Majlis Perkahwinan Amat Dan Siti Haida
Pada 27 Disember (Sabtu), saya sekeluarga telah berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan di antara Amat Onggak dengan Siti Haida Hamedan. Majlis walimatul urutelah berlangsung di kampung pengantin perempuan iaitu di Kampung Sungai Balang Kecil, Batu Pahat, Johor. Saya tiba ke lokasi majlis sekitar jam 3.15 petang. Waktu itu hujan turun renyai-renyai. Maklumlah sekarang memang musim hujan.
(suasana jalan menghala ke rumah pengantin)
Sebelum saya pergi lebih jauh dalam catatan ini, saya ingin mohon maaf kepada kedua-dua mempelai kerana gagal menunaikan hajat kalian berdua supaya saya hadir pada majlis akad nikah yang telah diadakan pada malam sebelumnya. Kegagalan ini disebabkan kunjungan saya di daerah Kota Tinggi masih diteruskan pada 26 Disember (Jumaat) dan ia berlarutan hingga ke sebelah petang. Ini menyebabkan saya tidak punya cukup waktu untuk bergerak ke lokasi pernikahan dari JB pada masa yang telah ditentukan. Catatan kunjungan hari kedua saya ke daerah Kota Tinggi akan saya kongsikan pada kesempatan yang lain, insha-Allah.
(kedua-dua mempelai)
Berbalik kepada majlis perkahwinan tadi, pada pengamatan saya ia telah dilangsungkan dengan meriah sekali. Selain daripada kaum kerabat pengantin perempuan, kerabat terdekat pengantin lelaki juga turut hadir. Untuk maklumat bersama, pengantin lelaki berasal dari Sabah dan kedua ibu bapanya masih menetap di negeri bawah bayu tersebut.
(ibu dan bapa pengantin perempuan)
Di samping itu, rakan taulan kedua pengantin juga ramai yang telah hadir. Khabarnya dari KL sahaja ada dua bas yang datang. Itu tidak dikira mereka yang datang secara sendiri seperti saya dan Cikgu Mohd Rizal Tan sekeluarga.
Saudara Amat Onggak merupakan penjawat awam yang sedang bertugas di Putrajaya. Manakala Siti Haida pula merupakan kakitangan yang sedang bertugas di ibu pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), KL.
Kepada kedua-dua mempelai, saya ucapkan selamat pengantin baru. Terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi mengundang saya sekeluarga. Di samping itu sambutan yang diberi cukup memuaskan. Saya sekeluarga juga tidak lupa berdoa semoga kalian berdua akan kekal bahagia, aman dan sentosa hingga ke syurga, insha-Allah.
Di bawah ini saya paparkan beberapa foto tentang majlis perkahwinan tersebut untuk tatapan bersama.
Hari ini menanam serai
Hari esok menanam halia
Hari ini tetamu ramai
Hari esok hidup berdua.
Minyak sapi si minyak kelapa
Jadi dagangan orang Jawa
Hari ini mula berdua
Tahun hadapan mungkin bertiga.
Kalau pergi ke rumah Pak Bakar
Jangan diredah air di paya
Suami isteri mesti bersabar
Tergigit lidah perkara biasa.
Kuala Daik si pulau pandan
Tanjung Pinang tempat ternama
Haida menarik Amat menawan
Bagai pinang dibelah dua.
Dari Pekan ke pulau Tioman
Tanjung Batu tempat singgahan
Bahtera perkahwinan tuan layarkan
Doa dan restu kami iringkan.
Orang Jawa pergi ke pekan
Hendak menjual ulam pegaga
Selamat berbahagia kami doakan
Semoga kekal hingga ke syurga.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment