Terlebih dahulu, saya minta berbanyak maaf kepada pengunjung blog ini kerana sudah lebih daripada seminggu saya tidak mengemas kini catatan pada blog ini. Hal ini memang tidak dapat saya elakkan lantaran pelbagai tugas yang harus saya selesaikan. Paling mencabar ialah mengenai penganjuran mesyuarat agung Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) baru-baru ini.
Saya mempunyai sebab tersendiri mengapa kali ini saya mengatakan penganjuran mesyuarat agung PERTIS tahun ini mencabar. Cabaran bermula apabila Setiausaha Agung PERTIS, En. Abu Hassan ditimpa kemalangan pada 31 Mac 2012 (Sabtu) yang lalu. Bagi seorang dua AJK yang selama ini amat bergantung kepada setiausaha agung untuk melunaskan kerja masing-masing tentunya turut sama patah tangan dan kakinya apabila tangan setiausaha agung telah patah akibat dilanggar oleh sebuah lori.
Apabila berita kemalangan berkenaan sampai ke telinga saya, tanpa membuang masa, saya terus membuat persediaan mental dan perancangan agar agenda PERTIS tidak tergendala di tengah jalan. Antara majlis besar yang akan berlangsung ialah mesyuarat agung PERTIS peringkat kebangsaan kali ke-17. Perancangan ke arah itu telah pun dibuat sejak Januari lagi. Selain itu,saya turut menggariskan beberapa masalah yang mungkin akan timbul ekoran kemalangan yang menimpa setiausaha agung PERTIS. Setelah mencatatkan segala kemungkinan masalah yang mungkin timbul, saya mula membuat rancangan dan strategi bagi mengatasi segala permasalahan berkenaan.
Pada masa yang sama, saya juga amat sedar bahawa dalam keadaan apa pun yang sedang PERTIS hadapi, saya harus mengutamakan tugas dan tanggungjawab hakiki saya iaitu sebagai seorang pendidik. Justeru, saya tidak pernah menolak bila saya diarahkan untuk ke sana dan ke situ dengan alasan PERTIS lebih memerlukan saya. Maka itulah di sepanjang bulan April dan Mei, saya telah ke Melaka, Langkawi dan JB atas urusan rasmi. Pada masa yang sama, saya juga harus sentiasa memastikan agar persediaan PERTIS untuk menganjurkan mesyuarat agung tahun ini tidak akan tergendala sama sekali. Dalam konteks kedudukan saya selaku penjawat awam, penglibatan saya dalam PERTIS sekadar untuk memenuhi masa lapang sahaja.
Mungkin kerana ada sesetengah pihak yang merasakan terlalu berat untuk menganjurkan mesyuarat agung baru-baru ini, maka ada antara mereka yang mencadangkan supaya mesyuarat berkenaan ditangguhkan sahaja. Apa yang menghairankan saya, cadangan sedemikian datangnya dari dalam kalangan AJK sendiri tanpa terlebih dahulu merujuk kepada saya selaku YDP PERTIS. Cadangan tersebut pula diutarakan kurang dua minggu sebelum berlangsungnya mesyuarat berkenaan. Saya turut sama menerima SMS cadangan berkenaan tetapi bukan daripada pencadang asalnya. Setelah saya meneliti 5 sebab yang diketengahkan untuk menangguhkan mesyuarat agung berkenaan, saya dapati satu pun tiada kemunasabahannya. Apa yang dapat saya rumuskan, cadangan berkenaan diutarakan kerana AJK yang berkenaan gagal melaksanakan tugas yang telah diagihkan untuk beliau laksanakan. Pada masa cadangan berkenaan diutarakan, saya berada di JB. Jadi sukar untuk saya mencari penyelesaian menerusi musyawarah. Sedangkan masa pula amat suntuk.
Bagi saya, menangguhkan mesyuarat bukan menyelesaikan masalah yang ada, sebaliknya ia hanya sekadar menangguhkan masalah sahaja. Maka itu, saya bertekad sekuatnya dalam hati, walau apa pun terjadi, walau siapa pun yang tidak mahu membantu saya lagi, saya akan tetap adakan mesyuarat agung berkenaan sebagaimana yang telah dijadualkan.
Sekembali sahaja saya dari JB pada 25 Mei lalu, saya serta beberapa orang AJK lain dan dengan bantuan kakitangan PERTIS yang ada, kami telah sama-sama bertungkus-lumus menyelesaikan semua tugas yang belum selesai atau yang gagal dilaksanakan oleh AJK tertentu. Matlamat saya satu sahaja, agar mesyuarat agung PERTIS kali ini berjalan lancar.
Selain itu, pada 21 Mei lalu, saya mendapat panggilan telefon daripada pejabat tokoh yang akan merasmikan mesyuarat agung PERTIS kali ini. Pembantu tokoh berkenaan memaklumkan kepada saya, tokoh yang dijemput tidak dapat datang untuk merasmikan mesyuarat agung PERTIS nanti. Tarikh untuk mesyuarat agung PERTIS kurang daripada 2 minggu. Saya akui, maklumat sebegini telah membuatkan saya agak termenung. Saya termenung bukan kerana marahkan tokoh yang tidak dapat datang tadi, tetapi saya mencari jalan bagaimana untuk mencari perasmi yang baru. Sesungguhnya bukan mudah untuk mencari perasmi yang baru dalam keadaan yang suntuk dan terdesak sebegini. Sedangkan AJK asal yang telah ditugaskan untuk mencari perasmi tidak lagi berfungsi dengan baik. Alhamdulillah, berbekal formula yang ada, akhirnya masalah berkenaan dapat juga saya selesaikan. Perasmi baru dapat juga saya cari.
Sementara itu, pada 11 Mei yang lalu juga, Tuan Haji Muhammad Lee, seorang kakitangan paling lama berkhidmat di PERTIS telah menghantar surat perletakan jawatannya daripada PERTIS. Secara peribadi saya berpendapat masa yang dipilih oleh beliau untuk meletakkan jawatan kurang sesuai kerana pada masa yang sama PERTIS sedang bergelut untuk menganjurkan mesyuarat agungnya. Beliau boleh berbuat demikian iaitu selepas selesai mesyuarat agung PERTIS. Namun demikian, demi menghormati haknya selaku kakitangan untuk berhenti, saya terima sahaja perletakan jawatannya. Walau bagaimanapun, beliau telah menjalankan tugasnya dengan baik sehinggalah ke hari terakhir bersama PERTIS iaitu pada 31 Mei yang lalu.
Berita mengenai perletakan jawatan oleh Tuan Haji Muhammad Lee begitu cepat tersebar. Bertalu-talu saya menerima panggilan dan pertanyaan mengenai hal tersebut. Oleh kerana tumpuan saya lebih terarah kepada penganjuran mesyuarat agung PERTIS, maka segala pertanyaan berkenaan saya biarkan begitu sahaja. Selain pertanyaan, pelbagai spekulasi juga turut sama heboh. Jangkaan negatif terhadap masa depan PERTIS ekoran daripada perletakan jawatan oleh Tuan Haji Muhammad Lee juga turut sama timbul. Namun begitu, bagi saya, keutuhan, kejayaan serta kecemerlangan PERTIS terletak pada sokongan padu daripada majoriti para ahlinya.
Mungkin kerana latar belakang pendidikansaya ialah sejarah, maka sedikit sebanyak cara saya menyelesaikan masalah dan juga membuat keputusan tidak lari daripada bertunjangkan sejarah juga. Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W., para sahabat telah meminta agar Khalifah Abu Bakar menangguhkan dahulu pemergian tentera Islam ke medan Yarmuq. Ini memandangkan keadaan sekitar Madinah yang tidak stabil ekoran ancaman daripada golongan nabi palsu, golongan murtad dan juga mereka yang enggan membayar zakat. Dalam hal ini, Khalifah Abu Bakar dengan tegas menjawab bahawa beliau tidak akan menurunkan panji-panji perang yang telah dikibarkan oleh Rasulullah. Seterusnya, para sahabat yang lain juga ada mencadangkan supaya usamah bin Zaid selaku panglima perang ditukarkan dengan orang lain kerana usia Usamah yang masih muda. Sekali lagi Khalifah Abu Bakar dengan tegas menjawab, beliau tidak akan memecat orang yang telah dilantik sendiri oleh Rasulullah.
Ternyata pendidiran Khalifah Abu Bakar itu benar dan tepat. Tentera Islam yang dihantar ke medan Yarmuq telah beroleh kejayaan yang cemerlang. Selain itu, Khalifah Abu Bakar juga berjaya menghapuskan golongan yang telah memberi ancaman kepada Madinah dengan jayanya.
Sewaktu Rasulullah wafat, ramai umat Islam yang merasa sedih dan kecewa. Antara mereka termasuklah Saidina Umar Al-Khattab. Dalam hal ini, Saidina Abu Bakar telah berkata yang antara lain berbunyi, barang siapa yang menyembah Muhammad, maka ketahuilah bahawa Muhammad sudah mati. Barang siapa yang menyembah Allah, maka ketahuilah bahawa Allah sentiasa hidup dan tidak akan mati selama-lamanya.
Demikianlah sejarah mengajar kita. Barang siapa yang berpendapat bahawa kelangsungan dan survival PERTIS hanya kerana individu tertentu atau kerana manusia yang bernama Zakaria bin Yahya, maka masa akan membuktikan bahawa pendapat sedemikian tidak benar sama sekali. Sebagaimana yang saya katakan tadi, PERTIS akan terus hidup dengan sokongan padu daripada majoriti ahlinya. Walaupun barisan AJK PERTIS akan silih berganti bila tiba masanya, tetapi kelangsungan dan survival PERTIS harus diteruskan.
Alhamdulillah, akhirnya mesyuarat agung PERTIS untuk tahun 2012 telah berjaya dianjurkan. Di sini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan juga kerjasama yang sungguh baik untuk menjayakan mesyuarat agung kali ini. Setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan AJK Pusat yang masih setia dan tidak berputus asa. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan PERTIS yang telah turut sama bertungkus lumus dalam menjayakan mesyuarat agung kali ini. Salah seorang kakitangan PERTIS yang sebelum ini telah bertindak sehingga boleh menggugat reputasi PERTIS, tetapi kali ini beliau telah menunjukkan komitmen dan performence yang harus dipuji. Kepada beliau yang berkenaan, terima kasih saya ucapkan.
Selain itu, terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada semua sukarelawan yang telah terlibat dengan penganjuran mesyuarat agung kali ini. Tanpa mereka sudah tentulah kita semua tidak akan menikmati kelancaran dan kelicinan ketika bermesyuarat sebagaimana yang telah sama-sama kita lalui.
Kita semua, khususnya para ahli PERTIS semua harus ingat, cabaran terhadap PERTIS tidak terhenti setakat ini sahaja. Sesungguhnya ini merupakan cabaran kecil sahaja. Selepas ini, banyak lagi cabaran dan dugaan yang sedang menanti PERTIS nun di hadapan sana. Jadi, kalau menangis dan merajuk hanya kerana tidak dapat sebilik dengan rakan yang diingini dalam mesyuarat agung lalu, itu belum lagi masalah atau cabaran sebenar. Oleh itu, kita selaku warga PERTIS harus sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapinya pada bila-bila masa sahaja. Ingatlah, ketika dilanda masalah, jangan sesekali kita pilih jalan singkat sebagai penyelesaiannya.
Ini bukan luahan, sekadar coretan semata-mata. Di laman terbuka ini saya hanya mengenengahkan cabaran dan permasalahan umum sahaja. Cabaran serta permasalahan yang lebih khusus biarlah saya simpan buat teladan dan sempadan di hari muka.
Pada masa ini dan sehinggalah ke tarikh 24 Jun, perhatian sebilangan orang cacat penglihatan di seluruh negara akan tertumpu pula kepada mesyuarat agung dwitahunan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Johor Baru nanti. Khabarnya sudah lebih 600 orang ahli yang akan menghadiri mesyuarat berkenaan. Agak-agaknyalah, daripada angka tersebut, berapa ramai pula yang merupakan penyokong Tuan Haji Nazari???
Salam dari Kuantan.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
3 comments:
Tahniah buat PERTIS kerana telah sudi memberi suatu pelajaran baru yang sangat berguna buat anak-anak muda dari MRA. Menurut salah seorang rakan MRA yang kebetulan saya temui dalam LRT sehari dua yang lalu, mereka amat bersyukur dan berterima kasih kerana diberi peluang membantu para ahli PERTIS. Mereka takkan lupakan pengalaman pahit manis sepanjang mesyuarat agung berkenaan. Mereka tetap melayan dengan gembira walaupun ada ahli yang merajuk hanya kerana tak dapat duduk sekelompok dengan rakan-rakannya. Mereka sangat gembira:)
Teruskan melangkah PERTIS!!!
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.
Alhamdulillah! Tahniah kerana sekali lagi terpilihsebagai peneraju pergerakan. Namun begitu, sekadar ingatan bersama, sesungguhnya kepimpinan itu adalah amanah dan beban besar yang akan dipertanggungjawabkan di hari kemudian. Justeru, jadikanlah segala bentuk dugaan dan cabaran lampau sebagai iktibar meskipun berdepan pahit getir. Antaranya, perlulah seorang pemimpin bersikap mesra rakyat (ahli dan kakitangan), perancangan aktiviti penuh strategik dengan berhemah serta mengukur kemampuan terlebih dahulu, berani dan bersedia mengaku kesilapan tanpa memikulkan beban terlampau berat ntuk ditanggung orang lain, serta sanggup berkongsi masalah, khasnya dengan kakitangan dan AJK. Memang benar kita tak patut cari jalan singkat dengan tindakan negatif dalam menangangi masalah. Namun hakikatnya, manusia tentu sekali sebagai makhluq unk pasti punya kelebihan dan kekurangan di sana sini antara seorang individu dengan individu lain. Lantas, kita sebagai penguasa, seeloknya, kalau tidak melampau untuk saya rumuskan, janganlah "over-expecting" berdasarkan kemampuan kita sahaja. Begitu juga dengan kelebihan dan ilmu yang dimiliki; seelok-eloknya kita turut mengambil contoh kepimpinan Nabi SAW, generasi sahabat dan kepimpinan negara-negara maju yang ditunjangi empayar-empayar Islam di peringkat awal. Para pemimpin tertinggi mereka majoritinya tak segan silu untuk mengajak ilmuan dan pakar berdiskusi dalam mesyuarat mereka, sepertimana yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab yang mengiktiraf kehadiran Abdullah Ibn Abbas RA dalam majlis syura Baginda walaupun kurang disenangi sesetengah para sahabat. Insha Allah, faktor-faktor sebeginila yang akan membantu PERTIS menjadi sebuah NGO cacat penglihatan kebangsaan termaju. Mengakhiri bicara, jutaan kemaafan dipohon seandainya kedapatan dalam ulasan ini apa jua yang kurang lagi tidak disenangi; saya sekadar berkongsi pandangan dan idea sebagai ahli yang kurang upaya, jahil lagi banyak dosa, yang turut memerlukan pembimbing seperti saudara.
Terima kasih dan selamat berjuang.
Salam semua,
Sememangnya kesulitan tak pernah sunyi dari Pertis di mana-mana. Sejak penubuhannya, ada saja cabaran dan dugaan yang menggerunkan sesiapa saja yang mendepani. Hanya pergantungan kepada Allah, dan perkukuhkan persaudaraan jualah memastikan Pertis terus utuh.
Salam jihad!
Post a Comment