Friday, August 12, 2016

Berkongsi Rasa




Sebenarnya saya berhasrat untuk membuat posting tulisan ini semalam (11 Ogos), tetapi hasrat berkenaan saya pendamkan dahulu bagi menghormati emosi tuan yang empunya kisah. Rasanya hari ni mungkin lebih sesuai untuk tulisan ini dipostingkan buat tatapan kita bersama.





Semalam (11 Ogos), ketika minum di sekolah bersama Ustaz Azam serta Cikgu Fekkeri, saya sempat bertanya dengan Ustaz Azam, adakah individu yang melanggar anaknya itu sudah berjumpa dengan beliau? Dengan rasa sedih Ustaz Azam memberitahu, sehingga sekarang (semalam) individu berkenaan langsung tidak menghubunginya, apatah lagi bertemu muka dengan beliau dan keluarganya. Bukan sahaja saya, bahkan Cikgu Fekkeri juga terkejut.

Peristiwa kemalangan yang mengakibatkan anak kedua Ustaz Azam terkorban berlaku pada 5 Julai, iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut hari raya aidil fitri yang lalu. Ini bermakna, peristiwa tragis berkenaan telah berlaku lebih dari sebulan. Bagi saya, hampir tidak masuk akal setelah sekian waktu individu berkenaan yang telah melanggar anak Ustaz Azam masih tidak berjumpa dengan beliau dan keluarganya. Tanpa saya duga, Ustaz Azam memberitahu saya 11 Ogos (semalam) adalah hari ulang tahun arwah anaknya yang ke-4 tahun. Dengan berterus-terang, Ustaz Azam memberitahu saya, memang emosinya sedikit terganggu ketika itu.

Kata Ustaz Azam lagi, masih terngiang-ngiang di telinganya, anaknya berpesan supaya nanti jangan lupa datang ke rumah barunya. Bukan setakat itu, arwah anaknya turut menelefon datuk sebelah ibunya di Kedah sambil berpesan hal yang sama.

Ibu dan bapa mana yang tidak menitiskan air mata tatkala hari ulang tahun anaknya, dia sudah tiada, hanya wajahnya sahaja yang tidak putus-putus melintas mata, hanya suaranya sahaja yang tidak putus-putus singgah di telinga. Hanya pesanannya sahaja yang tidak putus-putus melintas ingatan.

Ada individu lain yang berteori, kononnya keengganan individu yang telah melanggar anak Ustaz Azam untuk bertemu beliau ialah kerana rasa bersalah yang teramat sangat. Dengan cepat saya menyangkal teori tersebut. Bagi saya, dalam keadaan dan kemungkinan apa sekalipun, individu berkenaan mesti bertemu dengan Ustaz Azam dan keluarga bagi menjernihkan keadaan. Individu berkenaan harus bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku. Sepatutnya semakin diselubungi rasa bersalah, maka lebih cepatlah pertemuan harus diadakan. Barulah akan terungkai segala yang sedang tersimpul dan barulah yang keruh dapat dijernihkan kembali.

Mudah-mudahan Ustaz Azam dan keluarganya sentiasa tabah, sabar dan kuat bertawakal kepada Allah dalam menghadapi situasi getir seperti ini. Bagi yang lain, mudah-mudahan juga kisah ini menjadi teladan dan sempadan untuk kita bersama. Biar apa pun yang telah berlaku, jadilah insan yang sentiasa bertanggungjawab dan sentiasa memikirkan perasaan orang lain. Sikap sombong dan ego tidak akan membawa kita ke mana-mana. Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan mereka yang beroleh petunjuk daripadda Allah.


No comments: