Semua orang tahu, rasuah adalah antara perbuatan paling keji dalam kalangan manusia. Islam amat melarang keras perbuatan rasuah. Bahkan, dinyatakan orang yang memberi dan menerima rasuah, kedua-duanya akan ke neraka. Demikian mafhum satu hadith.
Perbuatan rasuah mempunyai kesan yang sangat buruk dan besar terhadap keluarga, masyarakat dan juga negara. Sejarah telah mengajar kita bahawa gara-gara perbuatan rasuah, sebuah empayar boleh runtuh dalam sekelip mata. Bukan itu sahaja, gara-gara perbuatan rasuah juga, sebuah negara yang kaya sumber ekonominya tidak akan ke mana dan sebarang kemajuan tidak akan tercapai. Rakyat jelata tetap hidup miskin dan merana angkara rasuah.
Justeru, perbuatan rasuah harus dibanteras dari awal. Walaupun rasuahnya secara kecil-kecilan, ia tidak harus dibenarkan sama sekali. Rasuah adalah candu yang turut boleh mengakibatkan ketagihan kepada sama ada pemberi mahupun kepada penerimanya.
Jika perbuatan rasuah tidak dibanteras sejak dari awal, maka ia bukan sahaja akan merebak ke seluruh pelusuk masyarakat, bahkan yang lebih malang lagi ialah apabila perbuatan keji itu dianggap tidak salah dan menjadi lumrah dan amalan biasa. Bahkan jika ia dibiarkan berleluasa, ada pihak yang berpersepsi kononnya hanya dengan jalan rasuah sahaja hajat dan cita-cita mereka boleh tercapai. Sebagai contoh, hanya dengan jalan memberi rasuah sahaja sesuatu permohonan itu boleh diluluskan.
Di negara kita, badan yang dipertanggungjawabkan untuk mencegah perbuatan rasuah ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebelumnya badan berkenaan dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR). Kalau saya tidak silap, suatu ketika dahulu badan berkenaan juga pernah dikenali sebagai Biro Siasatan Negara (BSN).
Usaha SPRM untuk menbanteras gejala rasuah sehingga ke akar umbinya harus disokong oleh semua pihak. Seluruh rakyat, pemimpin di semua peringkat, orrang-orang politik, agensi penguatkuasaan dan sebagainya, sewajibnya memberikan apa juga bentuk bantuan, sokongan serta kerjasama kepada SPRM dalam usaha badan berkenaan untuk mencegah dan membanteras amalan rasuah di negara kita.
Sejak SPRM diterajui oleh ketua pesuruhjayanya yang baru, Datuk Zulkifli Ahmad, badan berkenaan telah menampakkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk membanteras amalan rasuah hingga ke akar umbi. Penahanan beberapa orang penjawat awam yang bergelar sehari dua ini antara bukti kesungguhan SPRM ke arah itu. Sebagai rakyat marhaen, saya memang gembira dengan usaha sedemikian. Pada masa yang sama, saya tidaklah menafikan usaha selama ini yang telah dilaksanakan oleh SPRM sebelum ini.
Oleh itu, SPRM serta seluruh warga kerjanya mesti konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Perasaan gentar dan takut untuk menjalankan tugas seharusnya tidak ada walau sebesar zarrah sekali pun. Di samping itu, sikap pilih bulu dalam melaksanakan tugas juga harus dibuang jauh-jauh. Sesiapa sahaja yang telah terbukti melakukan amalan rasuah harus diberkas, ditangkap dan seterusnya didakwa supaya hukuman yang setimpal dan adil dapat dijatuhkan ke atas mereka yang terlibat.
Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, SPRM mesti bersikap adil, tegas dan sentiasa komited dalam tugas. Jangan pelaku rasuah yang berstatus ikan bilis sahaja yang dikejar, diberkas dan didakwa. Pelaku dalam kalangan ikan jerung dan ikan paus (jika ada) juga harus diberkas, ditangkap dan didakwa dan hukuman yang setimpal harus dijatuhkan ke atas mereka yang didapati bersalah. Jika ini dapat dilaksanakan dengan telus dan saksama tanpa memilih bulu, barulah negara kita akan aman daripada amalan rasuah suatu hari nanti.
