Monday, November 29, 2010

FQS USIM: Harapan Untuk Kita

Sudah beberapa kali saya menulis melalui blog ini mengenai Fakulti Quran Sunnah (FQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Apa yang istimewanya di FQS ini ialah, di sinilah bermulanya kaedah tulisan Alquran Braille dikuliahkan kepada para mahasiswa yang terlibat di peringkat pengajian tinggi di negara kita. Dengan kata lain, USIM menerusi FQS telah muncul institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di negara kita yang telah memperkenalkan kursus berkaitan kaedah penulisan Alquran Braille. Sesi akademik 2010-2011 merupakan musim ketiga kelangsungan kursus berkenaan di FQS, USIM.



Sebelah pagi tadi, saya telah menghadiri satu perbincangan dengan tiga orang pensyarah dari FQS, USIM di universiti berkenaan. Ketiga-tiga pensyarah yang dimaksudkan ialah Ustaz Hairi (Ketua Program), Ustaz Mahyudin dan Ustazah Najihan. Turut hadir ialah 2 orang pelajar tahun akhir. Perbincangan telah berlangsung sekitar 2 jam setengah. Intipati perbincangan terarah kepada sumbangan sosial yang boleh dilakukan oleh FQS USIM khususnya kepada golongan cacat penglihatan terutamanya yang melibatkan Alquran Braille serta tulisan Jawi Braille.

Apa yang menarik perhatian saya ialah, pihak FQS USIM tidak hanya sekadar mengkuliahkan kaedah penulisan Alquran Braille dalam bilik kuliah semata-mata. Sebenarnya mereka mempunyai hasrat, cita-cita dan rancangan yang lebih jauh daripada itu. Setelah tiga musim berlalu, para pelajarnya yang terlibat bukan sahaja telah mendapat pendedahan mengenai kaedah tulisan Alquran Braille di dewan kuliah, bahkan lebih jauh dari itu, para pelajarnya dengan bimbingan para pensyarah yang berdedikasi telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku/kitab ke dalam bentuk tulisan Jawi Braille. Antara kitab-kitab yang telah siap terhasil termasuklah kitab Iqra’, buku teks Pendidikan Islam Tahun 6, Ratib Hadat, buku berkaitan haji dan umrah dan sebagainya. Saya sendiri pernah menyemak beberapa kitab yang telah dihasilkan dan saya dapati hasil kerja para pelajar berkenaan rata-ratanya memang memuaskan.



Pada masa ini, pihak FQS USIM telah mula mengadakan apa yang saya istilahkan sebagai pakatan strategik dengan beberapa institusi yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan. Menerusi pakatan ini, pihak FQS USIM akan membantu untuk menghasilkan bahan bacaan bentuk Jawi Braille berdasarkan keperluan dan permintaan daripada institusi berkaitan. Dengan cara ini, ia bukan sahaja akan dapat memantapkkan lagi pengetahuan dan kemahiran kaedah tulisan Jawi Braille dalam kalangan mahasiswanya, bahkan ia juga akan dapat membantu menambah lagi bahan bacaan berbentuk Jawi Braille kepada institusi yang terlibat. Memang selama ini pun, kekurangan bahan bacaan dalam tulisan Jawi Braille merupakan antara cabaran utama kepada golongan cacat penglihatan tanpa mengira usia dan profesion.

Di samping itu, setahu saya, pihak FQS USIM juga berhasrat untuk menjadi pusat pembangunan dan penyelidikan dalam bidang yang berkaitan dengan Alquran Braille. Pihak yang berkaitan sedang berusaha keras untuk meningkatkan kemahiran Braille di peringkat fakulti. Usaha sebegini akan diteruskan sehinggalah suatu hari nanti pihak FQS USIM berkemampuan untuk menerima calon-calon untuk program ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam bidang yang berkaitan dengan Alquran Braille dan Jawi Braille. Mudah-mudahan hasrat, cita-cita serta rancangan murni mereka akan dikabulkan Allah suatu hari nanti, insha-Allah.



Setelah selesai perbincangan, saya berkesempatan untuk melawat ke makmal Braille di fakulti berkenaan. Pada tahun 2008, fakulti ini hanya mempunyai 5 buah mesin taip Braille sahaja. Kini fakulti ini sudah mempunyai 15 buah mesin taip Braille. Kesemua mesin ini ditempatkan di makmal Braille ini. Di sini juga berlangsungnya kelas tutorial untuk kursus ini. Selain itu, di makmal ini juga terpampang maklumat mengenai tulisan Alquran Braille. Seperkara yang ingin saya ulangi untuk ke sekian kalinya ialah, kesemua mahasiswa yang mengikuti program berkaitan kaedah penulisan Alquran Braille di FQS USIM adalah mereka yang berpenglihatan.



Sesungguhnya kewujudan makmal Braille di fakulti ini membuktikan betapa seriusnya pihak FQS USIM untuk memartabatkan sistem tulisan Alquran Braille dan Jawi Braille untuk manfaat golongan cacat penglihatan seperti saya. Rata-rata mereka yang terlibat dengan program berkaitan dengan Braille di fakulti ini tidak pernah mendapat pendedahan mengenai dunia golongan cacat penglihatan, sama ada para pensyarahnya mahupun para mahasiswanya. Tetapi iltizam mereka untuk memartabatkan tulisan Alquran Braille kadang-kadang di luar kepercayaan.



Setakat yang saya maklum, usaha FQS USIM untuk memartabatkan Alquran Braille di peringkat universiti tidak bersendirian. Usaha mereka turut mendapat sokkongan dan dokongan daripada pihak tertinggi USIM termasuklah naib canselornya.

Setakat ini, pihak FQS USIM telah pun memulakan kursus berkaitan kaedah penulisan Alquran Braille. Manakala Darul quran yang terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah beberapa tahun membuka pintunya kepada golongan cacat penglihatan yang berkelayakan untuk mengikuti program diploma di bawah kelolaannya. Satu kelompangan yang semakin terserlah ialah sekolah-sekolah agama di peringkat menengah atau rendah masih belum lagi membuka pintunya kepada murid-murid cacat penglihatan yang berkelayakan untuk belajar di sekolah-sekolah yang berkaitan. Bagi saya, bilamana pihak FQS USIM dan Darul Quran sudah mula menghasilkan mereka yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam sistem tulisan Alquran Braille dan Jawi Braille, maka pengetahuan dan kemahiran yang ada kepada para lulusan FQS USIM dan Darul Quran boleh digunakan untuk memulakan program pendidikan khas dalam bidang keagamaan untuk murid-murid cacat penglihatan di peringkat rendah dan menengah. Dengan adanya program bersepadu dan terancang seperti ini, maka bidang yang boleh diceburi oleh golongan cacat penglihatan akan bertambah. Dengan itu, barulah masa depan untuk golongan cacat penglihatan pada masa hadapan akan lebih cerah lagi. Walaupun jauh beribu-ribu batu, jika kita memulakan langkah yang pertama, insha-Allah suatu hari nanti kita pasti akan tiba juga di penghujungnya.

Saya sering dalam kehairanan, mengapa masih kedapatan spesies yang sudah begitu lama di institusi pendidikan khas cacat penglihatan tapi masih tak mampu menguasai sistem tulisan Braille!!!

1 comment:

AzizMostafa said...

Bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.