga. Dalam kompleks ini terdapat 15 makam termasuklah makam Marhum Mangkat Dijulang. 5 daripada makam tersebut dikenal pasti penghuninya. Manakala 10 makam lagi tidak diketahui nama penghuninya. Salah satu makam yang ada di sini ialah makam Sultan Mahmud II atau dikenali juga Marhum Mangkat Dijulang.
Amat masyhur kisah tentang Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ini. Baginda telah ditikam ketika sedang dijulang untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Orang yang telah menikamnya ialah Laksamana Bintan. Laksamana Bintan ini pula merupakan salah seorang orang besar baginda juga.
Tindakan Laksamana Bintan membunuh Sultan Mahmud keerana beliau ingin mambalas dendam di atas kematian isterinya, Dang Anum, yang kononnya telah dibunuh oleh Sultan Mahmud kononnya gara-gara buah nangka. Demikianlah contoh kurang cerdiknya tindakan salah seorang raja Melayu, hanya kerana buah nangka baginda telah melakukan tindakan tidak berakal terhadap isteri pembesarnya. Walhal ketika itu Laksmana Bintan sedang melaksanakan operasi membanteras lanun untuk keselamatan negara.
Beberapa riwayat sejarah menggambarkan Sultan Mahmud II ini seorang pemerintah yang kurang baik. Versi Belanda turut menggambarkan kisah yang kurang molek tentang Sultan Mahmud ini. Hal ini pernah diceritakan kepada saya oleh salah seorang profesor sejarah yang cukup terkenal ketika saya masih menuntut di UM dahulu.
Jika Tun Habab meninggalkan anak cucu yang kemudiannya menjadi raja di tiga buah negeri pada hari ini, kemangkatan Sultan Mahmud II pada tahun 1699 pula telah membawa kepada berakhirnya pemerintahan raja Johor daripada keturunan sultan Melaka. Bahkan kemangkatan baginda juga telah membawa kepada bermulanya perpecahan dalam empayar Johor-Riau dan kemunculan kesultanan baru di beberapa buah negeri. Namun begitu, terdapat sebuah negeri Melayu di mana raja-rajanya dikatakan masih berketurunan daripada sultan Melaka tetapi dari sebelah bondanya.
Jika Sultan Mahmud Syah (raja terakhir dalam kesultanan Melayu Melaka) telah melakukan pelbagai kerosakan dan kejahatan sehingga baginda hilang negeri di tangan Portugis, gara-gara kejahatan salah seorang anak cucu baginda (Sultan Mahmud Syah II) yang tidak pernah mengambil iktibar daripada kesilapan dan kesalahan nenek moyangnya, akhirnya zuriat kesultanan dari Melaka tidak lagi menjadi tuan di bumi Johor hinggalah ke hari ini.
Selepas kemangkatanSultan Mahmud II pada tahun 1699, tampuk pemerintahan kerajaan Johor-Riau mula dikuasai oleh keturunan bendahara (anak cucu Tun Habab). Raja-raja Johor moden hari ini pula adalah berketurunan temenggung yang juga merupakan anak cucu juga kepada Tun Habab. Natijahnya, bila jadi pemerintah, jangan sesekali berlaku zalim kepada hamba rakyat. Balaslah kesetiaan rakyat dengan benar-benar berfungsi sebagai payung yang menaungi hamba rakyat dengan adil dan saksama. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.
Dari kompleks permakaman Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, kami berkenderaan pula ke kawasan permakaman Laksamana Bintan. Ia terletak di Kampung Kelantan, beberapa km dari Kampung Makam. Laksamana Bintan inilah yang telah menikam Sultan Mahmud II sehingga membawa kepada kemangkatan baginda. Menurut riwayat, setelah terasa dirinya ditikam, Sultan Mahmud sempat mencabut senjata yang digunakan untuk menikam baginda dan merejamnya ke arah Laksamana Bintan lalu kena pula laksamana berkenaan. Konon kisahnya baginda sultan Mahmud sempat menyumpah Laksamana Bintan dan tujuh keturunannya dengan tidak boleh menjejakkan kaki ke daerah ini. Wallahu a’lam.
Berdasarkan kepada beberapa kisah dan riwayat sejarah, kebiasaannya anak Melayu itu tidak akan sesekali menderhaka kepada rajanya melainkan setelah ia terlebih dahulu dizalimi oleh rajanya. Kisah penderhakaan Sang Rajuna Tapa di Singapura, kisah penderhakaan Hang Jebat di Melaka serta kisah penderhakaan Laksamana Bintan di Kota Tinggi, semuanya berlaku setelah tokoh-tokoh terlibat dizalimi terlebih dahulu.
Demikianlah sejarah mengajar kita. Apabila peristiwa yang hampir sama berlaku walaupun pada zaman yang berbeza, ia berpunca daripada kegagalan kita untuk belajar daripada sejarah. Sebab itulah apabila kesalahan yang sama dilakukan maka akibat yang serupa akan menimpa tokoh atau negeri yang berkenaan.
Hasrat saya untuk menjejaki beberapa lagi kawasan bersejarah di daerah Kota Tinggi terpaksa ditangguhkan kerana cuaca yang kurang baik. Saya khuatir air akan melimpah dan ini tentunya akan menyukarkan kami. Oleh itu, saya telah memutuskan untuk pulang semula ke hotel penginapan kami di JB. Insha-Allah jika ada masa lain, kami akan kembali semula ke daerah ini untuk pencarian selanjutnya.
No comments:
Post a Comment