Pihak yang berkuasa juga harus memberikan kerjasama yang telus kepada SPRM. Badan berkenaan harus dibiarkan bebas dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Sikap berkecuali dan tidak memihak badan berkenaan juga tidak seharusnya diganggu-gugat dengan apa jua cara dan kaedah. Penukaran para pegawai dan kakitangan SPRM tanpa sebarang sebab yang munasabah, atau dengan cara yang boleh mendatangkan apa juga keraguan, harus dielakkan.
Orang ramai juga harus memberi peluang kepada SPRM untuk menjalankan tugas mereka dengan selesa dan saksama. Memanglah kita semua amat berharap agar semua yang terlibat dengan amalan rasuah harus diberkas, ditangkap dan didakwa tanpa mengira siapa, sama ada menteri, timbalan menteri (jika ada), ahli-ahli politik yang lain, golongan berprofil tinggi dan sebagainya. Namun demikian, proses untuk mengheret mereka ke muka pengadilan bukanlah satu perkara yang mudah. Segala bukti dan saksi harus dikumpulkan terlebih dahulu. Semua proses dan prosedur harus dikuti dengan teliti agar pendakwaan akan dapat dilaksanakan secara berkesan dan beroleh kejayaan. Justeru, masa dan kesempatan yang secukupnya harus diberikan kepada SPRM supaya mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan jaya.
Kadang-kadang kita ada bukti tetapi kita tidak mahu memberikan bukti yang kita ada kepada SPRM. Kadang-kadang kita rasa bukti sudah ada, tetapi kita tidak faham bukti yang ada itu masih belum cukup kukuh untuk melaksanakan pendakwaan. Oleh itu, seperti yang saya telah nyatakan, masa yang secukupnya harus diberikan kepada SPRM supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan sempurna.
Selain daripada penguat kuasa undang-undang, pendidikan dan kesedaran dari awal harus diketengahkan kepada masyarakat. Pendidikan pencegahan amalan rasuah harus dimulakan sejak di bangku sekolah lagi. Semua media, sama ada arus perdana, media sosial dan sebagainya harus bersepakat dan bekerjasama dalam mengenengahkan keburukan amalan rasuah kepada masyarakat. Jika ini dapat dilakukan secara berterusan, barulah orang ramai dapat membezakan antara rasuah dan hadiah. Barulah juga orang ramai tidak akan memberi hadiah sebagai rasuah.
SPRM juga digesa supaya tidak menjalankan tugas sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Ketegasan dan sikap tidak memilih bulu dalam melaksanakan amanah yang dipikul hendaklah berjalan secara berterusan. Jangan sekali-kali melaksanakan tugas secara bermusim. Ia sama sekali tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada negara. Sekiranya ada bukti, cukup saksi dan segala prosedur untuk mendakwa sudah dipatuhi, maka pihak yang terlibat dengan rasuah harus diheret ke muka pengadilan tanpa berlengah lagi.
Saya aku usaha untuk menbanteras rasuah bukanlah satu perkara yang mudah. Selain itu, usaha untuk mendidik masyarakat agar menjauhi rasuah juga tidaklah semudah seperti yang disangka. Namun demikian, sekiranya ia tidak dimulakan dari sekarang, maka usaha untuk mendidik dan membanteras gejala rasuah akan sentiasa menemui jalan sukar.
Adalah amat menghairankan dan juga memalukan bilamana berdasarkan indeks rasuah antarabangsa, lazimnya negara-negara yang bukan Islam sering menjuarai carta negara yang kurang amalan rasuah. Manakala sebilangan negara Islam pula sering berada di kedudukan kebelakang. Walhal Islam dengan jelas meletakkan rasuah sebagai antara kesalahan besar yang patut dijauhi buat selama-lamanya.
Selamat bertugas kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.
No comments:
Post a Comment