29 Februari (Isnin), media sosial cukup meriah dengan berita Tun Mahathir mengisytiharkan dirinya dan juga isterinya keluar UMNO. Jika yang keluar UMNO itu ahli bawahan yang tak ada kelas ia tidak akan mendapat liputan seperti ini. Oleh kerana yang keluar UMNO kali ini bukan sembarangan tokoh, maka ia telah mendapat liputan yang cukup meluas dengan pelbagai reaksi dan persepsi.
(Foto lama)
Keluar masuk UMNO bagi Tun Mahathir bukanlah perkara luar biasa. Pada tahun 1969, Tun Mahathir telah dipecat daripada UMNO ekoran surat terbukanya yang bertarikh 17 Jun 1969. Walau bagaimanapun, dengan usaha Tun Razak, pada awal dekad 70-an, Tun Mahathir telah masuk semula UMNO. Manakala pada bulan Mei 2008, Tun Mahathir sekali lagi telah mengisytiharkan dirinya keluar UMNO. Puncanya kerana menentang dasar-dasar pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku perdana menteri ketika itu. Setelah Tun Abdullah melepaskan jawatannya, maka pada tahun 2009 Tun Mahathir telah masuk semula UMNO. Pada 29 Februari 2016, buat kali ketiganya Tun Mahathir telah keluar semula UMNO.
Dalam konteks carai talak, kalau sudah talak kali ketiga dan hendak nikah semula dengan pasangan yang sama kena lalui apa yang disebut sebagai proses cina buta. Jadi, jika selepas iniTun Mahathir hendak masuk semula UMNO, beliau kena masuk parti politik yang lain dahulu, kemudian keluar daripada parti berkenaan, baru boleh masuk semula UMNO.
Dalam konteks pentadbir negara, memang kita tidak boleh menafikan iaitu Tun Mahathir merupakan seorang tokoh dan negarawan yang cukup hebat, berani dan lantang hingga ke persada antarabangsa. Namun begitu, dalam urusan memilih orang yang menjadi penggantinya, ternyata Tun Mahathir bukanlah seorang yang bijak. Sebab itulah beliau cukup bermasalah dengan dua orang yang pernah ditunjuknya sendiri sebagai pengganti beliau. Tun Mahathir memang tidak kenal antara kaca dan permata ketika memilih tokoh yang akan menjadi pengganti beliau. Demikianlah tidak cerdiknya seorang negarawan yang bernama Tun Mahathir dalam soal ini.
Adalah masih terlalu awal untuk memperkatakan secara spesifik kesan penalakan Tun Mahathir daripada UMNO. Seperti mana yang saya nyatakan, ini bukan kali pertama beliau keluar UMNO. Lagipun hasrat Tun Mahathir keluar UMNO bukan kerana untuk menubuhkan parti lain atau bukan juga bertujuan untuk masuk parti politik yang lain. Hakikatnya jasad dan roh Tun Mahathir tetap UMNO buat selama-lamanya. Beliau hanya berehat sebentar di luar UMNO dan akan masuk semula dalam parti berkenaan apabila berlaku perubahan dalam tampuk kepimpinan UMNO sekarang.
Apa yang boleh dirumuskan buat masa ini ialah masalah kepimpinan yang berlaku dalam UMNO pada masa ini berpunca daripada ketidakcerdikan Tun Mahathir sendiri yang mungkin telah tersalah pilih orang yang menjadi pengganti beliau. Gara-gara kononnya hendak membalas budi, kini UMNO ditimpa pelbagai masalah dan keadaannya tak ubah bagai bahtera yang semakin senget.
Apa yang sedang menimpa UMNO sekarang menyegarkan kembali ingatan kita semua kepada doa yang pernah dilafazkan oleh (Almarhum) Datuk Fadhil Noor suatu ketika dahulu.
No comments:
Post a Comment