Wednesday, March 9, 2016

Orang Politik




Sesetengah pemerhati berkata, antara golongan yang paling tidak boleh dipercayai ialah orang politik. Ada kalanya, antara pagi dan petang mereka boleh menonjolkan dua perwatakan yang jauh berbeza. Ada juga yang memberitahu saya, antara kumpulan manusia yang paling kerap berjanji ialah orang politik juga. Berdasarkan fakta sejarah, Abu Abbas As-Safa adalah antara tokoh pada zamannya yang kerap berjanji dan kerap memungkirinya pula.

Pendirian orang politik juga boleh berubah dengan sekelip mata sahaja. Sekejap pendiriannya begini, sekejap pendiriannya boleh berubah jadi begitu pula. Kita mungkin biasa dengar ucapan kononnya kami berdiri teguh di belakang sifulan dan sifulan. Tidak lama kemudian orang yang berucap demikian bukan sahaja berubah sokongannya, tetapi menjadi penentang tegar pula. Kalau dahulu dia hanya suka berpakaian serba hijau sahaja, tetapi kini dia sudah mula berpakaian serba merah pula. Kalau dahulu dia antara tokoh yang memutuskan sifulan itu patut dipecat, tetapi kini dia boleh mengatakan pemecatan itu tidak digalakkan oleh Islam. Ini sekadar contoh-contoh sahaja.

Orang politik juga merupakan kumpulan manusia yang paling petah bila bercakap. Pantang dihulur mikrofon, mereka sanggup memegangnya sampai entah berapa jam lamanya. Walaupun mereka paling gemar dan paling petah bercakap, tetapi jarang antara mereka yang mencatat atau mendengar semula apa yang pernah mereka cakapkan. Sebab itulah ramai juga dalam kalangan orang politik yang akan menjilat ludahnya kembali setelah beberapa tahun kemudian.

Ada juga orang politik yang cakap tak serba bikin. Kononnya dengan GST harga barangan akan turun. Sekarang apa sudah jadi, jangan katakan bertahan, naik lagi ada. Bila orang ramai bersungut fasal tak cukup pendapatan, disuruhnya pula buat lebih dari satu kerja. Semua yang dia saran dan cadang hanya jadi mainan orang ramai saja. Agaknya kalau CGPA 3.85 belum cukup cerdik lagi.

Adakala hukum haram dan halal juga sangat dipengaruhi oleh kedudukan politik semasa seseorang politik itu. Dahulu ada orang politik mengatakan kononnya kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan toghut. Sekarang dia boleh berbaik pula dengan kerajaan yang pernah dikatakan toghut suatu ketika dahulu. Dahulu dia juga yang mengatakan tidak boleh bersekongkol dengan orang kafir. Sekarang dia boleh duduk semeja dengan golongan sedemikian. Jadi sebagai orang marhaen memang kita pening kepala dibuatnya.

Orang politik juga boleh menjadi kawan dan lawan dalam sekelip mata sahaja. Jika dahulu mereka merupakan kawan yang paling akrab bak isi dengan kuku, tetapi kini mereka boleh merupakan setru yang paling ketat sekali. Jika dahulu mereka merupakan setru yang paling ketat, tetapi kini mereka boleh duduk semeja sambil gelak ketawa seolah-olah mereka tidak pernah bersetru suatu ketika dahulu.

Dalam kalangan orang politik, mereka juga ada tahap dan kelas masing-masing. Kalau sekadar baru ketua cawangan atau AJK kawasan atau bahagian, kelas mereka belum tinggi lagi. Boleh dikatakan matlamat akhir orang politik ialah untuk menduduki kerusi nombor satu dalam sesebuah kerajaan. Malangnya kerusinya ada satu sahaja tetapi yang mengidamkannya entah berapa ribu orang.

Rupa-rupanya dalam politik, ada jawatan dengan tanpa jawatan memang jauh beza layanannya. Sewaktu berjawatan apatah lagi kalau jawatan tinggi, dia akan disanjung melambung sampai terawang-awang dibuatnya. Ke sana dan ke sini semua orang memuji. Jarang sekali orang tidak memujinya. Maklumlah takut didakwa di bawah akta itu dan ini. Sekarang bila tak ada jawatan lagi dan sudah keluar parti pula, mulalah orang mengejinya. Semua label yang tak mungkin dilabelkan kepadanya semasa dia berjawatan dahulu kini sudah terlabel kepadanya. Dahulu dialah negarawan, pemimpin paling berani, pemimpin itu dan ini. Sekarang dialah pengkhianat, entah apa-apa lagi. Kasihan orang tua tu!

Matlamat utama jika jadi orang politik ialah “kuasa”. Sebab itulah di musim pilihanraya orang politik hanya mahu bercakap dengan mereka yang boleh mengundi sahaja. Kerana hanya para pengundi sahaja yang boleh beri mereka kuasa dan mungkin juga kedudukan. Maka itulah, dalam musim pilihanraya, bagi orang politik, bercakap dengan mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi hanya membuang masa sahaja. Jadi, jika ingin dihargai oleh orang politik terutamanya dalam musim pilihanraya, cepat-cepatlah mendaftar sebagai pengundi.

Ada kalanya, orang politik yang ada kuasa politik, angkuh dan sombong mereka jadi double. Golongan seperti ini hanya mahu orang lain dengar cakap dia sahaja. Kalau ditegur atau dinasihati mereka akan melenting tak semena-mena. Mereka sangka bila sudah ada kuasa politik, merekalah yang paling pandai sekali hingga pantang ditegur apatah lagi ditunjuk ajar. Apa yang mereka cakap semuanya betul belaka walaupun tak semuanya betul. Tak ramai yang berani menegur dan memberitahu yang betul.

Ada juga orang politik yang ada kuasa politik berani bercakap itu dan ini tanpa bukti. Mungkin dia orang politik yang masih ada kuasa politik, jadi tak ada siapa pun yang berani mendakwanya. Kalaulah orang awam yang bercakap/mendakwa itu atau ini tanpa bukti, sudah lama mereka ini didakwa atau disaman. Ada orang politik yang ada kuasa politik sekurang-kurangnya sudah tiga kali bercakap tanpa disertai bukti tapi tak seorang pun yang berani mengatakan dia salah.

Orang biasa pun satu juga, kalau depan orang politik bukan main pujinya, terangkat dan melambung dibuatnya. Bila di belakang, kejiannya pun boleh tahan juga. Inilah yang dikatakan bermuka-muka. Sifat bermuka-muka semacam ini bukanlah perkara baru. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, memang wujud orang biasa yang bersifat bermuka-muka seperti ini. Kalau di hadapan orang besar-besar seperti bendahara atau laksamana, bukan main pujinya. Apa sahaja yang dikatakan oleh orang besar-besar semua betul belaka walaupun mereka tahu sebenarnya salah. Rupa-rupanya sifat-sifat bermuka-muka seumpama ini sudah menjadi sifat yang diwarisi sejak berketurunan lamanya.

Justeru, sesuatu perkara itu sama ada betul atau tidak, jangan tanya kepada orang politik semata-mata. Betul atau salah sesuatu perkara itu akan bergantung kepada kepentingan dan kedudukan politik semasanya. Jadinya bagi golongan orang politik, salah atau tidaknya sesuatu perkara itu sangat subjektif sifatnya.

Kalau hendak jadi ahli politik yang bijak, pintar dan mampu menguasai semua golongan dalam masyarakat, belajarlah riwayat dan sejarah Muawiyah bin Abi sufian dari A hingga Z termasuklah unsur KBAT-nya sekali dengan terperinci sampai khatam.

Saya bukan tidak suka dengan orang politik, tapi orang politik yang mungkin tidak suka dengan apa yang saya cakap.


No comments: