Wednesday, June 20, 2012

SBM: Usul Yang Masih Tersekat

Pada 18 Disember 2011 lalu, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) telah mengadakan mesyuarat agung khasnya. Salah satu usul yang telah diluluskan menerusi mesyuarat berkenaan ialah usul untuk menjual 2 unit bangunan yang bernombor 132 dan 134 yang terletak di Batu 3, Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

Untuk maklumat bersama, kedua-dua unit bangunan berkenaan telah dibeli oleh SBM menerusi satu usul yang telah dibentangkan dalam mesyuarat agung dwitahunan SBM kali ke-3 yang telah berlangsung di Terengganu pada tahun 2000. Saya turut sama hadir dalam mesyuarat berkenaan. Saya bersama-sama beberapa orang ahli yang lain merupakan antara mereka yang tidak bersetuju dengan usul pembelian kedua-dua unit bangunan berkenaan ketika itu. Saya mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak bersetuju dengan pembelian berkenaan. Waktu itu, Tuan Haji mengundi sebelah mana ya?

Sebelum proses pengundian dijalankan, perdebatan yang cukup hebat juga telah berlangsung iaitu pada sebelah malam sehari sebelum pengundian usul berkenaan dijalankan. Kedua-dua pihak, sama ada yang bersetuju dan yang tidak bersetuju telah mengemukakan hujah masing-masing. Setelah perdebatan, maka pengundian pun berlangsung pada keesokan paginya. Keputusannya ialah 176 ahli menyokong usul pembelian dua unit bangunan berkenaan, manakala 101 ahli termasuk saya telah mengundi menentang usul berkenaan. Demikianlah tatacara bermesyuarah, keputusan majoriti harus dihormati.

Sebagaimana yang saya nyatakan di atas, pada 18 Disember lalu, iaitu setelah 11 tahun berlalu, usul untuk menjual semula kedua-dua unit bangunan berkenaan telah dibentangkan dalam mesyuarat agung khas SBM. Kalau tak silap saya, usul berkenaan telah dibentangkan oleh Saudara K. K. Loh bagi pihak Majlis Presiden. Usul berkenaan seterusnya telah melalui perdebatan yang agak hebat sebelum ia melalui proses pengundian. Seramai 63 orang ahli yang hadir di mesyuarat berkenaan layak mengundi. Setelah pengundian dijalankan, maka seramai 30 ahli telah memilih untuk menyokong usul berkenaan. Manakala 18 orang ahli lagi telah mengundi menentang usul berkenaan. 15 orang ahli lagi tidak mengundi, mungkin berkecuali agaknya.

Setelah usul berkenaan diluluskan, maka pihak Majlis Presiden SBM seharusnya mengambil apa jua langkah yang difikirkan perlu bagi melaksanakan usul berkenaan, iaitu menjual kedua-dua unit bangunan sebagaimana yang saya nyatakan. Namun demikian, konon khabarnya, sehingga hari ini, usul berkenaan telah tidak dapat dilaksanakan. Maknanya, pelaksanaan usul berkenaan telah tersekat. Apakah faktor yang telah menyebabkan usul berkenaan tidak dapat dilaksanakan sehingga hari ini?

Konon khabarnya, faktor penyebab mengapa kedua-dua unit bangunan berkenaan masih tidak dapat dijual sehingga hari ini adalah kerana nama pemilik kepada kedua-dua unit bangunan berkenaan masih tidak ditukar kepada nama SBM daripada nama pemilik asalnya (iaitu sebelum ia dibeli oleh SBM) iaitu berdasarkan rekod pihak berkuasa tempatan (dalam konteks ini, ia merujuk kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau DBKL). Dengan erti kata lain, nama pemilik kedua-dua unit bangunan berkenaan masih lagi belum ditukar kepada nama SBM sehingga hari ini. Maka itulah ia tidak dapat dijual sebagaimana kehendak usul dalam mesyuarat agung khas yang lalu.

Bertitik tolak dari sinilah, maka timbul beberapa persoalan lain yang bersangkutan. Bagaimana setelah sekitar 11 tahun SBM membeli kedua-dua unit bangunan berkenaan, nama pemiliknya masih tidak ditukar kepada nama SBM daripada nama pemilik sebelumnya iaitu berdasarkan rekod di DBKL? 11 tahun bukan satu jangka masa yang sekejap. Saya yakin, dalam tempoh sekitar 11 tahun tentunya cukai tertentu seperti cukai pintu harus dibayar untuk kedua-dua unit bangunan berkenaan. Pihak mana yang telah menjelaskan cukai untuk kedua-dua unit bangunan berkenaan? Seandainya selama ini pihak SBM telah menjelaskan cukai yang berkaitan, tentu turut menerima resit pembayarannya. Jadi, nama pemilik manakah yang tertera dalam resit penerimaan pembayaran selama ini?

Nilai harga kedua-dua unit bangunan berkenaan pula bukannya sedikit, bahkan ia mencecah jutaan ringgit. Apa yang menghairankan saya, bagaimana pengurusan aset yang semahal itu dilaksanakan semacam endah tak endah sahaja? Sekiranya pengurusannya cekap dan peka, sudah tentulah nama pemilik kepada kedua-dua unit bangunan berkenaan sudah lama ditukar kepada nama SBM dan jika itu yang telah dilakukan, maka sudah tentu pula pada hari ini SBM tidak ada masalah untuk melaksanakan usul mengenai penjualan kedua-dua unit bangunan berkenaan yang telah pun diluluskan pada penghujung tahun lepas. Saya berkeyakinan penuh, sekiranya usul untuk menjual kedua-dua unit bangunan berkenaan tidak diluluskan dalam mesyuarat agung khas tahun lepas, sudah tentulah hingga hari ini pun hal ini masih tidak disedari oleh sesiapa pun.

Seperkara lagi, semasa urusan pembelian kedua-dua unit bangunan berkenaan selesai dahulu, mengapa tindakan menukar nama pemilik kepada bangunan berkenaan tidak terus ditukar kepada nama SBM dengan kadar segera? Sekali lagi, timbul pertanyaan dalam hati kecil saya, ini sebenarnya kecuaian siapa? Adakah ini kecuaian daripada orang yang sedar dirinya tidak bijak, atau adakah ini kecuaian orang yang sering mengaku dirinya sahaja yang bijak???

Oleh hal yang demikian, pihak SBM tidak boleh bertangguh lagi. Langkah-langkah segera yang difikirkan perlu harus dilaksanakan dengan serta-merta untuk menukar nama pemilik kedua-dua unit bangunan berkenaan daripada nama pemilik sebelumnya kepada nama SBM. Setelah proses ini selesai, barulah SBM boleh melaksanakan usul yang telah diluluskan dalam mesyuarat agung khas tahun lepas, iaitu menjual kedua-dua unit bangunan berkenaan.

Untuk pengetahuan bersama, proses menukar nama seperti di atas bukanlah sesuatu yang mudah. Kalau tak silap saya, proses berkenaan akan memakan masa beberapa bulan juga. Selain itu, proses berkenaan juga pasti akan menelan kos tertentu. Silap hari bulan, SBM kena pula membayar belasan ribu ringgit untuk tujuan tersebut.

Sewaktu usul penjualan semula kedua-dua unit bangunan berkenaan diluluskan tahun lalu, saya sendiri tidak menghadiri mesyuarat berkenaan. Kebetulan pada waktu yang sama saya sekeluarga berada di Kedah. Sesungguhnya selepas 11 tahun berlalu, mungkin baru kini sebahagian ahli SBM lebih memahami mengapa saya serta beberapa rakan yang lain tidak bersetuju terhadap usul untuk membeli kedua-dua unit bangunan yang telah diluluskan pada tahun 2000 dahulu.

Khabarnya Saudara K. K. Loh akan bertanding untuk merebut kerusi Naib Presiden SBM kali ini.

No comments: