Wednesday, August 24, 2016

Pengiktirafan Untuk Kompas Kiblat




Sebagaimana kita semua sudah maklum, para penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menghasilkan kompas untuk mencari arah kiblat khusus untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan. Sejak ia diperkenalkan dan diedarkan kepada golongan sasar, ia telah memberi kesan yang cukup positif kepada golongan berkenaan. Kini, masalah untuk mencari arah kiblat yang lebih tepat bagi golongan berkenaan terutamanya bila berada di tempat yang baru semakin berkurangan. Kompas ciptaan dan inovasi tempatan ini semakin diperlukan bilamana seseorang yang cacat penglihatan berada di tempat yang baru dan berseorangan pula. Terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy serta ahli kumpulan penyelidiknya.




Baru-baru ini, kompas berkenaan telah mendapat pengiktirafan pula daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui suratnya kepada pihak yang berkenaan di FKM UTM bertarikh 15 Ogos 2016. Ini bermakna, kompas kiblat yang dihasilkan telah diiktiraf oleh pihak berkuasa agama di peringkat Persekutuan iaitu JAKIM. Tahniah diucapkan kepada Dr. Zarhamdy serta FKM dan UTM.




Walau bagaimanapun, menurut kandungan surat berkenaan, pengiktirafan yang diberi terikat pula dengan 2 syarat, khususnya untuk para penggunanya, iaitu kompas berkenaan hanya untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan sahaja. Selain itu, sekiranya terdapat perbezaan arah kiblat antara kompas berkenaan dengan arah kiblat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di negeri, jabatan ukur atau jabatan mufti, maka arah kiblat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri, jabatan ukur atau jabatan mufti hendaklah diguna pakai. Ini bermakna kompas kiblat yang dihasilkan sama sekali tidak boleh digunakan untuk menyemak arah kiblat yang telah ditentukan oleh jabatan mufti atau jabatan ukur dan pemetaan.

Oleh yang demikian, selaku pengguna, kita sememangnya sangat bersyukur dengan inovasi yang berjaya dihasilkan. Pada masa yang sama, kita juga harus akur dengan ketetapan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa seperti JAKIM. Bila kita ke masjid, surau atau mana-mana tempat yang telah ada arah kiblat yang telah disahkan oleh pihak berkuasa agama, pejabat mufti atau jabatan ukur dan pemetaan dan jika ia tidak sama dengan arah kiblat yang ditunjukkan oleh kompas kiblat, maka arah kiblat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa hendaklah diguna pakai.

Untuk maklumat bersama, pihak FKM UTM sedang menghasilkan satu lagi inovasi untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan. Mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan usaha mereka dan inovasi terkini akan dapat dihasilkan dalam masa terdekat untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar.

(Untuk menonton pengedaran kompas kiblat kepada murid-murid cacat penglihatan di Kuala Terengganu, sila klik
di sini )


No comments: