Sunday, May 8, 2016

Keputusan PRN Sarawak: Sekadar Coretan




Pada 7 Mei (Sabtu), Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak kali ke-11 telah berlangsung. Berdasarkan keputusan akhir, Barisan nasional (BN) berjaya memenangi 72 kerusi daripada 82 kerusi. Manakala DAP pula berjaya menenangi 7 kerusi dan PKR pula berjaya memenangi 3 kerusi. Dalam pilihanraya umum negeri ke 10 pada tahun 2011 lalu, BN telah memperolehi 55 daripada 71 kerusi, DAP 12 kerusi, PKR 3 kerusi manakala bebas 1 kerusi.

Berdasarkan keputusan PRN Sarawak semalam, BN bukan sahaja telah berjaya mempertahankan kedudukannya selaku kerajaan yang memerintah, bahkan jumlah kerusi yang dimenanginya juga turut bertambah. Dengan erti kata lain, BN telah mendapat semula mandat rakyat dengan kemenangan besar yang cukup bergaya. Manakala DAP pula telah hilang 5 kerusinya. PKR pula sekadar berjaya mempertahankan jumlah 3 kerusi yang dimenangi pada PRN ke-10 yang lalu. Sementara itu, parti PAS dan PAN belum berjaya mendapat sebarang kerusi sulung masing-masing di bumi kenyalang.

Berdasarkan keputusan PRN semalam, ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian, bukan sahaja oleh golongan pemerhati politik, tetapi ia juga harus dianalisis secara terperinci oleh golongan ahli politik supaya mereka tidak lagi sentiasa terjun ke lembah “syok sendiri” pada masa akan datang.

Walaupun BN telah berjaya menang besar, namun demikian posmotem dalaman juga perlu dilaksanakan. Tujuannya ialah untuk mengenal pasti faktor-faktor yang membawa kepada kemenangan besar parti berkenaan dalam PRN kali ini. Sekiranya perlu, sebab-sebab kemenangan besar berkenaan juga boleh digunakan untuk menghadapi pilihanraya umum peringkat parlimen yang akan berlangsung sekitar setahun dua lagi. Sekiranya relevan, ia bukan sahaja boleh digunakan lagi di Sarawak, tetapi mungkin boleh juga digunakan di negeri-negeri lain pula. Demikianlah.

Bagi saya, antara faktor yang telah membawa kemenangan besar di Sarawak dalam PRN kali ini ialah politik pembangunan yang dibawa oleh BN Sarawak. Oleh kerana sebahagian besar Sarawak merupakan kawasan luar bandar yang masih belum maju, maka politik pembangunan masih penting dan tetap laku dalam kalangan para pengundi di Sarawak. Mereka sememangnya mengharapkan agar kawasan masing-masing akan dilimpahi dengan nikmat pembangunan sebagaimana di kawasan bandar. Justeru janji pembangunan yang sentiasa menjadi modal calon BN dalam PRN kali ini amat berkesan. Semoga janji tersebut akan dapat ditepati selepas ini.




Di samping itu, populariti ketua menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga merupakan faktor penyumbang kepada kemenangan besar BN dalam PRN Sarawak semalam. Walaupun sesetengah ahli politik pembangkang menyifatkan beliau seorang yang angkuh, tetapi bagi pengundi Sarawak beliau adalah sebaliknya. Maka itulah para pengundi di Sarawak telah memberikan undi yang lebih besar kepada beliau dan pasukannya dalam PRN kali ini.

Selain itu, kekuatan jentera BN di Sarawak juga merupakan faktor penting yang telah membawa kemenangan kepada parti berkenaan. BN Sarawak tidak keseorangan kerana BN pusat sentiasa memberi sokongan padu dari belakang. Dengan kekuatan yang ada inilah BN dapat memasuki hampir ke seluruh pelusuk Sarawak untuk berkempen. Hal ini amat terbukti,dalam kemalangan helikopter Khamis lalu, semua mangsa yang terlibat kebetulannya bukan orang Sarawak.

