Lazimnya perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu akan mengambil masa sekitar 3 jam dengan jarak sekitar 204 km. Itupun kalau kita ikut jalan pantai. Perjalanan semakin perlahan terutamanya dari Kuantan ke Dungun disebabkan banyak lampu isyarat yang perlu dilalui. Satu kelebihan kalau ikut jalan pantai ialah pemandangannya yang tidak membosankan. Pemandangan Laut China Selatan yang cukup cantik dan indah (kata orang) akan menyebabkan jarak perjalanan yang sebegitu jauh tidak begitu terasa.
Satu lagi kelebihan kalau ikut jalan sebelah pantai ialah kewujudan tempat-tempat menjamu selera yang sangat hampir dengan tepi pantai. Ia juga merupakan satu lagi tarikan yang mempesonakan mata yang melihat dan telinga yang mendengar. Sambil menjamu selera, kita dapat melihat fenomena laut yang cukup mengasyikkan sama ada menerusi penglihatan ataupun menerusi pendengaran. Kalau dalam bulan Disember seperti ini, deruan ombaknya lebih kuat dari kebiasaan. Manakala makanan yang dihidangkan pula merupakan masakan tempatan yang cukup menyelerakan. Pilih sajalah tempat makan yang kita sukai. Kalau saya, lebih gemar dengan tempat makan yang sentiasa dapat mendengar bunyi ombak yang kuat menghempas pantai. Di sebalik bunyi deruannya yang kuat, banyak perkara tersirat yang boleh ditafsirkan.
Selain itu, untuk melaksanakan solat pula, ia bukanlah suatu perkara yang sukar. Di sepanjang jalan terdapat banyak masjid untuk disinggahi. Walau bagaimanapun, kita juga harus pandai memilih masjid supaya tidak terkena yang kurang memuaskan dari aspek tertentu. Demikianlah.
Alhamdulillah sekitar jam 3.30 petang semalam, saya sekeluarga telah selamat tiba di Bandaraya Kuala Terengganu. Kami menginap di sebuah hotel yang terletak di tengah bandar raya. Di hadapan hotel ini terdapat sebuah bukit dan di atas bukit itu bersemadinya makam almarhum Sultan Zainal Abidin i, sultan Terengganu yang pertama. Saya pernah mencatatkan tentang bukit berkenaan dan makam yang terdapat di atasnya menerusi blog ini beberapa tahun yang lalu.
Tujuan utama saya ke Kuala Terengganu kali ini ialah untuk santai, menziarahi seorang rakan yang sedang sakit serta ada jemputan daripada PERTIS Terengganu untuk mengendalikan satu program anjurannya petang ini.
No comments:
Post a Comment