Thursday, March 17, 2016

Jangan Berbangga Dengan Keturunan




Salah satu perkara yang telah dihapuskan oleh Rasulullah ialah sikap berbangga-bangga dengan keturunan. Sikap sebegini sememangnya tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa pun, bahkan ia boleh mengundang keburukan semata-mata. Antara keburukannya ialah sikap berbangga dengan keturunan berpotensi menjadikan seseorang itu riak, takabur, sombong dan angkuh tak tentu fasal. Hatta keluarga dan zuriat Rasulullah sendiri tidak boleh berbanggaa-bangga dengan keturunan mereka.

Salah satu sifat yang amat dibanggai oleh masyarakat jahiliyah dahulu kala ialah berbangga dengan keturunan masing-masing. Bagi mereka, faktor keturunan merupakan antara elemen penting dalam menentukan tinggi atau rendahnya darjat seseorang dalam masyarakat. Selain faktor keturunan, dua lagi elemen yang menentukan tinggi dan rendahnya darjat seseorang pada zaman jahiliyah ialah kekayaan dan ramainya anak lelaki. Dalam zaman jahiliyah, jika seseorang memiliki 3 elemen di atas, maka dia pasti akan dihormati, disanjungi dan akan berada pada darjat yang cukup tinggi. Walaupun mungkin nenek moyang mereka dahulu atau si fulan itu sendiri merupakan seorang pembengis, pengganas, penindas, pemabuk, pemakan riba, penzina atau kaki judi, tetapi masyarakat Arab jahiliyah hanya memandang 3 elemen ini sahaja dalam menentukan darjat seseorang dalam masyarakatnya. Demikianlah apa yang pernah berlaku pada zaman jahiliyah dahulu kala.

Salah satu perkara yang dihapuskan oleh Islam setelah kedatangannya ialah berbangga-bangga dengan keturunan. Firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa” (ayat 13, Alhujurat, surah ke-49, juzuk 26). Menurut mufassirin, ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa faktor keturunan bukanlah penentu kepada tinggi atau rendahnya darjat dan martabat seseorang di sisi Allah.

Walaupun mungkin nenek moyang seseorang suatu ketika dahulu merupakan golongan yang terkenal dengan jahat, zalim, ganas dan sebagainya, ia tidak bermakna anak cucunya juga akan mewarisi segala sifat dan sikap buruk mereka. Sekiranya anak cucunya merupakan seorang yang baik, beriman, berakhlak mulia, maka sudah tentulah mereka akan dipandang mulia di sisi Allah.

Jika kita menelaah sejarah Arab jahiliyah, tentunya kita sudah cukup mengenali seorang tokoh yang bernama Abu Jahal. Beliau merupakan antara tokoh yang paling kuat memusuhi Rasulullah. Walaupun secara peribadi beliau turut mengakui kehebatan, kemuliaan dan ketinggian budi dan akhlak Rasulullah, namun demikian atas sebab sombong dan angkuh dengan kedudukan yang dimilikinya di tengah-tengah masyarakatnya, Abu Jahal sanggup memusuhi Rasulullah hingga ke saat nafasnya yang terakhir. Demikianlah.

Walaupun demikian, sejarah menjelaskan kepada kita, anak Abu Jahal yang bernama Ikrimah tidak mewarisi sifat dan sikap ayahnya terutamanya selepas beliau memeluk Islam. Ikrimah telah memeluk Islam sewaktu pembukaan kota Makkah. Selepas mendapat hidayah daripada Allah, Ikrimah tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau bersama-sama anaknya telah mencurahkan seluruh tenaga dan ketaatan mereka hanya kepada Allah dan Rasulullah. Akhirnya, Ikrimah telahmati syahid dalam satu peperangan di zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab.

Sejarah juga dengan cukup jelas membuktikan bahawa jika ayahnya seorang yang berdarah mulia, ia belum pasti akan diwarisi oleh anak atau cucunya. Sebagai contoh, semua tahu bahawa Nabi Noh merupakan seorang nabi dan rasul yang sangat mulia di sisi Allah. Baginda juga tergolong sebagai salah seorang daripada 5 rasul yang beroleh martabat ulul azmi. Walau bagaimanapun, salah seorang anaknya telah tergolong dalam kalangan manusia yang derhaka kepada Allah. Anaknya bukan sahaja tidak beriman bahkan sombong dan angkuh pula. Tatkala banjir besar sedang melanda, Nabi Noh telah mengajak anaknya supaya naik ke atas bahtera yang telah dibina oleh baginda. Namun demikian anaknya dengan angkuh telah menolak pelawaan Nabi Noh sambil cuba mendaki sebuah bukit. Akhirnya anaknya telah mati dalam keadaan kufur. Nabi Noh cuba memohon supaya anaknya itu diampunkan oleh Allah. Allah telah menolak permohonan doa Nabi Noh kerana anaknya itu tidak beramal dengan amalan yang solih. (Rujuk ayat 45-46, Surah Hud, surah ke11, juzuk 12). Natijahnya, walaupun bapanya seorang nabi, tetapi baginda tidak dapat menyelamatkan anak kesayangannya gara-gara sikap derhaka dan kekufuran anaknya sendiri.