Di samping itu, pada pemerhatian saya juga isu-isu luar Sarawak tidak mendapat tempat dalam kalangan orang Sarawak. Walaupun pengerusi BN Pusat masih dibelenggu dengan pelbagai isu seperti isu 1MDB dan derma 2.6 bilion dan yang seumpamanya, ia sama sekali tidak memberi kesan kepada orang Sarawak. Para pengundi di Sarawak tidak menjadikan isu sedemikian sebagai pertimbangan utama untuk menolak calon-calon BN. Mungkin bagi pengundi Sarawak yang lebih penting ialah usaha ke arah merealisasikan pelaksanaan konsep Sarawak untuk orang Sarawak pada masa hadapan.

Perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang di Sarawak turut memberi ruang yang lebih luas kepada BN untuk meraih kemenangan yang lebih besar dalam PRN kali ini. Walaupun DAP dan PKR sama-sama menyertai Pakatan Harapan, tetapi mereka telah menentang antara satu sama lain di 6 kerusi DUN. Hal ini telah menimbulkan persepsi yang kurang baik khususnya kepada para pengundi sendiri. Dengan erti kata lain, penjenamaan semula gabungan parti-parti pembangkang daripada Pakatan Rakyat kepada Pakatan Harapan masih gagal untuk menambat hati para pengundi di Sarawak.

Sementara itu, PAS dan PAN yang sama-sama cuba memperolehi kerusi sulung masing-masing tetap gagal kali ini. Biar pun semasa berkempen, PAS semakin yakin akan beroleh kerusi sulungnya dalam PRN kali ini, ternyata harapan mereka hanya sekadar retorik sahaja. Kegagalan PAN pula sememangnya telah diduga sejak awal lagi. Sekiranya PAN dan PAS bergabung sekali pun, belum tahu lagi kerusi sulung akan dapat mereka perolehi dalam PRN kali ini.

Kemenangan besar BN di Sarawak juga turut membawa mesej penting kepada BN pusat. Kekuatan dan kestabilan BN secara keseluruhannya semakin bergantung kepada sokongan padu daripada Sarawak dan Sabah. Justeru, pandangan, cadangan, permintaan dan tuntutan BN di kedua-dua negeri berkenaan tidak lagi boleh dipandang remeh oleh BN pusat. Peranan yang lebih besar dan keterlibatan ahli politik BN dari Sarawak dan Sabah di peringkat pusat harus direalisasikan dengan secepat mungkin. Konsep Sarawak Untuk Orang Sarawak juga harus dikotakan secara wajar tetapi jangan sampai ke tahap boleh membawa perpecahan pula kepada Persekutuan Malaysia.

Sementara itu, kemenangan besar BN di Sarawak juga mempunyai makna yang cukup signifikan khususnya kepada Datuk Seri Najib. Populariti beliau dan BN masih utuh dan kuat. Ini bermakna beliau ada asas untuk terus duduk di kerusi perdana menteri. Mungkin beliau juga sudah dapat kekuatan baru untuk meneruskan legasinya. Namun demikian, selera dan cita rasa orang semenanjung mungkin berbeza dengan orang Sarawak.

Sementara itu, kekalahan besar oleh parti-parti pembangkang dalam PRN Sarawak kali ini boleh dijadikan satu pengajaran yang amat berguna bagi memperbaiki keadaan pada masa akan datang. Memang selamanya iaitu perpecahan dan pertembungan sesama sendiri tidak pernah membawa keuntungan kepada pihak yang berkenaan. Pertembungan sedemikian hanya menampilkan ketidaksatuan dalam kalangan parti-parti pembangkang sahaja khususnya di kaca mata para pengundi. Justeru, dalam konteks Sarawak, Pakatan Harapan sudah menjadi pakatan hampa.

Kepada yang menang tahniah diucapkan. Janji semasa berkempen umpama benih yang disemai. Jika elok bajanya nanti, maka akan eloklah bunga dan buahnya kelak.

No comments: