Musim haji kini tiba lagi. Mereka yang berkemampuan, sudah berdaftar dan sudah sampai giliran masing-masing (khusus di tanah air sendiri) kini mula berangkat sekapal demi sekapal ke tanah suci. Memang seronok kalau dapat menunaikan haji terutamanya semasa badan masih muda dan sihat. Apakan daya buat masa ini saya dan keluarga masih belum berkemampuan lagi. Jadi sekadar mendengar sahajalah tentang keberangkatan bakal haji ke tanah suci.
Dalam kalangan kerabat terdekat saya, rasanya tidak ada yang ke tanah suci tahun ini. Namun demikian, dalam kalangan mereka yang saya kenali memang ada yang berpeluang untuk menunaikan haji pada musim kali ini.
Lazimnya, bila tiba musim haji seperti ini, lagu Panggilan Haji nyanyian Hajjah Nurasiah Jamil (almarhumah) sering berkumandang. Setidak-tidaknya ia menghidupkan suasana musim haji di luar tanah suci khasnya di tanah air sendiri. Bahkan seingat saya, lagu inilah yang sering berkumandang sejak dekad 70-an lalu setiap kali tibanya musim haji.
(Untuk mendengar lagu Panggilan Haji oleh Hajjah Nurasiah Jamil, sila klik
di sini
atau
di sini)
Manakala dalam kalangan rakan senasib pula, setakat ini tidak terdengar oleh saya mereka yang berpeluang untuk menunaikan haji kali ini. Mungkin ada, tapi tidak sampai ke pengetahuan saya sahaja. Mungkin maklumat tersebut ada dalam pengetahuan pihak Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Biasanya PERTIS akan menghulurkan sedikit habuan kepada ahlinya yang berpeluang untuk menunaikan haji. Demikianlah yang pernah dilaksanakan dahulu. Mudah-mudahan polisi yang baik itu akan diteruskan.
Mudah-mudahan musim haji kali ini akan berjalan dengan aman dan baik. Tiada sebarang musibah yang tidak diingini berlaku seperti tahun lepas. Semuanya akan selamat dan akan dapat melaksanakan semua rukun dan wajib haji dengan lancar dan sempurna.
Kepada mereka yang berpeluang ke tanah suci kali ini, syukur dan tahniah diucapkan. Marilah kita sama-sama iringi keberangkatan mereka dengan doa semoga semuanya akan beroleh haji yang mabrur, insha-Allah, aamiiiin!
No comments:
Post a Comment