Baru-baru ini, ketika saya menghadiri satu bengkel di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, saya berkesempatan mengunjungi makmal tempat di mana kompas kiblat untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan dihasilkan. Kunjungan saya berlangsung sekitar 20 minit. Sewaktu kunjungan saya, terdapat 2 orang sedang bertugas untuk menghasilkan kompas kiblat berkenaan.
Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy yang bertanggungjawab secara langsung dalam projek berkenaan telah memberi penerangan serta menunjukkan kepada saya beberapa peralatan yang digunakan dalam menghasilkan kompas kiblat berkenaan. Berdasarkan apa yang telah ditunjukkan kepada saya serta penerangan yang diberi, saya semakin maklum iaitu untuk menghasilkan kompas kiblat berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah. Kalau kita melihat/menyentuh kompas kiblat yang sudah siap, mungkin kita akan menyangka untuk menghasilkannya adalah sesuatu yang mudah.
Saya dimaklumkan, sekiranya setiap petugas bekerja sekitar 8 hingga 9 jam sehari dengan dua mesin yang ada, maka jumlah kompas kiblat yang boleh dihasilkan adalah sebanyak 4 unit sahaja. Realitinya, adalah hampir mustahil untuk para petugas bekerja selama itu bagi setiap hari. Itu belum ditambah lagi jika mesin yang digunakan meragam dan merajuk. Ini bermakna, untuk sehari, sekitar 2 unit kompas kiblat sahaja yang dapat dihasilkan. Kalau petugas ambil cuti, maka sudah tentulah jumlah kompas kiblat yang dapat dihasilkan semakin berkurangan. Demikianlah kekangan yang dihadapi.
Saya juga dimaklumkan, pihak yang berkaitan akan terus menghasilkan kompas berkenaan selagi ada daya dan upaya. Selain itu, mereka juga akan terus melakukan penambahbaikan dari masa ke masa. Insha-Allah jika tiada aral melintang, kompas kiblat untuk golongan cacat penglihatan generasi kedua mungkin akan dapat dihasilkan sedikit masa lagi. Buat masa ini, sama-samalah kita ambil manfaat daripada kompas kiblat yang sudah sedia terhasil.
Selaku salah seorang yang tergolong dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan, saya merasa amat bersyukur apabila alat seumpama ini berjaya dihasilkan. Walaupun kegunaannya masih belum pelbagai serta reka bentuknya ringkas, tetapi ia cukup bermanfaat kepada golongan sasar seperti saya. Saya turut bersyukur kerana orang yang telah menyumbang usaha, tenaga dan fikiran untuk menghasilkan kompas kiblat ini merupakan mereka yang berpenglihatan tapi punya hati yang cukup mulia serta bersikap prihatin yang tidak tergambar oleh bahasa dan kata-kata. Walhal alat seperti ini langsung tidak ada kaitan dengan mereka.
Bagi saya, kegunaan serta manfaat kompas kiblat ini akan lebih terserlah kepentingannya jika kita benar-benar memahami siapa golongan sasar selaku penggunanya. Acap kali sudah saya maklumkan, setiap golongan cacat penglihatan yang telah menggunakan kompas ini memberi komen yang cukup positif. Kami benar-benar bersyukur dengan penghasilan alat seperti ini.
Perlu sama-sama kita maklumi, kompas kiblat ini dihasilkan bukan untuk mereka yang berpenglihatan. Sebaliknya ia dihasilkan untuk kegunaan mereka yang tidak berpenglihatan. Justeru saya merasa amat hairan dan benar-benar pelik bilamana ada suara-suara sumbang dalam kalangan mereka yang berpenglihatan yang mengatakan bahawa alat ini tidak berguna dan boleh menjatuhkan nama sesebuah institusi. Kalau pun gah sangat untuk mengulas, biarlah berpada dan beralas. Takkanlah sampai nak tunggu hilang penglihatan baru hendak memahami apa keperluan sebenar golongan yang tidak berpenglihatan! Inilah perangai dan fiil sebahagian orang kita, bukannya membantu tapi lebih berfungsi selaku hantu!
Seperkara lagi yang membuatkan saya merasa pelik bin ajaib ialah ada juga dalam kalangan mereka yang berpenglihatan turut sama memohon untuk memiliki kompas sebegini. Konon khabarnya mereka yang ada hasrat untuk memiliki kompas kiblat ini bukannya nelayan atau petani kampung, tetapi mereka yang bertugas di pejabat besar dan berpakaian kemas. Apakah mereka tidak faham bahawa kompas berkenaan dibuat khusus untuk golongan yang tidak berpenglihatan? Bukankah untuk mereka yang berpenglihatan sudah tersedia di pasaran alat yang jauh lebih canggih untuk tujuan yang sama?
Di samping itu, dari kejauhan saya terdengar ada juga dalam kalangan yang tidak berpenglihatan turut mempertikaikan cara pengedaran kompas kiblat berkenaan. Menurut mereka, adalah kurang wajar bilamana kompas kiblat berkenaan diedarkan melalui individu. Bagi saya, ianya terpulang kepada pihak yang berkenaan di UTM untuk mengedarkannya melalui siapa atau menerusi kaedah apa sekali pun. Apa yang lebih penting ialah alat berkenaan sampai kepada golongan sasar tanpa sebarang penyelewengan. Adalah tidak bermakna jika alat berkenaan diedarkan menerusi mana-mana badan tetapi yang ditanya lebih awal ialah berapa peratus mereka boleh dapat selaku pengedar.
Kepada mereka yang berpenglihatan dan bertanggungjawab dalam menghasilkan kompas kiblat, anda semua harus faham inilah antara cabaran dan rintangan yang harus dihadapi. Sekiranya anda patah semangat, golongan seperti kamilah yang akan merasai kesan dan akibatnya. Justeru, teruskan usaha dan jangan peduli apa yang orang hendak kata. Cemuhan dan sinisan sudah menjadi asam garam kepada mereka yang ini membuat kebajikan. Sesungguhnya kesabaran dan ketabahan anda adalah harapan kami dan kesejahteraan serta kebahagiaan anda dunia akhirat adalah doa kami setiap ketika. Apa yang sering menyebabkan saya serta rakan-rakan senasib yang lain merasa terharu ialah golongan yang bertanggungjawab dalam penghasilan kompas kiblat ini sering mengelakkan untuk diketengahkan. Jadi saya terpaksa “curi-curi” untuk mengenengahkan mereka ke tengah masyarakat. Mudah-mudahan usaha murni mereka dipandang orang juga walaupun dengan sebelah mata.
1 comment:
Assalamu 'alaikum,
Saya dah dengar mengenai kompas ni sejak ... rasanya dah hampir setahun. Tapi saya belum diizinkan Allah untuk menyentuhnya walau hanya 1 nanosaat dengan hujung jari.
Tiap kali saya ke tempat lain dan terpaksa tinggal beberapa lama di tempat tersebut, saya akan gunakan kompas braille yang saya ada untuk menentukan arah qiblat. Tapi saya kena dapatkan koordinat qiblat bagi tempat tersebut dulu. Kadang-kadang, bila saya nak cepat, saya terpaksa gunakan aplikasi dalam iPhone saya. Saya sentiasa berdoa dan terus berdoa agar suatu hari nanti saya dapat menentukan arah qiblat saya di hotel atau homestay tempat saya menginap tu (kalau masa tu kena kerja luarlah) dengan kompas qiblat. Tentu menggunakan alat yang tujuannya sudah terang lagi bersuluh lebih baik daripada menggunakan alat-alat alternatif yang entah tepat entah tidak.
Saya pernah gunakan kompas braille (masa tu belum ada iPhone lagi) untuk menentukan arah qiblat ketika menaiki keretapi dari Butterworth ke Kuala Lumpur. Kebetulan saya duduk dalam bilik kelas 1, jadi tak payahlah susah-susah ke gerabak surau. Bila dah dapat koordinat umumnya dari perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Maxis pada ketika tu (rasanya ramai saudara kita tak tahu tentang perkhidmatan unik Maxis tu), maka saya ukurlah dengan jari dari jarum ke titik arah yang saya kehendaki.
Itulah serba sedikit perkongsian pengalaman saya dan harapan menggunung dalam hati ini yang takkan pernah kunjung padam. Maaf ya kalau ada yang terkurang atau terlebih:)
Post a Comment