Pada kisah yang lain pula, ada juga darjat nabi dan rasul dikurniakan oleh Allah sehingga ke peringkat cicit secara berterusan. Sebagai contoh, Nabi Ibrahim merupakan salah seorang nabi dan rasul. Dua orang putera baginda iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishaq juga merupakan rasul Allah. Salah seorang putera Nabi Ishaq pula, iaitu Nabi Yaaqub juga merupakan rasul Allah. Manakala salah seorang putera Nabi Yaaqub, iaitu Nabi Yusuf juga merupakan rasul Allah.

Walhal bapa Nabi Ibrahim, Azar, merupakan seorang penyembah berhala yang kuat menentang ajaran yang dibawa oleh anaknya sendiri, iaitu Nabi Ibrahim (rujuk ayat 74, Surah Al-An’am, surah ke-6, juzuk ke-7). Acap kali Nabi Ibrahim menyeru kaumnya dan bapanya sendiri supaya beriman kepada Allah tetapi ia ditolak dengan angkuh oleh mereka. Akhirnya nama Azar tercatat dalam Alquran sebagai antara tokoh yang paling kuat derhakanya terhadap Allah.

Di samping itu, sejarah juga menjelaskan kepada kita iaitu ada juga dalam kalangan zuriat Nabi Ibrahim yang kufur terhadap Allah. Bahkan ada juga dalam kalangan mereka yang namanya tercatat dalam Alquran sebagai antara manusia yang paling kufur dan amat dimurkai oleh Allah. Sebagai contoh, Abu Lahab, salah seorang zuriat Nabi Ibrahim yang juga bapa saudara Nabi Muhammad merupakan seorang yang kufur terhadap Allah dan namanya tercatat dalam Alquran sebagai antara 7 individu yang amat dimurkai oleh Allah. (Rujuk Surah Al-Masad, ayat 1-5, surah ke-111, juzuk 30).

Berdasarkan kisah dan sejarah di atas, ia dengan jelas menunjukkan bahawa elemen keturunan bukan faktor yang menentukan darjat dan martabat kemuliaan atau hinanya seseorang itu khususnya di sisi Allah. Sepertimana yang telah dijelaskan tadi, sifat takwa merupakan faktor terpenting dalam menentukan kemuliaan seseorang di sisi Allah. Justeru, marilah kita sama-sama berlumba-lumba untuk menjadi insan yang paling bertakwa di sisi Pencipta kita.

Antara yang dapat dirumuskan dalam kisah sejarah silam ialah, sekiranya nenek moyang seseorang itu berdarah wali, ulamak, kiyai, pahlawan, hulubalang, lanun atau penyamun, ia tidak semestinya akan mengalir ke tubuh anak, cucu dan zuriatnya. Dalam kalangan kita yang hidup hari ini pasti akan merasa malu dan aib sekiranya kita mengetahui nenek atau moyang kita dahulu merupakan seorang penyamun atau lanun. Begitulah juga, anak cucu kita di hari kemudian juga pasti akan merasa malu dan aib jika diketahuinya nenek atau moyang mereka yang hidup pada hari ini adalah seorang penipu, pembelit, penyamun atau lanun.

Oleh yang demikian, tidak perlulah kita memulakan babak dan perdebatan yang menjurus kepada sifat berbangga-bangga dengan keturunan masing-masing. Ia merupakan perdebatan yang sia-sia dan membuang masa sahaja. Banyak lagi kerja dan usaha yang harus kita sama-sama lakukan untuk membangunkan negara dan menyatukan bangsa sendiri. Marilah kita menoleh dan memerhatikan jiran-jiran di sekeliling kita, mereka semakin maju menempa kecemerlangan. Sedangkan kita, oleh kerana asyik banyak membuang masa dengan perkara-perkara yang sia-sia seperti ini, maka itulah kita semakin tertinggal ke belakang. Kalau tersalah menukil sejarah, kelak anak cucu kita yang merasa malu kerana nenek dan moyang mereka adalah kita pada hari ini.


No comments: