Alhamdulillah, sekitar jam 12.30 tengah malam sebentar tadi, saya sekeluarga selamat check in di sebuah hotel di JB. Sudah tentulah tujuan utama saya ke sini kali ini adalah untuk menghadiri mesyuarat dwitahunan SBM kali ke-9. Sebenarnya, saya sekeluarga telah bertolak dari KL agak lewat, iaitu sekitar jam 5.36 petang. Kesesakan jalan yang agak teruk menyebabkan kami hanya dapat melepasi tol Sungai Besi sekitar jam 7.00 malam. Di sepanjang perjalanan, kami hanya berhenti sebanyak dua kali, iaitu di R&R Pedas Linggi untuk solat maghrib dan isya secara jamak dan kasar, dan juga di R&R Pagoh untuk mengisi perut.
Di sepanjang perjalanan tadi, selain bertujuan untuk menghadiri mesyuarat berkenaan, saya turut menghitung dan membuat rancangan bagi mengisi masa yang ada di JB. Salah seorang yang bakal saya kunjungi nanti, insha-Allah, ialah seorang guru yang pernah mengajar saya khususnya semasa saya bersekolah agama. Seingat saya, sudah hampir 32 tahun saya tidak bertemu dengan guru yang seorang ini. Dalam perjalanan tadi, saya telah menghantar SMS kepada guru berkenaan dan ia telah dibalas dengan panggilan telefon daripada beliau. Bila saya perkenalkan diri, beliau terus mengingati perwatakan saya sewaktu di sekolah rendah. Bagi saya, suaranya sedikit berubah, mungkin dimakan usia agaknya, tetapi kemesraannya tetap seperti dahulu juga. Insha-Allah, sebelah petang nanti, saya akan mengunjungi rumahnya di Majidi. Di samping itu, jika ada kesempatan, insha-Allah, saya akan cuba menziarahi beberapa orang guru lain yang masih menetap di JB.
Kali terakhir saya menghadiri mesyuarat dwitahunan SBM ialah sewaktu mesyuaratnya yang ke-3 yang telah diadakan di Terengganu iaitu pada tahun 2000. Sejak itu, saya telah menyepikan diri daripada menghadiri mesyuarat SBM, sama ada di peringkat cawangan (KL/Selangor) mahupun di peringkat kebangsaan. Sepertimana yang saya pernah nyatakan, Saudara Musa Sabri merupakan satu-satunya insan yang benar-benar tahu mengapa saya telah menyepikan diri daripada menghadiri mesyuarat berkenaan.
Sewaktu mesyuarat dwitahunan di Terengganu, isu paling hangat ketika itu ialah usul SBM untuk membeli 2 unit bangunan iaitu nombor 132 dan 134, Jalan Gombak, Kuala Lumpur. Usul berkenaan telah menimbulkan perdebatan yang hebat pada sebelah malam. Akhirnya usul berkenaan telah diluluskan dengan 176 undi menyokong dan 101 undi menentang, termasuklah undi saya.
Pada 18 Disember 2011 lalu, sekali lagi SBM telah mengajukan usul dalam mesyuarat agung khasnya dan kali ini usul yang dikemukakan adalah untuk menjual semula kedua-dua unit bangunan tersebut. Usul berkenaan juga telah menimbulkan perdebatan yang agak hebat, tetapi bagi saya ia tidaklah sehebat perdebatan sewaktu usul pembeliannya 11 tahun sebelumnya. Setelah undian dijalankan, maka seramai 36 undi menyokong usul untuk menjual kedua-dua unit bangunan berkenaan dan 18 undi menentang. Bagi saya, kelulusan usul untuk menjual kedua-dua unit bangunan berkenaan pada tahun lalu merupakan suatu kebenaran yang telah dimanifestasikan oleh 101 undi yang telah menentang usul pembelian bangunan tersebut 11 tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan usul berkenaan masih tersekat gara-gara kecuaian pihak-pihak tertentu. Sesetengah pihak mungkin menganggapnya sekadar masalah teknikal. Kalau ia hanya sekadar masalah dari segi teknikal, mengapa sampai 11 tahun? Kalaulah tidak kerana usul penjualan semula kedua-dua unit bangunan berkenaan telah diluluskan tahun lalu, rasanya sampai kini pun tak siapa yang sedar bahawa nama pemilik kepada bangunan berkenaan masih tidak ditukar lagi kepada nama SBM. Demikianlah.
Salah satu agenda penting dalam mesyuarat dwitahunan kali ini ialah pemilihan barisan tertinggi SBM untuk tempoh dua tahun berikutnya. Khabarnya hampir kesemua posisi akan ada pertandingan. Itu khabar sahaja. Namun begitu, kita harus tunggu sehingga pencalonan ditutup dan nama-nama calon yang akan bertanding diumumkan secara rasminya.
Setakat ini, desas-desus kuat mengkhabarkan bahawa posisi presiden akan ada pertandingan. Ini bermakna kedudukan Tuan Haji Mohd Nazari Osman selaku penyandang sekarang akan dicabar. Rasanya, hampir semua ahli SBM sudah tanhu dan sudah dengar siapa yang akan mencabar kedudukan Tuan Haji Nazari selaku presiden. Maaflah saya masih tidak berkesudian untuk menulis nama pencabar kepada Tuan Haji Nazari yang diwar-warkan menerusi blog ini.
