Friday, May 27, 2016

Selamat Bermesyuarat Kepada Ahli PERTIS



Bermula 27 Mei 2016 (Jumaat), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) akan menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan peringkat kebangsaan kali ke-21. Ini bermakna, PERTIS kini sudah pun berusia 21 tahun. Saya difahamkan, mesyuarat agung kali ini akan berlangsung dari 27 hingga 28 Mei.

Berdasarkan daripada sumber dalaman PERTIS yang cukup dipercayai ada mengkhabarkan iaitu aset keseluruhan PERTIS kini sudah pun melebihi RM sejuta. Ia mencakupi keseluruhan wang tunai serta aset yang bukan berbentuk wang tunai. Berdasarkan maklumat demikian, ia merupakan suatu pencapaian yang positih kepada PERTIS sendiri yang baru berusia 21 tahun. Jika jumlah aset semakin meningkat, maka elakkan sama sekali daripada unsur pembaziran. Pada masa yang sama, jangan lupa untuk melaksanakan tanggungjawab sosial khususnya kepada seluruh umat muslimin tanpa mengira sama ada mereka ahli atau pun sebaliknya. Mungkin dengan pelaksanaan tanggungjawab sosial sedemikian, akan terbuka pula pintu lebih ramai lagi mereka yang berkelayakan untuk memohon menjadi ahli PERTIS sama ada Ahli Biasa mahupun sebagai Ahli Sekutu.

Dalam mesyuarat agung kali ini juga, selain daripada pembentangan minit mesyuarat dan laporan tahunan, pemilihan AJK Pusat untuk semua jawatan juga akan dilangsungkan. Mereka yang terpilih nanti akan berkhidmat selama dua tahun sehingga tahun 2018. Apa yang sudah dipastikan iaitu En. Mohd Bukhari telah membuat hebahan di aplikasi whatsapp bahawa mulai sekarang beliau tidak lagi akan bertanding untuk sebarang jawatan AJK PERTIS Pusat sehingga ke akhir hayat (kecuali untuk jawatan auditor).

Khabarnya dokumen mesyuarat kali ini cukup tebal. Untuk yang bertulisan biasa ia berketebalan melebihi 100 halaman? Manakala yang bertulisan Braille pula ia berketebalan hampir 280 halaman? Saya pun tertanya-tanya sendirian, ini dokumen mesyuarat atau novel mesyuarat? Selain itu, jumlah yang dicetak juga agak banyak. Kononnya untuk PERTIS Pahang sahaja sekitar 20 naskah bertulisan biasa akan disediakan. Sekiranya semua ahli yang mendapat dokumen mesyuarat berkenaan membacanya secara teliti dan secara terperinci, kemudian berupaya menjadikannya sebagai asas untuk menghasilkan suatu perbincangan dan keputusan yang jitu dan mantap dalam mesyuarat nanti, maka penyediaan dokumen mesyuarat yang tebal itu tidaklah sia-sia sama sekali. Namun demikian, sekiranya dokumen berkenaan tidak dibaca, tidak diteliti dan tidak diperincikan untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk masa depan PERTIS, yang kemudiannya dokumen berkenaan akan dibakulsampahkan sahaja, maka penyediaan dokumen mesyuarat sedemikian hanya merupakan satu pembaziran semata-mata.

Dengan perasaan sedikit sedih, saya ingin memaklumkan iaitu saya tidak dapat menghadiri mesyuarat agung tahunan PERTIS kali ini atas sebab yang tidak dapat saya elakkan. Ini kali pertama saya gagal menghadiri mesyuarat PERTIS peringkat kebangsaan dalam tempoh 13 tahun. Berdasarkan keputusan yang diguna pakai oleh PERTIS sejak tahun 1998, sesiapa yang tidak hadir dalam mesyuarat agung tahunannya, maka beliau tidak boleh bertanding untuk sebarang jawatan AJK Pusat.

Kepada semua ahli yang akan hadir dalam mesyuarat agung nanti, selamat bermesyuarat saya ucapkan. Pilihlah dalam kalangan anda mereka yang benar-benar layak untuk memimpin PERTIS untuk tempoh 2 tahun yang akan datang. Gunakanlah kesempatan bermesyuarat untuk sama-sama melonjakkan lagi PERTIS sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang akan dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat demi mencapai segala objektif penubuhannya.

No comments: