Thursday, August 4, 2016

Celoteh Malam




Tak berapa lama dahulu, ada seorang bekas timbalan menteri dengan lantang pernah mendakwa bahawa harga barang akan turun kerana GST. Masa dia bercakap demikian, dia mungkin tak pernah fikir bahawa kenyataannya itu akan menjadi bahan rujukan pada masa akan datang. Selain itu, apa yang dia pernah kata adakalanya jadi bahan sendaan orang ramai. Ada juga yang menjadikannya bahan lawak, tonton dan dengar ketika stress melanda.

Kenyataan 1
Kenyataan 2
Reaksi terhadap kenaikan harga

Kini sudah lebih dari setahun pelaksanaan GST. Apa yang pernah diucapkan suatu ketika dahulu oleh bekas timbalan menteri yang berkaitan bukan sahaja jauh panggang dari api daripada menjadi kenyataan, bahkan secara keseluruhannya harga pelbagai barangan kian meningkat. Selaku pengguna bukan golongan atasan, saya sendiri amat terasa dengan kenaikan pelbagai kos seharian. Saya cukup yakin, hal yang sama juga turut dirasai dan dikongsi sama oleh sekalian rakyat jelata di bumi bertuah ini.

Nampaknya dari dahulu hingga sekarang, agaknya kepandaian bekas timbalan menteri berkenaan ialah sekadar pandai bercakap. Sebab itulah dia pernah menang bahas masa dia di sekolah menengah. Agaknya kalau CGPA-nya 3.86, mungkin dia lebih cerdik daripada sekarang. Apa hendak dikatakan, CGPA-nya setakat 3.85 sahaja. Bukan tak pandai, tapi belum cukup pandai. Dia sendiri pun sudah tak kisah lagi bila kena bantai sebab sudah selalu kena bantai.

Masa harga minyak turun, harga barangan tetap tidak turun juga. Bila harga minyak naik, secepat kilat pula harga barangan naik. Demikianlah gelagat peniaga di negara kita. Kerajaan sendiri tidak mampu untuk mengawal harga barangan kerana ia amat ditentukan oleh kuasa pasaran. Pelaksanaan GST sebenarnya semakin menyukarkan untuk pihak yang berkuasa mengawal kuasa pasaran. Para peniaga mempunyai pelbagai kaedah untuk menaikkan harga barangan. Kalau pun harganya tidak dinaikkan, mereka akan kurangkan kuantiti dan saiz barangan yang dijual. Contoh yang paling ketara ialah harga pelbagai jenis makanan. Harganya mungkin sama tetapi kuantitinya telah dikurangkan. Demikianlah.

Natijahnya, cakap sebilangan orang politik hanya di tahap masuk telinga kanan keluar di telinga kiri sahaja. Sepuluh yang mereka cakap, satu pun belum pasti boleh dipercayai. Inilah yang dikatakan orang, cakap tak serupa bikin.

Saya pun tahu, apa yang saya tulis tak ubah bagai kalbun menyalak bukit semata-mata.


No comments: