Thursday, November 25, 2010

Dewasa, Latah Dan Lucah

Pagi tadi, saya telah bertugas di sekolah bersempena dengan musim peperiksaan sekarang. Setelah murid-murid saya masuk ke dewan peperiksaan untuk menjawab kertas 1 mata pelajaran Sejarah, saya telah keluar kegerai makan berhampiran untuk bersarapan bersama-sama isteri saya. Lama juga saya tidak makan di gerai berhampiran JPJ ini.

Sewaktu saya dan isteri sedang menanti makanan yang dipesan, tiba-tiba telinga saya tertangkap sepatah perkataan lucah yang terkeluar dari mulut seorang dewasa. Saya berharap sangat agar perkataan yang tak senonoh itu tidak didengari oleh isteri saya. Malangnya harapan saya tidak kesampaian. Daripada reaksinya saya maklum telinga isteri saya juga turut tertangkap perkataan yang serupa daripada orang yang sama. Nasib baiklah Luqman tidak ada bersama. Kalau tidak, banyaklah soalannya yang perlu kami berdua jawab.

Orang yang mengungkapkan perkataan lucah tersebut ialah seorang wanita dan perkataan yang disebutnya ialah barang yang menjadi milik paling peribadi untuknya. Mungkin kerana dia beranggapan perempuan lain pun punya barang paling peribadi seperti dia, maka itu baginya tidak merasa segan bila mengungkapkan perkataan tersebut di khalayak orang.

Walaupun perkataan tersebut diucapkan Cuma sepatah, tapi ia diucapkan dengan kuat dan di tempat awam pula. Agaknya bukan telinga kami berdua sahaja yang tertangkap perkataan yang tidak sepatutnya itu. Saya agak yakin banyak lagi pasangan telinga orang lain yang berada di sekitar gerai tersebut turut tertangkap ungkapan perkataan yang tak sepatutnya itu.

Yang si pelucah pun satu hal juga. Kalau nak melucah pun pandanglah dulu kiri dan kanan. Nama saja ada penglihatan tapi tidak digunakan dengan betul. Saya tak fikir dia nak cari perhatian dengan cara macam ini. Mungkin akhlaknya memang sudah begitu sejak sekian lama.

Ada sesetengah orang, melucah di khalayak ramai semacam sudah jadi satu hobi dan keseronokan. Mereka merasa bangga yang amat tinggi bila dapat melepaskan walaupun cuma satu kalimat lucah dalam khalayak ramai. Kebanggaannya akan meningkat bila perbuatan yang tak senonoh itu dapat galakan pula dari rakan-rakan yang seakhlak dengannya. Golongan seumpama ini seakan sudah lupa dan tak peduli lagi pada adab, adat dan sopan-santun. Sedangkan bagi mereka yang rasional, matang dan waras memandang perlakuan ini dengan penuh kejijikan dan kebencian.

Sebenarnya fenomena seperti ini agak kerap berlaku di tempat awam dan terbuka. Bila ia berlaku, tiada siapa pun yang berani tampil untuk menasihati si pelucah tadi. Bagi saya pula, kalau yang melakukannya rakan-rakan sendiri, maka saya akan mengingatkan rakan berkenaan supaya tidak mengulangi lagi kelakuan yang tak senonoh itu, sambil itu mengingatkan juga pada diri sendiri agar tidak melakukan hal yang sama. Tapi kalau si pelucah itu orang yang tidak saya kenali, maka saya akan diamkan sahaja. Simpan benci dalam hati sahaja.

Agaknya inilah yang disabdakan oleh Rasulullah, “.... jika kamu tidak mampu untuk mencegahnya dengan lidah kamu, maka cegahlah dengan hati kamu, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman”.

Sesungguhnya malu itu adalah cabang-cabang iman. Ada juga yang berkata, malu itu adalah perisai iman. Kalau sudah tak punya malu, maknanya bukan sahaja iman yang sudah tak ada, cabang dan perisainya pun turut hilang sama.

Persoalannya ialah, mengapa gejala seperti ini kian menular dan meliar dalam masyarakat kita? Bagi saya, antara sebabnya ialah sebilangan kita sudah hilang sifat malu sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Sebab itu, si pelucah tadi bukan sahaja tidak malu pada dirinya sendiri, tetapi rasa malunya terhadap orang di sekelilingnya juga sudah tiada. Orang di kelilingnya juga sudah hilang rasa malu sehingga tiada siapa pun yang berani tampil untuk menasihati si pelucah tadi.

Di samping itu, terdapat juga sebilangan ibu bapa yang akan menggunakan perkataan carut dan lucah ketika memarahi anak-anak mereka. Kesan jangka panjangnya ialah generasi anak-anak tadi merasakan bukanlah sesuatu yang salah bilamana perkataan carut dan lucah digunakan di tengah orang ramai. Sebaliknya, bila mereka ditegur, maka orang yang menegur tadi pula akan dianggap salah, ketinggalan zaman dan sebagainya.

Oleh kerana fenomena sebegini semakin kerap berlaku dan yang terlibat pula tidak lagi mengira peringkat usia, maka sesetengah orang menganggap perkara seperti ini sudah biasa dan tidak perlu ditegah lagi. Jika demikian, tidak hairanlah jika fenomena sebegini juga semakin menular dan meliar kepada golongan pelajar sekolah. Ini yang dikatakan, kalau bapak borek maka anaknya rintik, kalau orang dewasa semakin biasa sebagai si pelucah, maka golongan anak-anak sekolah pun kian menjadi-jadilah.

Oleh kerana yang biasa itu dianggap betul, maka perbetulkanlah yang biasa itu.

No comments: