Hari ini, kabinet telah bersetuju untuk menamatkan khidmat Tun Dr. Mahathir selaku penasihat Petronas. Menurut sumber berita, kerajaan memutuskan untuk menamatkan khidmat Tun Mahathir kerana beliau tidak lagi mendokong kerajaan yang sedia ada. Ini merupakan antara tindakan awal kerajaan sebagai respon kepada tindakan Tun Mahathir dalam menggerakkan usaha untuk menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Mohd Najib selaku perdana menteri.
Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam politik, saya rasa Tun Mahathir sudah dapat menduga tindakan sedemikian bakal diambil ke atas beliau. Oleh yang demikian. Tun Mahathir rasanya sudah bersedia untuk menerima apa sahaja tindak balas khasnya daripada pihak kerajaan ekoran usaha yang sedang dilakukannya untuk memastikan Datuk Seri Mohd Najib “turun takhta”. Selain itu, Tun Mahathir juga mungkin sudah bersedia untuk menerima tindak balas seterusnya daripada pihak kerajaan. Setakat ini, tindak balas daripada kerajaan dan mereka yang mendokong kerajaan masih tidak menjadi kuman kudis kepada Tun Mahathir.
Dari satu sudut, tindakan kerajaan dalam menamatkan khidmat Tun Mahathir selaku penasihat Petronas ada sebabnya yang tersendiri. Kalau Tun Mahathir berada di kedudukan Datuk seri Najib sekarang, rasanya itulah juga tindakan yang bakal diambilnya dalam menghadapi mana-mana individu yang menentang beliau. Sudah menjadi perkara biasa bagi kerajaan untuk memastikan jawatan-jawatan tertentu hanya dipegang oleh mereka yang setia dan bersedia untuk mendokong apa sahaja dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Justeru keputusan kabinet siang tadi bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sebaliknya adalah menjadi sesuatu yang luar biasa sekiranya Tun Mahathir terus dibiarkan berkhidmat selaku penasihat Petronas sedangkan kini beliau bukan lagi ahli UMNO dan sedang berusaha untuk memastikan perdana menteri yang ada jatuh tergolek.
Mungkin para pemerhati sedang tertunggu-tunggu apakah tindak balas seterusnya daripada pihak kerajaan dalam menghadapi gelombang penentangan yang diketuai oleh Tun Mahathir. Kemungkinan besar, tindak balas seterusnya akan bergantung kepada himpunan yang akan berlangsung pada 27 Mac ini. Sekiranya himpunan berkenaan dirasakan berpotensi untuk menggugat kerajaan dan perdana menteri, sudah tentulah tindak balas yang lebih drastik akan dilaksanakan.
Saya bukannya nujum Pak Belalang. Justeru saya tidak pandai untuk mengagak tindakan seterusnya yang bakal dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak. Maklumlah masing-masing ada strategi tersendiri bagi memastikan setiap agenda yang dirangka akan terlaksana dengan jayanya.
Sama-samalah kita tunggu.
No comments:
Post a Comment