Thursday, December 25, 2014

Cikgu Salmah Di Hospital





Petang tadi, sekembali sahaja saya dari Kota Tinggi, saya bercadang untuk melawat Cikgu Salmah di rumahnya. Memang sudah jadi kebiasaan jika saya berkunjung ke JB, rumah Cikgu Salmah akan saya lawati. Manakala catatan mengenai kunjungan saya ke Kota Tinggi akan saya kongsikan dalam posting yang lain, insha-Allah. Walau bagaimanapun, apabila saya hubungi beliau, saya terkejut kerana Cikgu Salmah memberitahu saya beliau masih terlantar di hospital.



Sekitar jam 5.15 petang, saya sekeluarga pun terus ke hospital. Cikgu Salmah sedang dirawat di Hospital Pakar Puteri, Johor Baru. Kebetulan letaknya hospital berkenaan tidak jauh dari hotel penginapan kami. Jadi pergerakan kami agak mudah.



Bila tiba di hospital, kami terus ke bilik 302 yang letaknya di tingkat 3. Cikgu Salmah begitu gembira sekali menanti kedatangan saya sekeluarga. Cikgu Sulaimin, suami Cikgu Salmah, setia di sisi Cikgu Salmah turut suka dengan kehadiran kami. Menurut Cikgu Salmah, beliau sudah 5 hari dirawat di hospital berkenaan.

Cikgu Salmah turut bertanya lebih lanjut mengenai Allahyarham Samsudin Wahab yang juga bekas muridnya. Beliau nyata sedih dengan pemergian Allahyarham. Ingatan Cikgu Salmah terhadap Allahyarham tetap segar terutama tatkala masih di zaman sekolah rendah.

Cikgu Salmah juga turut menyingkap peristiwa pahit manis ketika beliau mengajar di PES. Banyak kenangan yang masih kukuh dalam lipatan memori beliau. Beliau turut bertanya khabar beberapa orang bekas muridnya yang masih diingati.

Setelah setengah jam, saya sekeluarga pun meminta diri. Beberapa kali Cikgu Salmah berkata, sepatutnya kita makan dan minum di rumahnya, tetapi kali ini kita bertemu di hospital sahaja.



Sebelum berpisah, saya mendoakan semoga Cikgu Salmah akan cepat sembuh dan akan dapat menjalani hidup seperti biasa, insha-Allah.


No comments: