Saya pernah menulis dengan menggunakan tajuk seperti di atas menerusi blog ini beberapa kali. Walaupun bunyi tajuknya serupa, tetapi isi kandungannya tetap berbeza. Kali ini, tulisan saya juga diberi tajuk yang sama juga tetapi dengan konteks dan kandungan yang tetap berbeza.
Dalam mengharungi kelangsung kewujudannya, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) sentiasa didepani dengan pelbagai cabaran. Secara positifnya, jika barisan pimpinan yang ada berjaya mengharungi setiap cabaran yang ada, maka ia sudah tentu akan memanjangkan lagi hayat PERTIS itu sendiri. Sebaliknya, sekiranya barisan pimpinan PERTIS gagal mengatasi rintangan dan cabaran yang tidak pernah berhenti berkunjung, maka sudah pastilah organisasi berkenaan akan pendek umur dibuatnya.
Mulai tahun lepas, PERTIS sudah pun mempunyai dua pejabat di lembah Kelang, iaitu satu di Taman Ibu Kota, Gombak yang sudah sedia beroperasi selama ini. Ia juga merupakan ibu pejabat PERTIS peringkat kebangsaan. Manakala sebuah lagi ialah di Brickfields yang telah pun dibuka mulai tahun lepas. Penambahan premis sekaligus akan mengakibatkan penambahan dalam kos operasi. Sekiranya PERTIS mampu menjana pendapat persatuan sekurang-kurangnya untuk sekali ganda, maka penambahan premis sebagaimana yang sudah dilaksanakan adalah wajar. Walau bagaimanapun, sekiranya PERTIS tidak mampu untuk menjana pendapatan seiring dengan penambahan dan kenaikan kos, maka penubuhan sebuah lagi premis merupakan langkah yang kurang bijak khususnya untuk jangka panjang. Namun demikian, saya yakin barisan pimpinan yang ada sudah pun menghalusi semua perkara dan keperluan sebelum memutuskan untuk menambah bilangan premis tahun lepas.
Selain itu, saya juga mendapat maklumat bahawa PERTIS sudah mula mengenakan bayaran kepada sesiapa yang akan hadir dalam program ceramah anjurannya. Mungkin kerana sudah kekurangan dana, maka PERTIS terpaksa melaksanakan langkah sedemikian. Lagi pun, jumlah bayaran yang dikenakan agaknya tidaklah setinggi mana iaitu sekitar RM3 hingga RM5 sahaja. Setakat yang saya maklum juga, setakat ini kehadiran dalam ceramah anjuran PERTIS selepas dikenakan bayaran masih memberangsangkan. Contohnya program ceramah yang telah diadakan pada 10 April lalu, khabarnya sambutannya cukup menggalakkan. Ini menunjukkan para ahli serta mereka yang hadir sememangnya tidak kisah dengan sedikit bayaran yang dikenakan oleh PERTIS. Sambil mendapat ilmu daripada ceramah yang disampaikan, mereka juga boleh menderma kepada PERTIS.
Namun demikian, pada hemat saya berdasarkan kedudukankewangan PERTIS setakat ini, masih tiada keperluan untuk mengenakan bayaran dalam program ceramah yang dianjurkan. Bagi saya, setiap program ceramah anjuran PERTIS bolehlah dianggap sebagai tanggungjawab sosial persatuan kepada seluruh komuniti cacat penglihatan khususnya dan kepada umat Islam umumnya. Jika dikenakan bayaran, ia berkemungkinan besar akan memberi kesan dalam jangka panjang kepada program serupa. Orang ramai akan hadir jika topiknya menarik dan penceramahnya hebat. Barulah berbaloi apa yang mereka bayar. Sekiranya topiknya kurang menarik dan penceramahnya pula masih belum ada nama, mungkin kehadiran orang ramai akan berkurangan. Dengan itu, objektif untuk penyebaran ilmu khasnya kepada komuniti kita tidak akan kesampaian.
Justeru, saya suka menyarankan agar bayaran yang dikenakan dimansuhkan untuk setiap program ceramah anjuran PERTIS. Sebagaimana yang saya nyatakan tadi, jadikanlah setiap program ceramah tersebut sebagai tanggungjawab sosial persatuan kepada masyarakat. Lagi pun, banyak lagi cara lain yang boleh dilaksanakan untuk menjana pendapatan PERTIS. Sekiranya kos penganjuran sudah meningkat, carilah kaedah lain untuk mengurangkan kosnya. Janan untuknya pasti ada. Dari aspek yang lain pula, saya berpandangan sekiranya program ceramah diadakan tanpa mengenakan sebarang bayaran, rasanya barakahnya akan bertambah, insha-Allah. Jika bertambah barakah padanya, insha-Allah Tuhan akan membuka jalan lain pula untuk PERTIS menjana perolehannya. (Untuk lebih lanjut, sila rujuk juzuk ke-28, Surah At-Talaq (surah ke-65), ayat 2 dan 3).
Selain itu, Saya tidak lagi mendengar mengenai penerusan program 1Masjid 1Alquran Btraille yang pernah dilaksanakan beberapa tahun lalu. Setakat yang saya maklum, sekitar 59 buah masjid di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah pun ada sekurang-kurangnya 1 naskah Alquran Braille daripada PERTIS hasil pelaksanaan program berkenaan. Berdasarkan maklum balas yang pernah saya terima hasil pelaksanaan program berkenaan, ia sememangnya memberi manfaat kepada jemaah yang cacat penglihatan. Program sedemikian juga telah memberi kesedaran dan pendedahan kepada masjid dan para jemaahnya tentang kewujudan Alquran Braille serta kemudahan yang dapat dimanfaatkan oleh pengguna sasarnya. Sekiranya pelaksanaannya sudah terhenti, maka usaha untuk meneruskannya semula harus digerakkan.
Di samping itu juga, dari kejauhan saya mendengar ada pendapat yang mengatakan kononnya sedikit kesulitan yang terjadi khususnya dalam pentadbiran PERTIS hari ini gara-gara Yang Di-Pertuanya (YDP) tinggal nun jauh di Kelantan sedangkan ibu pejabat dan pusat pentadbiran terletak di Kuala lumpur. Bagi saya perkara sedemikian bukanlah satu masalah besar. Hal yang serupa juga pernah terjadi antara tahun 2006 hintta tahun 2010. Ketika itu, Cikgu Mohamad Ismail (Allahyarham) selaku YDP bermastautin di Kuala Terengganu sedangkan ibu pejabat dan AJK pusat yang lain di KL. Namun demikian ia bukanlah satu masalah besar. Ini kerana setiap AJK Pusat ketika itu tahu melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan. Lagipun tiada sebarang sengketa besar yang terjadi. Semuanya bersatu dalam satu saf pimpinan. Sekiranya timbul sebarang masalah, AJK Pusat yang ada ketika itu akan terus menghubungi YDP di Kuala Terengganu bagi mendapatkan keputusan yang terbaik tanpa membelakangkan sesiapa.
Secara organisasinya, semua biro yang ada dalam PERTIS mempunyai peranan dan kepentingan yang sama rata. Semua biro harus bersatu dan bergerak persis anggota dalam satu tubuh badan. Sekiranya salah satu anggotanya sakit atau rosak, maka akan sakitlah dan rosaklah seluruh organisasi berkenaan. Oleh itu, setiap AJK dan ketua biro harus faham secara mendalam tanggungjawab dan tugas masing-masing dalam sebuah persatuan seperti PERTIS. Setiap tindakan harus mengambil kira survival persatuan untuk jangka panjang. Tindakan seperti tikus membaiki labu hanya akan mengakibatkan jangka hayat persatuan tidak akan bertahan lama.
Biro Penerbitan merupakan salah satu biro yang terdapat di peringkat AJK Pusat. Peranan biro ini sememangnya penting dan besar. Sewaktu di peringkat awal kejayaan perolehan tender untuk menghasilkan buku teks Braille, Biro Penerbitan PERTIS hanya diyakini untuk mengendalikan sebuah buku sahaja iaitu buku pendidikan Islam. Beberapa tahun kemudia, ia bertambah kepada dua buah buku iaitu buku Bahasa Arab. Beberapa tahun kemudian, ia bertambah lagi kepada 4 buah buku pula. Namun demikian, kalau saya tidak silap, pada tahun terakhir, PERTIS hanya berjaya memperolehi sebuah buku sahaja. Apa sudah jadi? Mungkin pimpinan PERTIS kurang maklum ada pihak lain yang cuba memberi saingan yang kurang sihat kepada PERTIS!
Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian oleh PERTIS ialah hubungan luarnya. Ke arah merealisasikan tema “Memasyarakatkan PERTIS”, PERTIS seharusnya mengekalkan jalinan hubungan yang sudah sedia ada sebelum ini di samping menambah lagi jalinan hubungan dengan seberapa banyak individu, organisasi badan bukan kerajaan, agensi dan jabatan kerajaan, institusi keilmuan serta masyarakat secara umumnya. Hal ini saya ketengahkan kerana dari kejauhan ada terdengar kononnya ada pihak tertentu yang semakin hambar dengan PERTIS. Semoga berita yang mula kedengaran itu palsu semata-mata.
Sejak akhir-akhir ini semakin ramai yang bertanya sama ada saya akan bertanding semula dalam sesi pemilihan barisan pimpinan PERTIS dalam mesyuarat agungnya pada hujung Mei nanti.
No comments:
Post a Comment