Selaku ahli yang layak membuat pilihan nanti, kita harus pertimbangkan sehalusnya dan sebaiknya kriteria yang perlu ada kepada sesiapa sahaja yang hendak dipilih selaku pemimpin SBM. Bila membuat pertimbangan, kita tidak sepatutnya terbelenggu oleh satu dua kriteria sahaja. Latar belakang, sejarah kepimpinan, kemampuan, reputasi, pengalaman, pergaulan, kebijaksanaan, sumbangan, keikhlasan, semangat juang, kesediaan untuk berkorban dan lain-lain kriteria harus menjadi pertimbangan kita selaku pemilih.
Sebagai contoh, ada sesetengah orang, bila menonjolkan dirinya selaku pemimpin yang patut dipilih, dia akan menonjolkan ijazahnya, bidang pengkhususannya, profesionnya, dan entah apa-apa lagi. Sedang jika diteliti sejarah kepimpinannya tidaklah membanggakan pun! Lebih banyak mengarah daripada bekerja bersama-sama. Kalau bercakap dengan orang pun lebih banyak perlekeh daripada menghormati. Orang semacam ini sepatutnya tidak ada dalam senarai calon pun. Ini contoh sahaja.
Seperkara yang perlu kita pertimbangkan dengan sehalusnya ialah SBM ini telah ditubuhkan oleh mereka yang tidak berijazah. Bahkan, kalau tak silap saya, En. Ivon Ho, salah seorang pengasas SBM tidak setinggi mana pendidikannya. Walau bagaimanapun, atas semangat yang tinggi serta keikhlasan dalam perjuangan, golongan yang tidak berpendidikan tinggi inilah yang telah membawa SBM ke mercu yang membanggakan seperti yang sama-sama kita dapat saksikan hari ini. Natijahnya, kalau sekadar ada ijazah tetapi sering melakukan tindakan yang tidak menguntungkan organisasi, maka ijazah yang dimiliki itu langsung tidak ada makna kepada sesebuah organisasi itu sendiri.
Satu lagi, ada sesetengah ahli yang menyokong seseorang calon hanya semata-mata atas dasar kawan. Walaupun calon berkenaan seorang yang mungkin pernah mencuri hak orang lain, tetapi atas dasar kawan pencurian yang dilakukannya dikira halal. Ini contoh sahaja. Walaupun calon berkenaan mungkin pernah menipu, tetapi atas dasar kawan penipuannya itu menjadi halal. Ini contoh sahaja. Walaupun calon berkenaan mungkin pernah memutar dan membelit, tetapi atas dasar kawan putar dan belitnya itu dikira halal. Ini pun contoh sahaja.
Bagi saya, antara kriteria yang harus sama-sama kita pertimbangkan ialah seseorang calon itu hendaklah mesra dengan setiap ahli tanpa mengira masa dan musim. Kalau seseorang itu hanya rapat dan cuba bermesra dengan ahli secara bermusim, atau ketika hendak mesyuarat dwitahunan, atau ketika sudah terjepit, borang pencalonan orang semacam ini hanya layak dilayangkan di seberang Selat Teberau sahaja.
Kriteria seterusnya ialah, seseorang calon itu semestinya memahami kepelbagaian ahli SBM. Kita harus faham ahli SBM terdiri daripada latar belakang yang berbagai. Ada yang bergaji tetap. Ada yang berprofesion dan bersyarikat sendiri. Ada yang kakitangan kerajaan. Ada ahlinya merupakan juruurut. Ada ahlinya merupakan penghuni desa terpencil. Ada ahlinya yang sekadar pembuat bakul. Ada ahlinya merupakan penjual tisu di kedai dan warung makan. Pendek kata, kepelbagaian jenis ahli dalam SBM merupakan realiti yang mewarnai organisasi itu sendiri. Calon pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat menerima hakikat mengenai kepelbagaian keahlian dalam SBM dan selanjutnya dapat bergaul dengan semua kategori ahli tanpa masalah, tanpa bermusim dan tanpa geli dan tidak kekok.
Satu kriteria penting yang harus dimiliki oleh calon pemimpin SBM ialah kemampuannya untuk memacu SBM ke mercu kegemilangan dan kejayaan. Selaku pemilih nanti, kita harus tolak calon yang sekadar mahu memperkudakan SBM untuk tujuan lain. Umpamanya untuk tujuan semata-mata menggondol anugerah itu dan anugerah ini. Borang pencalonan orang seperti ini hanya sesuai disumbat dalam lori pengangkut sampah Majlis Bandaraya Johor Baru sahaja.
Satu lagi kriteria yang harus kita pertimbangkan ialah calon pemimpin itu telus, tulus dan tegas dalam kepimpinannya. Calon yang dipilih bukan merupakan orang yang suka berkroni, suka memilih bulu, bersikap nepotisme serta yang suka menggunakan organisasi untuk kepentingan peribadi. Calon pemimpin hendaklah mengutamakan kepentingan majoriti ahliSBM dan bukannya yang suka melayan kehendak golongan minoriti sahaja.
Malam nanti, setelah nama-nama calon yang akan bertanding di pelbagai posisi diumumkansecara rasmi, kita sama-sama akan dapat saksikan pelbagai cara dan gaya mereka yang terlibat akan berkempen. Sama-samalah kita saksikan nanti siapa yang berlagak, siapa yang bergaya, siapa yang beriya dan siapa pula yang berstrategi. Biar siapa pun mereka, selaku pemilih, kita harus sama-sama tolak mereka yang sekadar mahu menipu, memutar, mencuri dan juga yang membelit.
Salam dari JB.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment