Monday, November 8, 2010

Kemenangan BN Di DUN Galas: Sekadar Ulasan Dari Jauh

Pada 4 November (Khamis) lalu, dua pilihanraya kecil telah diadakan secara serentak, iaitu pilihanraya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan, dan juga pilihanraya kecil bagi kerusi parlimen Batu Sapi, Sabah. Kedua-dua kerusi tersebut telah kosong kerana penyandangnya telah meninggal dunia. Kedua-dua pilihanraya kecil tersebut telah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), dan kedua-duanya telah dimenangi dengan jumlah majoriti yang besar.

Dalam tulisan saya kali ini, saya akan memberi tumpuan kepada keputusan pilihanraya kecil di DUN Galas. Bagi saya, sejak awal-awal lagi, saya telah menjangkakan kerusi parlimen Batu Sapi tetap menjadi milik BN. Hanya jumlah majoritinya sahaja yang masih menjadi tanda tanya.

Saya memberi tumpuan kepada keputusan pilihanraya kecil di DUN Galas atas beberapa sebab. Penyandang kerusi DUN Galas sebelum ini ialah (Allahyarham) Che Hashim Sulaima dari PAS. Beliau telah memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2008 dengan majoriti 646 undi, iaitu kurang dari seribu undi. Sebelumnya, kerusi DUN Galas merupakan antara kubu kuat BN di Kelantan. Penyandang kerusi berkenaan sebelum Che Hashim ialah Saufi Deraman yang telah memenangi kerusi berkenaan sejak tahun 1999 lagi. Bagi saya, kemenangan wakil PAS di kerusi berkenaan dalam pilihanraya umum 2008 lebih merupakan akibat tempias tsunami politik yang melanda politik tanah air dalam pilihanraya umum tahun 2008. Oleh itu, apabila pilihanraya kecil di DUN Galas diadakan, ia sebenarnya merupakan satu kesempatan bagi BN untuk membuktikan bahawa Galas adalah kubu tradisinya yang wajib dirampas semula daripada PAS. Maka itulah juga apabila ada dalam kalangan pemimpin PAS yang menggesa supaya UMNO/BN agar tidak meletakkan calonnya di Galas untuk memberi laluan kepada PAS mengekalkan kerusi berkenaan untuk terus menjadi miliknya sehingga ke pilihanraya umum berikutnya telah ditolak mentah-mentah oleh BN. Berdasarkan keputusan pilihanraya kecil DUN Galas kemudiannya, apa yang telah diputuskan oleh BN itu ternyata wajar dan tepat.

Dalam pilihanraya kecil DUN Galas baru-baru ini, Abdul Aziz Yusuf yang mewakili BN telah menang selesa dengan memperolehi 5324 undi. Manakala Dr. Zulkifli Muhammad yang mewakili PAS pula telah memperolehi sebanyak 4134 undi. Majoriti yang diperolehi oleh Abdul Aziz ialah sebanyak 1190 undi. Peratus pengundi yang keluar mengundi pula ialah sekitar 83%. Jumlah majoriti yang diperolehi oleh Abdul Aziz melebihi dua kali ganda daripada majoriti yang perneh diperolehi oleh (Allahyarham) Che Hashim Sulaima dalam pilihanraya umum tahun 2008.



Bagi saya, kemenangan BN dalam pilihanraya kecil DUN Galas boleh ditafsirkan dari beberapa sudut. Sejak awal-awal lagi, pimpinan tertinggi UMNO telah meletakkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihanraya kecil DUN Galas. Pelantikan ini bukannya untuk mengenepikan peranan dan kedudukan Datuk Seri Mustapha Muhammad selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Sebaliknya ia merupakan strategi bijak pemimpin tertinggi UMNO untuk memperoleh kemenangan di Galas. Sebenarnya corak percaturan politik yang dilaksanakan oleh pimpinan tertinggi UMNO bukanlah sesuatu yang asing. Bagi mereka, “siapa” tidak penting. Sebaliknya yang lebih aula dan utama ialah “menang”. Oleh kerana pada percaturan politik pimpinan tertinggi UMNO Tengku Razaleigh adalah tokoh yang diyakini boleh membawa kemenangan kepada UMNO dalam pilihanraya kecil di DUN Galas, maka Tengku Razaleigh telah dipilih selaku pengarah dalam pilihanraya kecil Galas. Walaupun sebelum ini Tengku Razaleigh pernah tidak sehaluan dengan pimpinan tertinggi UMNO yang sekaligus menyokong kerajaan PAS Kelantan mengenai tuntutan royalti minyak, tetapi bilamana “menang” menjadi keutamaan, maka tindakan Tengku Razaleigh sebelum ini seolah-olah sudah terampun. Kemenangan BN dalam pilihanraya kecil DUN Galas memungkinkan “dosa” Tengku Razaleigh sebelum ini bukan sahaja sudah terampun, bahkan akan terus terhapus. Oleh itu, dalam konteks Galas khususnya, keunggulan pengaruh Tengku Razaleigh sebagai king maker memang tidak tersangkal lagi.

Sewaktu penamaan calon, sebilangan penganalisis meramalkan bahawa dari sudut moral, PAS telah mencapai kemenangan. Analisis ini berdasarkan bilangan pengiring calon PAS dikatakan hampir dua kali ganda ramainya daripada bilangan penyokong dan pengiring calon BN. Bahkan ada yang menganggarkan jumlah penyokong BN sekitar 3500 orang, manakala jumlah penyokong PAS pula adalah sekitar hampir 7000 orang. Saya tidaklah mengatakan bahawa penganalisis berkenaan telah membuat kekhilafan. Mereka hanya penganalisis dan bukannya nujum Pak Belalang. Walau bagaimanapun, jika ada dalam kalangan pemimpin, pendokong atau penyokong PAS yang merasakan bahawa mereka sudah memperoleh kemenangan awal, maka ia merupakan satu kekhilafan besar. Secara psykologinya, bila kita mulai rasa menang, maka secara perlahan semangat untuk berjuang akan luntur sedikit demi sedikit. Apa yang sepatutnya kukuh dan utuh dalam jiwa pemimpin, penyokong atau pendokong PAS ialah, jangan sekali-kali merasa menang sebelum diisytiharkan menang secara rasmi.



Apabila keputusan rasmi diisytiharkan di mana kemenangan selesa berpihak kepada BN, ramai juga penyokong dan pendokkong PAS yang merasa begitu kecewa. Bagi saya, hal sebegini tidak sepatutnya berlaku. Kemenangan BN di Galas langsung tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS. PAS masih mempunyai 37 kerusi lagi dicampur dengan 1 kerusi milik PKR. Sedangkan UMNO/BN hanya mempunyai 7 kerusi sahaja termasuk kerusi DUN Galas yang baru mereka ambil semula.



Sebenarnya kerajaan PAS Kelantan pernah berada dalam situasi genting bilamana dalam pilihanraya umum 2004 ia hanya mampu memperolehi 24 kerusi di DUN Kelantan, berbanding dengan UMNO yang berjaya memperolehi 21 kerusi. Keadaan semakin genting apabila dalam pilihanraya kecil DUN Pangkalan Pasir pada tahun 2005, PAS telah kehilangan kerusi di DUN tersebut. Ini menyebabkan kedudukan kerusi di DUN Kelantan ketika itu PAS mempunyai 23 kerusi manakala UMNO memperolehi 22 kerusi. UMNO hanya memerlukan 1 kerusi sahaja lagi untuk menumbangkan kerajaan PAS Kelantan. Namun demikian, Allah tidak mengizinkan ia berlaku. Walaupun dengan kelebihan hanya 1 kerusi, kerajaan PAS Kelantan terus mampu bertahan sehinggalah ke pilihanraya umum 2008. Kekalahan PAS di DUN Galas sama sekali tidak meletakkan kerajaan PAS Kelantan berada pada kedudukan yang sangat genting seperti sebelumnya.

Walau bagaimanapun, sekiranya sesuatu tidak segera dilakukan, maka tidak menghairankan jika ditakdirkan berlaku pilihanraya kecil sekali lagi di Kelantan PAS akan kehilangan kerusi untuk kali yang seterusnya. Bagi saya, generasi pengundi millennium ketiga telah menunjukkan perubahan tertentu. Mereka lebih bersifat rasional daripada bersikap tegar. Kalau UMNO/BN boleh mereka hukum, inikan pula parti siasah seperti PAS.

Apa yang pernah berlaku di kerusi DUN Pangkalan Pasir juga boleh dijadikan teladan. Dalam pilihanraya umum tahun 2004, kerusi DUN Pangkalan Pasir telah dimenangi oleh (Allahyarham) Abdul Aziz Jaafar dari PAS. Walau bagaimanapun, dalam pilihanraya kecil tahun 2005, kerusi tersebut telah dimenangi pula oleh Hanafi Mamat, calon dari UMNO. Dalam pilihanraya umum 2008 pula, Hanafi Mamat gagal mempertahankan kerusi berkenaan apabila ia telah dirampas kembali oleh PAS. Hal yang serupa juga boleh berlaku pada kerusi DUN Galas. Walaupun Galas dikatakan kubu totok UMNO, tetapi perubahan tren generasi pengundi millennium ketiga ini tidak memungkinkan sesebuah kerusi sama ada DUN mahupun parlimen menjadi milik totok mana-mana kumpulan siasah untuk selama-lamanya. Jika PAS Kelantan berjaya melaksanakan apa jua bentuk perubahan yang perlu, maka bukanlah sesuatu yang mustahil untuknya merampas kembali Galas dari tangan UMNO.



Sepatutnya kemenangan tipis PAS dalam pilihanraya kecil di DUN Manek Urai setahun lalu menjadi titik tolak kepada PAS Kelantan untuk bermuhasabah dan seterusnya melakukan apa jua bentuk perubahan yang perlu agar ia terus relevan dengan tren serta kehendak pengundi masa kini. Mungkin kerana apa yang sepatutnya dilakukan selepas pilihanraya kecil DUN Manek Urai tidak dilaksanakan dengan sempurna, maka PAS telah dihukum dengan mengalami kekalahan dalam pilihanraya kecil di DUN Galas.

Dalam konteks UMNO/BN pula, nampaknya ada perubahan positif yang telah mereka lakukan khususnya setelah mereka menang di kerusi DUN Galas. Tidak seperti sebelumnya, kemenangan di Galas tidak lagi dikupas dan diulas oleh UMNO/BN melalui media yang menjadi penyokong dan pendokong mereka secara panjang dan lebar selama melebihi berhari-hari dan bermalam-malam. Ada juga pemimpin tertinggi UMNO yang menggesa ahli parti supaya jangan merasa selesa dengan kemenangan di Galas. Baguslah kalau sudah berubah begitu. Nampaknya orang UMNO juga mungkin sudah merasai betapa pentingnya bersikap “meraikan kemenangan jangan sampai melukakan hati lawan”. Manalah tahu esok lusa lawan akan menjadi kawan pula. Bukankah corak politik seringnya begitu.

Bagi UMNO/BN, setidak-tidaknya kemenangan di DUN Galas dapat mengubat luka di kerusi parlimen Kuala Terengganu. Dalam pilihanraya kecil kerusi parlimen Kuala Terengganu pada bulan Januari 2009, PAS telah berjaya merampas kerusi berkenaan yang sebelumnya telah dimenangi oleh wakil UMNO/BN dalam pilihanraya umum 2008. Selepas pertembungan di Parlimen Kuala Terengganu, UMNO dan PAS telah bertembung sebanyak 4 kali sebelum pertembungan terakhir mereka di DUN Galas. Keempat-empat pertembungan berkenaan iaitu di Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Permatang Pasir (Pulau Pinang), DUN Bagan Pinang (Negeri Sembilan) dan DUN Manek Urai (Kelantan), keputusan keempat-empat pertembungan berkenaan hanya sekadar mengekalkan statusquo parti siasah yang telah menguasai keempat-empat kerusi berkenaan menerusi pilihanraya umum 2008. Apabila UMNO berjaya merampas kerusi DUN Galas daripada PAS, maka sedikit sebanyak ia telah membalut luka politik UMNO dalam pilihanraya kecil di Kuala Terengganu lebih setahun yang lalu.

Kemenangan UMNO/BN di Galas juga disokong oleh strategi berkempen mereka yang lebih berkesan. UMNO/BN amat menyedari bahawa pengundi minoriti seperti orang asli dan Cina merupakan pengundi penentu yang sangat penting. Justeru, mereka telah memberikan tumpuan khas kepada golongan pengundi berkenaan. Kesannya, perubahan sokongan para pengundi minoriti daripada PAS kepada UMNO/BN terutamanya di saat-saat akhir telah menyumbang kepada kemenangan selesa calon UMNO/BN.

Saya kurang bersetuju dengan kenyataan pemimpin tinggi UMNO/BN bahawa kemenangan UMNO/BN di Galas membuktikan rakyat kini semakin sedar mengenai perjuangan UMNO/BN. Pendapat tersebut telah dikemukakan oleh orang politik atas motif politik semata-mata. Apa yang seharusnya berlaku ialah kumpulan-kumpulan siasah sepatutnya peka dengan perubahan cara berfikir generasi pengundi millennium ketiga. Seperti yang telah saya nyatakan, mereka kini semakin kurang bersikap “menyokong secara tegar” dengan mana-mana kumpulan siasah. Sebaliknya mereka semakin rasional ketika membuat pilihan. Pertimbangan mereka tidak hanya terarah kepada parti siasah yang diwakili semata-mata, sebaliknya jenis calon yang diturunkan untuk mewakili mana-mana parti siasah turut menjadi perkiraan. Ia sekaligus merupakan petanda bahawa calon/wakil daripada spesies tunggul dan hanya bersikap pak angguk semakin tidak mendapat tempat.

Sesungguhnya keputusan pilihanraya kecil DUN Galas mempunyai petunjuk-petunjuk tertentu yang harus diberikan perhatian sama ada oleh UMNO/BN mahupun PAS. Sekiranya petunjuk yang terserlah gagal difahami, maka ia akan mengakibatkan pihak yang gagal memahaminya bakal kecundang sekali lagi.

Saya bukan pendokong tegar mana-mana kumpulan siasah, saya Cuma memerhati dari jauh sahaja.

No comments: