Wednesday, August 3, 2016

Azwan Bro



Menurut sumber berita, pihak polis telah menghentikan siasatan mengenai aduan yang telah dikemukakan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun (Azwan Bro) kononnya 3 tokoh ternama bekas pegawai tertinggi dalam pentadbiran kerajaan telah membocorkan maklumat sulit kepada pihak luar. Menurut berita itu lagi, pihak polis tidak akan meneruskan lagi siasatan mengenai aduan tersebut. Selain itu, ketiga-tiga yang dinamakan dalam laporan polis berkenaan juga tidak akan dipanggil untuk memberikan keterangan. Menurut pihak polis lagi, aduan yang dibuat oleh Azwan Bro hanya berdasarkan andaian semata-mata.

Apa sudah jadi Bro! Nasib baiklah Bro orang UMNO. Kalau Bro bukan orang UMNO sudah lama Bro kena belasah sama ada dalam talian mahupun luar talian. Kalau iya pun nak cari publisiti, biarlah ada harga sikit. Kanak-kanak tadika pun tak akan buat kerja macam ini. Dah tak ada kerja sangat ke Bro?

Implikasi ke atas Khairul Azwan terhadap laporan berdasarkan andaian yang dibuatnya pada 26 Julai lalu memang ada. Kini Azwan Bro terdedah kepada saman malu yang boleh difailkan pada bila-bila masa oleh ketiga-tiga individu yang beliau telah namakan dalam laporan berkenaan. Saya sendiri tidak menjangkakan adakah ketiga-tiga mereka akan mengemukakan saman malu atau sebaliknya. Sekiranya ketiga-tiganya menganggap Azwan Bro sekadar budak hingusan yang belum akil baligh, mungkin mereka tidak akan mengemukakan saman tersebut. Walau bagaimanapun, kemungkinan untuk ketiga-tiganya kemukakan saman malu tidak boleh dinafikan.

Selain itu, perlakuan Azwan Bro ini juga telah memberi imej yang tidak baik kepada UMNO khasnya kepada sayap pemudanya. Para pemimpin UMNO sering melenting bila “difitnah”. Tetapi bagaimana pula bila ada dalam kalangan pemimpinnya sendiri yang memfitnah orang lain? Sebagai helah bela diri, pemimpin UMNO lain akan berkata, laporan berkenaan dibuat atas kapasiti peribadinya dan bukan pendirian parti. Mudahnya!

Sebagai pemimpin nombor dua dalam sayap pemuda, beliau sepatutnya menunjukkan sikap matang yang lebih daripada ahli pemuda yang lain. Kalau hendak buat laporan polis kenalah ada bukti, fakta dan data dan bukannya auta. Pihak polis pun ada banyak kerja lain yang hendak dibuat. Janganlah tambahkan lagi kerja pihak polis dengan laporan semacam ini.

Selain itu, terdapat juga beberapa teori mengenai aduan polis yang telah dibuat oleh Azwan Bro. Seolah-olahnya ada agenda yang tersirat di sebalik aduan berkenaan. Sebab itulah juga pihak-pihak berkenaan tidak mengambil tindakan ke atas Azwan Bro setakat ini.

Buat masa ini saya kurang pasti adakah Azwan Bro akan memohon maaf secara terbuka atau sebaliknya. Namun demikian, sekiranya beliau memohon maaf secara terbuka, ia mungkin membawa makna tindakannya sebelum ini benar-benar bersifat peribadi dan sekadar memandai-mandai sahaja. Sekiranya beliau enggan memohon maaf secara terbuka, maka saya merasakan sesetengah teori yang dikemukakan ada kebenarannya.

Kalau iya pun hendak menunjuk jagoh biarlah kena caranya! Sang jagoh akan bertindak secara matang dan bukannya bermotifkan ampu dan bodek.


No comments: